Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[au.tis.me] | اءوتيسمى

Definisi : (Psi) gangguan mental yg mula mun­cul pd peringkat kanak-kanak yg menye­babkan seseorang berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dgn masyarakat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[au.tis.me] | اءوتيسمى

Definisi : ist gangguan mental pd peringkat kanak-kanak yg menyebabkan pesakit berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dgn orang lain. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata autisme


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya ingin bertanya tentang perbezaan perkataan AUTISME dan AUTISTIK? Perkataan manakah yang paling sesuai untuk digunakan?Mengikut data DBP, istilah autisme merujuk pada gangguan mental pada peringkat kanak-kanak yang menyebabkan pesakit berkelakuan tidak normal dan sukar berkomunikasi dengan orang lain. Kata autistik pula bermaksud menderita penyakit autisme (berkenaan dengan pesakit). Kesesuaian penggunaan antara kedua-dua istilah bergantung pada konteks penggunaan, iaitu autisme jenis penyakit gangguan mental pada kanak-kakan, manakala autistik pesakit kanak-kanak yang mengidap gangguan mental tersebut.Makna22.09.2017
Salam Mohon pengesahan penggunaan terma Autism Spectrum Disorder dalam bahasa melayu adalah Kecelaruan Spektrum Autisme. Adakah ia boleh digunakan? Terima kasihSelamat ptg. Kecelaruan Spektrum Autisme boleh digunakan. Sekian, terima kasih.Istilah22.08.2016
Assalamualaikum dan salam sejahtera. Saya Siti Fatira, pelajar perubatan International Medical University (IMU), ingin membuat kajian mengenai Autisme di Seremban. Bagi menjayakan kajian ini, saya perlu terjemahkan 1 soal selidik yang berbahasa inggeris ke bahasa Melayu. Oleh itu, saya ingin meminta pihak Dewan Bahasa dan Pustaka menyemak soal selidik yang telah siap diterjemahkan. Tetapi, saya tidak mengetahui cara- cara untuk berhubung dengan pihak tuan bagi menyemak soal selidik tersebut. Bolehkah pihak tuan perjelaskan cara-cara untuk saya meminta khidmat nasihat dari pihak Dewan Bahasa dan Pustaka? Terima Kasih. Kerjasam daripada pihak tuan amatlah dihargai.Untuk makluman puan, Khidmat Nasihat Bahasa hanya menyemak dokumen yang tidak melebihi tiga halaman. Dokumen  akan disemak dalam tempoh seminggu minggu dan akan di-e-mel kepada puan setelah selesai disemak.
Lain-lain27.11.2015
Assalamualaikum. Saya ingin membuat semakan terjemahan bagi perkataan 'sensory overload', adakah 'beban sensori' atau 'beban deria' yang lebih tepat? Perkataan ini adalah berkaitan dengan autisme. Terima kasih.Untuk makluman, tidak ada istilah khusus bahasa Melayu untuk sensory overload dalam pangkalan data kami. Istilah bahasa Melayu untuk sensory ialah deria dan istilah untuk overload ialah beban lebih. Oleh itu, istilah yang dicadangkan untuk sensory overload ialah beban lebih deria.Istilah19.11.2012
Adakah ayat berikut betul dari segi tatabahasanya dan jika salah sila nyatakan alasannya. 1. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. 2. Antara satu sama keluarga dengan keluarga yang lain...Ayat 1 sepatutnya: Autisme ialah sejenis penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Dalam ayat ini, ejaan autisma sepatutnya autisme dan penggunaan "ialah" hendaklah diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja. Ayat 2 agak mengelirukan, sepatutnya "Antara satu keluarga dengan keluarga yang lain".Tatabahasa24.02.2009
Assalamualaikum. Soalan saya, apakah terjemahan yang tepat bagi 'bullet points'? Contoh ayat: Hasil daripada kajian rintis ini pengkaji hanya perlu menambah prompts dalam bentuk bullet points pada soalan 'bagaimanakah anda membesarkan anak autisme?'.Cadangan terjemahan yang sesuai bagi "bullet point" ialah simbol tanda peluru Makna13.07.2021
Nyatakan sama ada ayat yang dinyatakan menepati sistem tatabahasa yang sepatutnya? Jika tidak berikan sebab dan ayat yang sebetulnya. 1. Mereka mempamerkan ciri-ciri kanak-kanak autistik yang sebenar : suka bersendirian, tidak boleh bergaul langsung dengan kanak-kanak lain, menunjukkan tingkah laku aneh yang tidak boleh menggunakan atau memahami bahasa. 2. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. 3. Antara satu sama keluarga dengan keluarga yang lain... 4. ... ibu bapanya akan lebih sukar menjaganya.Ayat 2 sepatutnya: Autisme ialah sejenis penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Dalam ayat ini, ejaan autisma sepatutnya autisme dan penggunaan kata sendi nama "ialah" hendaklah diikuti oleh kata nama atau frasa nama yang bersifat persamaan sahaja.  Manakala  kata "adalah" hadir di hadapan atau sebelum kata adjektif atau kata sendi dalam sesuatu ayat. Misalnya; Wang yang dikumpulkan itu adalah untuk tujuan amal. Ayat 3; agak mengelirukan, sepatutnya "Antara satu keluarga dengan keluarga yang lainTatabahasa24.02.2009
Adakah ayat berikut betul dan jika salah sila nyatakan alasannya dan ayat yang betul. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan bersabar menghadapi kanak-kanaka autistik ini dan mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah seperti ini memerlukan banyak perhatian dan ini mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Dari seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisma boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dari semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisma sering terdapat di kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang mengalami kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisma. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses pendiagnosan.

Sdr. de miraz, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP.

berikut diberikan ayat yang telah dibaiki untuk perhatian Sdr.

 1. Ahli keluarga perlu tabah dan sabar menghadapi kanak-kanak autistik ini. Mereka perlu mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai bagi menghadapi masalah seperti ini. Oleh sebab  banyak perhatian perlu diberikan kepada kanak-kanak seperti ini ia mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga sendiri anak sepenuh masa di rumah.  2. Ini sering menyebabkan...  3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan.  4.Daripada  seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisme boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak daripada semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi, walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisme sering terdapat dalam kalangan keluarga-keluarga profesional.  5. Autisme ialah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak yang mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan kanak-kanak yang menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisme. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering dijalankan tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses diagnosis.

 

Tatabahasa24.02.2009

Kembali ke atas