Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[a.di/] | اديق

Definisi : 1. saudara kandung (laki-laki atau perem­puan) yg lebih muda; ~ bongsu adik yg ter­muda; ~ kandung = ~ seibu sebapa anak kpd ibu dan bapa seseorang yg lebih muda daripadanya; ~ seayah adik berlainan ibu; ~ seibu adik berlainan ayah; 2. panggilan (khasnya kpd saudara kandung atau saudara mara yg lebih muda atau kpd isteri dan amnya kpd orang yg lebih muda); ~ ipar adik lelaki atau perempuan kpd suami atau isteri seseorang; ~ sanak ayah anak saudara lelaki ayah (yg lebih muda); ~ sanak ibu anak saudara perempuan ibu (yg lebih muda daripadanya); ~ sepupu anak (yg lebih muda) kpd adik atau kakak ayah atau emak seseorang; bulan ~ Maulud bulan Rabiulakhir; beradik 1. mempunyai atau ada adik: biarlah dia bermanja sepuas-puasnya sementara belum ~ lagi; 2. bersaudara kandung: kami tinggal tiga ~ di rumah itu selepas pemergian ayah; adik-beradik, adik kakak 1. (beberapa orang) yg mempunyai hubungan kekeluar­gaan (kerana seayah atau seayah dan seibu), bersaudara; mereka lima ~ mereka lima bersaudara: bergaduh ~ dlm pembahagian harta pusaka; 2. (berlaku) sbg saudara, antara atau selaku adik dgn abang (atau kakak): mari kita bicarakan ~ dahulu; beradik kakak selaku adik dan kakak; memperadik memandang (memanggil, me­nyebut) adik. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[a.di/] | اديق

Definisi : 1 saudara kandung (lelaki atau perempuan) yg lebih muda. 2 panggilan kpd saudara pupu yg lebih muda dan juga kpd isteri khasnya atau kpd orang-orang yg lebih muda amnya. beradik 1 mempunyai adik: Amir belum ~ lagi. 2 bersaudara kandung: Dua ~ itu telah pergi berjumpa dgn Datuk Penghulu. adik-beradik 1 bersaudara kandung: Kami bertiga ini ~. 2 (berlaku) sbg saudara: Mari kita bincangkan perkara ini ~ dahulu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata adik

Puisi
 

Itik-itik di Kampung Cina,
     Buah mempelam masak bercahaya;
Adik-adik abang bertanya,
     Berapa bulan kasihkan saya?


Lihat selanjutnya...(305)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam. Saya hendak bertanya tentang penggunaan "kawan-kawan" dan "adik-adik" dalam ayat, contohnya "Kawan-kawan hendaklah menghormati ibu bapa." Adakah penggunaan "kawan-kawan" itu masih boleh digunakan?Sebab ada pendapat mengatakan penggunaan kata ganda seperti itu tidak boleh digunakan. sekian terima kasih.

Nurulhuda,

Bagi penggunaan kata ganda adik-adik dan kawan-kawan, penggandaan seperti ini memang boleh digunakan. Contoh lain ialah penggunaan rama-rama, kupu-kupu dan kuda-kuda.

Tatabahasa18.03.2010
Gabungkan ayat tunggal (a) dan (b) menjadi ayat majmuk. a)Ibu marah adik. b)Adik bermain di tepi longkang. Ayat majmuk: 1)Ibu marah adik kerana adik bermain di tepi longkang. 2)Ibu marah adik kerana bermain di tepi longkang. 3)Ibu marah adik kerana dia bermain di tepi longkang. ~Tuan,ayat majmuk 1,2 atau 3 yang betul?Tolong berikan penjelasan.Terima kasih.Ayat majmuk yang tepat ialah  2)Ibu marah adik kerana bermain di tepi longkang. Perkataan "adik"  tidak perlu diulang sebanyak dua kali dalam teks. Begitu juga perkataan "dia" bagi menggantikan "adik".Tatabahasa28.03.2015
Selamat sejahtera, 1.Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya cepat sembuh. 2 Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya adik cepat sembuh. (Yang manakah merupakan ayat gramatis?)Kalau salah minta perbetulkan. 3.Ibu menyuapkan ubat kepada adik.(Adakah kata sendi nama "kepada" sesuai digunakan?) 4.Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda "Berhenti" di tengah-tengah jalan raya.(Adakah tanda baca pemetik seperti yang ditaip perlu digunakan?)Sila beri penjelasan. Terima kasih.

1. Ayat yang pertama betul, iaitu “Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya cepat sembuh”.

2. Dalam ayat kedua, perkataan “adik” tidak perlu diulang. Ayat yang betul ialah “Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik supaya cepat sembuh”.

3. Perkataan “menyuapkan” dalam konteks ayat yang diberikan bermaksud memasukkan makanan dan lain-lain ke dalam mulut seseorang. Sehubungan dengan itu, penggunaan kata sendi nama “kepada” dalam ayat yang diberikan tidak betul. Ayat yang betul ialah “Ibu menyuapkan ubat ke dalam mulut adik”.  

4. Menurut buku Gaya Dewan, tanda petik ("/") digunakan untuk tujuan tertentu seperti mengapit cakap ajuk, mengapit judul dan mengapit istilah ilmiah. Sehubungan dengan itu, dalam ayat “Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda “Berhenti” di tengah-tengah jalan raya”, penggunaan tanda petik (“/”) pada perkataan “Berhenti” tidak perlu digunakan.  
Tatabahasa15.09.2022
Saya ingin tahu apa maksud 'ADIK BERADIK TIRI' ? Hubungan yang macamana terjadinya adik beradik tiri. Apakan istilah untuk 'adik beradik sebapa atau seibu'. Adakah istilah adik beradik tiri boleh digunakan? Terima Kasih.

Adik-beradik kandung ialah beberapa orang yang mempunyai hubungan kekeluargaan (kerana seayah atau seayah dan seibu), oleh itu adik-beradik tiri ialah anak ibu (berlainan bapa) atau bapa tiri. Adik-beradik sebapa ialah sama bapa tetapi berlainan ibu, dan adik-beradik sibu ialah sama ibu tetapi berlainan bapa.

Istilah18.09.2009
manakah ayat yang betul ? a) Adik bangun daripada tidur. b) Adik bangun dari tidur. c) Adik sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik bacaan. d) Adik sedang mengulang kaji di dalam bilik bacaan. Terima kasih.Ayat yang bgramatis ialah Adik bangun daripada tidur dan Adik sedang mengulang kaji pelajaran di dalam bilik bacaan.Tatabahasa02.11.2012
Ada berapakah objek dalam ayat "Abang membeli sebuah buku untuk adik". Adakah "adik" ialah objek sipi ?

Ada 2 objek:

1. Buku - objek tepat 

2. adik - objek sipi 

Tatabahasa07.04.2009
Cerakinkan ayat majmuk kepada dua ayat tunggal: Adik berbaring di sofa lalu tertidur. Jawapan:a) Adik berbaring di sofa. b) Adik tertidur di sofa/ Adik tertidur. (Yang manakah betul)
Dua ayat tunggal daripada ayat majmuk : "Adik berbaring di sofa lalu tertidur" adalah  
1. Adik berbaring di sofa.   dan  2. Adik tertidur.

Tatabahasa19.03.2017
Kalau sesebuah keluarga mempunyai 2 orang anak, ayat mana yang betul ? (a) Saya mempunyai dua orang adik-beradik. (b) Saya mempunyai seorang adik-beradik. ataupun penggunaan 'adik-beradik' tidak sesuai dalam konteks ini. Kalau begitu, bolehkah pihak tuan sila berikan skop penggunaan perkataan 'adik-beradik' yang betul ? Terima kasih.Perkataan adik beradik bermaksud 1. (beberapa orang) yang mempunyai hubungan kekeluargaan(kerana seayah dan seibu), bersaudara. Yang betul ialah saya mempunyai dua orang adik- beradik. Sila rujuj Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 9. Tatabahasa26.03.2009
Yang mana betul? 1 Kakak membantu ibu menyusukan adik. 2 Kakak membantu ibu untuk menyusukan adik. 3 Kakak membantu ibu menyusui adik. 4 Kakak membantu ibu untuk menyusui adik.Ayat yang betul ialah 1. Kakak membantu ibu menyusukan adik.Tatabahasa08.04.2013
Adakah ketiga-tiga ayat ini boleh diterima? 1)Adik menonton kartun. 2) Adik menonton animasi kartun. 3) Adik menonton rancangan kartun.

Ketiga-tiga ayat di atas adalah betul.

Tatabahasa13.09.2023
12345678910...

Kembali ke atas