‘Abd al-Rahman al-Dakhil (113 H.-172 H./731M.- 788M.) terkenal dengan gelaran saor quraysh; dan dikenali pula dengan al-Dakhil kerana kemasukannya ke Andalus dan seterusnya mengasaskan Kerajaan Umayyah di sana. Nama penuhnya ialah ‘Abd al-Rahman ibn Mu’awiyah ibn Hisham ibn ‘Abd al-Malik ibn Marwan. Dia lahir di Damsyik dan membesar dalam keadaan yatim. Dia telah berjaya melepaskan diri daripada ancaman golongan Abbasiyyah sewaktu mereka merampas kuasa Kerajaan Umayyah di Syam. Kebanyakan orang Umawiyyah telah dibunuh. ‘Abd al-Rahman bersembunyi dan berjaya menyusup keluar hinggalah dia tiba di Maghribi. Di sana, dia bertemu pula dengan hambanya Badar dan mendapat biaya sara hidup daripada saudara perempuannya Ummu al-Isba. Dia menumpang di rumah bapa saudaranya daripada Kabilah Tafzawah yang berbangsa Tartar. Ibunya berasal dari suku kaum ini. Di sini dia telah menghubungi golongan Umawiyyah di Andalus dengan menghantar Badar sebagai utusannya. Lantas dikirimkan satu pasukan yang terdiri daripada para pembesar Umawiyyah dan mereka memberi sumpah setia kepada ‘Abd al- Rahman. |