Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu



Definisi : pengetahuan atau pelajaran ten-tang pembentukan perkataan dan proses pembinaan ayat (penyusunan kata dlm ayat) dll, nahu; ketatabahasaan (hal) yg berkaitan dgn tata-bahasa: kertas bahasa Malaysia hendaklah menekankan aspek ~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Definisi : pengetahuan atau pelajaran ttg pembentukan kata dan ttg penyu­sunannya dlm ayat; nahu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
tatabahasa (kata nama)
Bersinonim dengan nahu, jalan bahasa, sistem bahasa.,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Assalamualaikum dan hi, saya ingin mengajukan soalan berkenaan tatabahasa: Boleh saya tahu, adakah perkataan "ianya" dan "memperbaharui" betul daripada segi tatabahasa (sumber: Kamus Dewan Perdana)? Jika ya, apakah kaedah penggunaan kedua-dua perkataan ini? Ini kerana jika mengikut tatabahasa, "ia" dan "nya" tidak digunakan sebagai satu perkataan kerana kedua-duanya ialah kata ganti nama ketiga. Manakala, untuk perkataan "memperbaharui" pula, jika tidak silap, penggunaan imbuhan "memper" yang dipadankan dengan kata adjektif tidak boleh diletakkan imbuhan di belakang seperti "i", "kan". Mohon pencerahan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih.Untuk makluman tuan, fungsi kamus ialah merakamkan perkataan yang lazim digunakan oleh masyarakat. Perkataan "ianya" banyak ditemukan penggunaannya dalam wacana/teks bahasa Melayu dan kamus menghuraikan maksudnya. Walau bagaimanapun, untuk penggunaan yang standard khususnya dalam penulisan rasmi, perlulah merujuk rumus tatabahasa. Kata "memperbaharui" pula terhasil daripada apitan memper-   -i dan apitan ini tidak begitu produktif dalam bahasa Melayu. Kata "memperbaharui" sama maksud dengan "membaharui" dan kata ini wujud hasil daripada pengembangan bahasa. Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga menghuraikan apitan memper-...-kan dengan kata kerja dan kata nama, tiada rumus yang sedemikian untuk apitan memper-...-i.Tatabahasa16.01.2024
Soalan: kata dari merupakan kata sendi nama. Berdasarkan penggunaannya dalam kalangan ahli bahasa Melayu dan Tatabahasa Dewan, ayat seperti "isu ini perlu dibincangkan dari segi ekonomi‘ diterima ramai. Namun, penggunaan sebegini mengelirukan ahli tatabahasa. Kata sendi nama 'dari' merupakan kata yang digunakan untuk menunjukkan arah, tempat, masa dan zaman. Kata 'segi' pula merupakan kata arah. Kata 'ekonomi' pula merupakan sesuatu yang murajad. Kita boleh lihat sini, perkataan 'ekonomi' bukannya kata yang menunjukkan arah tempat, masa dan zaman. Oleh itu, adakah penggunaan 'dari segi....' merupakan pengunaan yang betul?Tatabahasa Dewan menetapkan bahawa frasa sendi yang tepat ialah "dari segi". Hal ini berdasarkan "segi" dianggap sebagai tempat yang abstrak. Ada pandangan lain tentang frasa sendi nama "daripada segi" yang diterima pakai oleh pengguna dan pakar tatabahasa. Namun, oleh sebab kita menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai pegangan, maka frasa "dari segi" hendaklah digunakan.


Tatabahasa19.09.2022
Menurut Tatabahasa Dewan, "mengenai" ialah kata kerja yang tidak boleh digunakan sebagai kata sendi nama. Namun dalam Kamus Dewan Perdana, "mengenai" diberikan pengelasan kata sendi nama, mengapakah terdapat percanggahan?Dalam Tatabahasa Dewan (DBP, 2008; 278) kata kerja "mengenai" disamakan dengan "tentang" yang berfungsi sebagai kata sendi nama. Pada halaman 402 pula dalam naskhah yang sama menyatakan bahawa unsur keterangan hal dalam frasa kerja, terdiri daripada kata sendi nama ialah tentang, mengenai dan terhadap. Pada halaman xxxvii pula menyatakan kata kerja mengenai yang bertugas sebagai kata sendi nama dapat bertukar ganti dengan kata sendi nama tentang.

Maka, perakaman kata terbitan mengenai dalam Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 1044) tidak bercanggah dengan Tatabahasa Dewan. Pemecahan makna adalah mengikut fungsi kata tersebut dalam penggunaannya dan kelas/golongan kata kerja juga dirakamkan mengikut konteks dan contoh penggunaan kata tersebut. Selain daripada berfungsi sebagai kata sendi nama, kata mengenai diberikan lima pecahan makna yang berkelas kata kata kerja transitif berserta maklumat kata pasifnya.
Tatabahasa19.06.2023
Mohon semakan tatabahasa yang digunakan
Sekiranya puan memerlukan semakan bahasa Melayu dalam dokumen, sila hantarkan dokumen puan kepada Puan Fadhilah melalui alamat e-mel fadhilahbahar@dbp.gov.my untuk mendapatkan sebut harga.

Sila pastikan dokumen puan mengikut format berikut:

Jenis huruf: Arial/Times New Roman
Saiz huruf: 12
Langkau: 2 baris
Penyemakan dan penterjemahan23.08.2022
Assalamualaikum tuan, Adakah perkataan 'sesuai' termasuk dalam kata ganda separa? Mohon pencerahan.Kata "sesuai" merupakan Kata Adjektif bukan Kata Ganda Separa.

Untuk maklumat lanjut, mohon merujuk Buku Tatabahasa Dewan.
Tatabahasa17.08.2022
Mohon cadangan tatabahasa yang betul : i. dipersetujui ii. diperkenankan iii. diperlekehkan iv. memperkenalkan v. mempersembahkanJawapan yang betul berdasarkan cadangan padanan tatabahasa tersebut ialah:

i. Dipersetujui
ii. Diperkenanakan
iii. Diperlekeh
iv. Memperkenalkan
v. Mempersembahkan 
Lain-lain22.02.2023
Pilihan Manakah yang tepat dari segi tatabahasa: Institusi Pemberi Pinjaman atau Institusi Pemberian Pinjaman? a.Kelulusan permohonan tertakluk kepada pengesahan maklumat daripada Institusi Pemberian Pinjaman. b.Kelulusan permohonan tertakluk kepada pengesahan maklumat daripada Institusi Pemberi Pinjaman.

Institusi Pemberi Pinjaman lebih tepat dari sudut tatabahasa.

Tatabahasa30.08.2023
bagaimanakah cara lebih tepat menggunakan AKAN dalam ayatCarian jawapan boleh dibuat melalui laman web PRPM atau klik pautan FAQ (Soalan Lazim) melalui laman web KNDBP. Rujukan juga boleh dibuat pada halaman 265-282 Tatabahasa Dewan.Tatabahasa09.08.2022
1. Saya tahu bahawa perkataan 'ku' dan 'kau' perlu dieja rapat. Contohnya, milikmu, pelukanmu, kuberi, kumakan dan kubangun. Tetapi, jika perkataan sebelum 'ku' ialah kata adjektif/sifat, adakah masih perlu dieja rapat? Kusedih atau ku sedih. Kaucantik atau kau cantik? 2. Selain daripada merujuk buku tatabahasa dewan, adakah DBP menyediakan rujukan tatabahasa atau FAQ tatabahasa dalam talian?

1. Untuk makluman, kata ganti nama diri singkat kau, ku, dan kau tidak boleh berdiri sendiri. Kata-kata tersebut harus ditulis serangkai dengan kata lain.

Untuk kata ganti nama diri “ku” (kependekan aku), boleh digunakan dalam 3 keadaan:

a) digunakan sebagai awalan yang terikat dengan kata kerja pasif. Contoh kuingin, kubaca, kudengar, kulihat, kupegang.

b) digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata kerja yang mengikutinya. Contoh menemaniku, memarahiku.

c) digunakan sebagai akhiran yang terikat dengan kata nama yang mengikutinya. Contoh rumahku, kekasihku, adikku.

Untuk kata ganti nama diri "kau" (kependekan engkau), hanya boleh diletakkan di awal perkataan. Contoh kauhantar, kausimpan, kaukemukakan. 

2. Untuk rujukan, puan boleh menggunakan enjin carian yang telah disediakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP); iaitu Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM). PRPM merupakan salah satu cara untuk membuat rujukan, mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sila layari /http://prpm.dbp.gov.my dan memasukkan maklumat yang ingin dicari dalam ruang yang disediakan dan klik "cari”.

Puan juga boleh mendapatkan maklumat berkaitan buku-buku tatabahasa yang diterbitkan oleh DBP, dengan melayari laman web Pusat Dokumentasi Melayu (PDM) DBP: pustakav2.dbp.gov.my/index.php. Laman ini memaparkan KATALOG AWAM DALAM TALIAN (KAWAT). Cara menggunakannya ialah dengan menaip judul buku atau pengarang dan klik cari.


Tatabahasa25.10.2022
Adakah penggunaan ayat "mendaftar awal" betul? contoh ayat, penyertaan ke program tersebut adalah terhad kepada 30 orang yang mendaftar awal? adakah ayat ini betul dari segi tatabahasa?

Frasa “mendaftar awal” tepat dari sudut tatabahasa dalam ayat yang diberikan.

Tatabahasa25.10.2023
12345678910...

Kembali ke atas