yang mana ayatyang gramatis? a. Kita pergi bersama ke pekan. atau b. Kita pergi bersama-sama ke pekan. | Ayat yang betul ialah 'kita pergi bersama-sama ke pekan'. Harap maklum. | Tatabahasa | 25.06.2008 |
JIKA PENGETUA SEKOLAH SEORANG PEREMPUAN, DI DALAM MAJLIS RASMI ADAKAH KITA MENYEBUT "YANG BERUSAHA "TUAN" PENGETUA SMK. PEKAN II KOTA BELUD, PN. LATIFAH HJ. MUSTAKIM..." ATAU "YANG BERUSAHA "PUAN" PENGETUAN SMK. PEKAN II KOTA BELUD..."? KELIRU ANTARA PUAN DAN TUAN, UNTUK DALAM UCAPAN MAJLIS RASMI. TERIMA KASIH. | Jika Pengetua yang dimaksudkan itu adalah seorang perempuan, yang disarankan ialah Puan Pengetua. Bagaimanapun, jika Pengetua itu tidak diketahui jantina, sama ada perempuan atau lelaki, yang dicadangkan ialah tuan pengetua. Harap maklum. | Tatabahasa | 29.10.2007 |
Apakah kesalahan ejaan dan imbuhan dalam ayat berikut? 2.Penduduk di Pekan Semenyih membantah tindakan sebuah kilang haram yang terbuang sisa-sisa toksid ke dalam longkang. 3.Hidayah memakaikan selendang berwarna hijau lumut semasa menghadiri majlis perkhawinan sepupunya. 4.Kerajaan akan memperkenal plat nombor pendaftaran pintar bagi mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan dinegara ini. 5. Murid sekolah itu tolak menolak ketika menaikki bas ke sekolah. 6. Mereka telah memelawa kami untuk menghadiri majelis yang akan diadakan pada malam ini. 7.Penglibatan rakyat negara kita dalam membantu mangsa gempabumi di negara jiran amat mengalu-alukan oleh pihak kerajaan. 8.Para peserta krusus itu bertukar-tukarkan pandangan bagi menyiapkan tugasan untuk dibentangkan pada hari terakhir nanti. | 1.Penduduk di Pekan Semenyih membantah tindakan sebuah kilang haram yang membuang sisa-sisa toksik ke dalam longkang. 2. Hidayah memakai selendang berwarna hijau lumut semasa menghadiri majlis perkhawinan sepupunya. 3. Kerajaan akan memperkenalkan plat nombor pendaftaran pintar bagi mengatasi pemalsuan nombor pendaftaran kenderaan di negara ini. 4.Murid sekolah itu tolak menolak ketika menaiki bas ke sekolah. 5.Mereka telah mempelawa kami untuk menghadiri majlis yang akan diadakan pada malam ini. 6.Penglibatan rakyat negara kita dalam membantu mangsa gempa bumi di negara jiran amat dialu-alukan oleh pihak kerajaan. 7.Para peserta kursus itu bertukar-tukar pandangan bagi menyiapkan tugasan untuk dibentangkan pada hari terakhir nanti. | Tatabahasa | 22.03.2013 |
Sila nyatakan adakah ayat di bawah betul atau salah, nyatakan sebabnya. I Di pinggir jalan menuju ke pekan, terdapatnya sebuah gerai roti canai yang enak sungguh. II Majlis yang amat meriah itu dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok negara. III "Minta tuan-tuan bertenang seketika kerana sistem pembesar suara mengalami masalah teknikal," kata pengacara majlis. IV Pelajar itu tidak pandai, tetapi suka membaca buku apabila ada masa lapang. | I. Di pinggir jalan menuju ke pekan, terdapatnya sebuah gerai roti canai yang enak sungguh. - Ayat ini tidak gramatis kerana nya (terdapatnya) ialah kata ganti nama diri ketiga dan tidak gramatis untuk aayat ini. II. Majlis yang amat meriah itu dihadiri oleh rakyat dari seluruh pelosok negara. - Ayat ini gramatis. III. "Minta tuan-tuan bertenang seketika kerana sistem pembesar suara mengalami masalah teknikal," kata pengacara majlis. - Ayat ini boleh digunakan dalam konteks arahan. IV. Pelajar itu tidak pandai, tetapi suka membaca buku apabila ada masa lapang. - Ayat ini betul kerana tetapi ialah kata hubung untuk menyatakan kata-kata yang berlawanan. | Tatabahasa | 28.05.2012 |
maklumat berkaitan dengan subdialek Pekan, Pahang dari segi fonologi, lesikal dan morfology. | Terima kasih kerana menggunakan Khidmat Nasihat Bahasa DBP. Bagi membantu saudara mendapatkan maklumat berkaitan dialek, saudara boleh melayari laman web DBP di www.dbp.gov.my dan klik pada katalog awam dalam talian. Taip kata kunci, kemudian klik cari. Bahan yang diperlukan akan dipaparkan pada skrin komputer. Untuk membantu, saudara juga boleh mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu DBP untuk mendapatkan bahan yang diperlukan. Terima kasih. | Lain-lain | 25.02.2007 |
Betulkah terjemahan di bawah: She spent RM 30 for petrol to reach the nearest town from house. If she used RM 20 to reach her grandmother’s house, how much did she spend to continue to the nearest town? Dia membelanjakan RM30 ke atas minyak untuk tiba di pekan yang berhampiran dengan rumah. Jika dia menggunakan RM 20 untuk sampai ke rumah neneknya, berapakah jumlah wang yang dibelanjakan untuk meneruskan perjalanan ke pekan itu? | Azeelia, Ayat yang betul ialah: Dia menggunakan minyak sejumlah RM30 untuk sampai ke pekan yang paling hampir dengan rumahnya. Jika dia menggunakan RM20 untuk sampai ke rumah neneknya, berapakah jumlah wang yang digunakannya untuk meneruskan perjalanan ke pekan yang paling hampir? | Tatabahasa | 26.08.2010 |
Bolehkah anda terangkan maksud maksud pantun-pantun berikut? Petang hari pergi ke pekan, Pulang membawa sebungkus laksa; Hidup muhibah perlu diamalkan, Di negara Malaysia berbilang bangsa. Cantik bergugus buah papaya, Masak dipetik satu per satu; Walaupun berlainan bangsa budaya, Kerana muhibah hidup bersatu. Air mengalir dalam terusan, Mengairi sawah beratus relung; Bekerjasama segala urusan, Tanda bersatu bergotong-royong. Tuan Puteri dari kayangan, Senyuman manis seperti madu; Bermacam keturunan bukan halangan, Untuk membina bangsa yang padu. Enak nian air kelapa, Penawar sakit mujarab sekali; Kebudayaan asal tidak dilupa, Kebudayaan nasional mereka banggai. | Untuk makluman saudara, kelima-lima rangkap pantun yang diajukan secara umumnya membawa persoalan tentang semangat muhibah yang perlu diamalkan oleh rakyat Malaysia. Muhibah yang bermaksud hubungan mesra pelbagai kaum dapat diwujudkan dengan perbagai cara, antaranya melalui aktiviti bergotong-royong, bersukan dan menghadiri perayaan-perayaan kaum di Malaysia. Semangat setia kawan , persefahaman dan kerjasama akan terbentuk melalui aktiviti tersebut dan secara tidak langsung perpaduan kaum juga akan dapat dicapai. Disamping itu, kita sebagai rakyat Malaysia hendaklah saling hormati menghormati pelbagai budaya dari pelbagai kaum yang ada di negara ini disamping merasa bangga dengan kebudayaan nasional. Walau bagaimanapun memupuk perpaduan di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum ini adalah penting untuk pembangunan negara. Sekian. | Lain-lain | 13.12.2010 |
Yang mana satukah, ayat berikut yang betul. Jika salah sila nyatakan kesalahannya. 1. Di pinggir jalan menuju ke pekan, terdapatnya sebuah gerai roti canai yang enak sungguh. 2. Pelajar itu tidak pandai, tetapi suka membaca buku apabila ada masa lapang, | Ayat pertama tidak gramatis. Kata ganti nama nya tidak perlu dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 23.05.2012 |
1. (memberitahu/ memberitahukan )perkara itu kepada guru atau (memberitahu/ memberitahukan) guru perkara itu 2.( tuan hamba/ hamba) akan pergi ke pekan ,kata hang tuah kepada hung jebat 3. berkata bahawa atau mengatakan bahawa .yang mana satu betul. terima kasih atas bantuan yang diberi. | 1. Frasa yang betul ialah "memberitahukan perkara itu kepada guru" dan "memberitahu guru perkara itu". 2. Jika merujuk pada Hang tuah, gunakan "hamba". 3. Kedua-duanya boleh digunakan mengikut konteks ayat. | Tatabahasa | 23.03.2010 |
salam sejahtera, baru baru ini saya ada menghantar beberapa sajak kepada editor DBP. saya hanya ingin mengetahui adakah sajak saya diterima oleh pihak DBP. Alamat yang saya tulis ada sedikit kesilapan iaitu (No 70, Jalan Bunga Pekan 4, 42700 Banting, Selangor) | Mohon maaf, saudara tidak memberitahu sajak itu dihantar kepada siapa, cuma editor DBP, kerana di DBP ada ramai editor, adakah editor majalah atau editor buku sastera, atau umum sahaja, maksudnya editor DBP sahaja. Jika sajak tersebut dihantar melalui pos dengan alamat editor DBP sahaja, agak sukarlah untuk kami mengesan sajak tersebut. Cara terbaik, saudara boleh menghantar semula sajak tersebut kepada Editor Majalah Dewan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur sekira sajak itu mahu dimuatkan dalam majalah, tetapi jika mahu diterbitkan dalam bentuk buku, saudara boleh menghantarnya semula kepada Ketua Bahagian Penerbitan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka, 50926 Kuala Lumpur. | Lain-lain | 01.02.2009 |