Ahli Suffah ialah golongan fakir miskin mukmin
dalam kalangan para sahabat Rasulullah SAW yang tidak
mempunyai rumah untuk didiami. Oleh itu, mereka
mendiami suatu sudut yang teduh di Masjid Nabawi
di Madinah. Mereka dikenali dengan nama Ahli
Suffah dan kadang-kadang disebut juga sebagai
Ashab al-Zillah (orang yang berteduh) dan Duyuf al-
Islam (tetamu Islam). Perkataan Suffah ialah
perkataan Arab dan apabila dikaitkan dengan
bangunan, ia bererti sesuatu bahagian yang teduh
di dalam bangunan itu, yang menyerupai ruang
legar yang luas dan tinggi. Ibn Taymiyyah
berkata, “ Al-Suffah yang dikaitkan dengan nama
Ahli Suffah kalangan sahabat Nabi SAW, terletak di
bahagian hujung sebelah utara masjid Nabi SAW
di Madinah al-Munawwarah.” Ia ialah tempat
fakir miskin dari kalangan orang mukmin berteduh,
iaitu mereka yang tidak mempunyai keluarga dan
tidak ada tempat berteduh.