Televisyen, juga dikenali sebagai TV, adalah salah satu kaedah komunikasi yang paling penting. Ia membawa gambar dan suara dari seluruh dunia ke berjuta-juta rumah. Komunikasi satelit di angkasa lepas menyiarkan gambar TV merentasi lautan dan benua. Pemilik peti televisyen boleh berada di rumah dan menonton pemimpin negara membuat ucapan atau lawatan ke negara luar. Mereka boleh menyaksikan peperangan yang sedang berlaku dan melihat bagaimana pemimpin kerajaan berusaha untuk mewujudkan keamanan. Melalui TV, penonton dapat melihat dan belajar tentang manusia, haiwan, pelbagai perkara lain dari negara-negara yang jauh. Berjuta-juta manusia di seluruh dunia boleh menonton rancangan sukan, seperti Sukan Olimpik, dan pelbagai peristiwa lain yang menarik di dunia. Televisyen juga membawa penonton keluar dari dunia ini melalui liputan dari penerbangan angkasa. Selain itu, televisyen juga menyediakan pelbagai rancangan tetap yang direka khas untuk menghibur. Sebenarnya, TV menyediakan banyak rancangan hiburan berbanding dengan rancangan lain. Rancangan itu termasuk drama; komedi ringan; siri fiksyen, yang dikenali sebagai drama lipur lara; acara sukan; kartun, kuiz, dan pertunjukan aneka ragam; dan filem cereka. |