Saint Bernard ialah anjing besar, bijak yang menjadi terkenal kerana menyelamatkan pengembara yang sesat. Anjing ini dilatih pada tahun 1600-an oleh sekumpulan rahib dari biara St. Bernard, di Pergunungan Alps Switzerland. Pada masa itu, ramai pengembara pergi ke Pergunungan Alps dengan berjalan kaki. Ada yang sesat semasa perjalanan atau tertimbus oleh salji hanyut atau ribut salji yang datang secara tiba-tiba. St. Bernard dilatih untuk menyelamatkan mereka yang menghadapi masalah begini. Dengan deria bau yang tajam, St. Bernard boleh menjumpai orang yang tertimbus di bawah timbunan salji. Setelah menemui mangsa, ia meminta pertolongan dengan menyalak kuat-kuat. Anjing ini juga dilatih untuk memandu pengembara melalui laluan yang berbahaya, dan memberi amaran tentang tempat berpijak yang berbahaya. Pelukis Inggeris, Sir Edwin Landseer, melukis gambar anjing ini pada sebuah tong kayu kecil yang tergantung di lehernya. Tetapi pihak berkuasa menyatakan St. Bernard tidak pernah membawa tong kecil ini semasa misi menyelamat. |