ARKIB | Arkib ialah koleksi maklumat sejarah. Saiz arkib berbeza-beza daripada arkib negara yang besar sehingga kepada koleksi fail di sekolah dan kolej atau di premis syarikat swasta. Banyak organisasi kerajaan mempunyai arkib. Contohnya, di England dan Ireland, arkib dikenali sebagai pejabat rekod kaunti . Pejabat ini merekodkan topik seperti perbicaraan mahkamah tempatan; mesyuarat badan-badan kerajaan tempatan; pembangunan jalan raya, jambatan dan landasan kereta api; pasar tempatan dan perincian mengenai keluarga tempatan. | UMUM | |
BADAN BERKANUN | BADAN BERKANUN, sebuah perbadanan awam dalam struktur pentadbiran kerajaan. Badan berkanun ditubuhkan oleh kerajaan Persekutuan di bawah undang-undang yang diluluskan oleh Parlimen, dan oleh kerajaan negeri di bawah enakmen yang diluluskan oleh Dewan Undang Negeri masing-masing. Penubuhan badan berkanun pada umumnya bertujuan untuk membolehkan penglibatan kerajaan secara terus dan lebih berkesan dalam bidang perkhidmatan awam dan pembangunan sosioekonomi yang memerlukan modal yang banyak dan kurang mendapat sambutan daripada sektor swasta. Badan berkanun dijangka akan dapat memainkan peranan yang lebih aktif dan bebas kerana badan tersebut tidak perlu mengikut peraturan biasa yang diamalkan dalam pentadbiran kerajaan, walaupun badan itu diletakkan di bawah kuasa kerjaaan Persekutuan dan kerajaan Negeri. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |
PORT LOUIS | Port Louis (pend. 138 482) ialah ibu negara, bandar terbesar dan pelabuhan terkemuka Mauritius, negara pulau di Lautan Hindi. Port Louis terletak di tanah pamah di pantai barat laut pulau ini yang juga dikenali sebagai Mauritius. Untuk lokasi, lihat Mauritius (peta). Industri utama bandar ini ialah pembuatan tekstil, loji memproses makanan, syarikat perkapalan, dan badan kerajaan. Gula merupakan keluaran utama Mauritius yang dieksport melalui Port Louis. | UMUM | |
BALAI PUSTAKA | BALAI PUSTAKA, badan kerajaan yang diberi tugas oleh pemerintah Indonesia untuk menerbitkan buku-buku yang bermutu bagi bacaan para pelajar sekolah dan juga untuk bacaan umum. Badan ini pada mulanya didirikan oleh penjajah Belanda pada tahun 1908 dengan nama Commissie voor de Inlandsche School en Volkslectuur iaitu Suruhanjaya untuk Sekolah Peribumi dan Bacaan Rakyat. Suruhanjaya ini dianggotai oleh enam orang ahli jawatankuasa dengan dipengerusikan oleh Dr. G.A.J. Hazeu. Tugas Suruhanjaya ini adalah untuk memilih tulisan yang baik untuk digunakan di sekolah-sekolah dan dijadikan bacaan rakyat. Kerajaan Belanda berbuat demikian dengan tujuan untuk menyekat penerbitan bahan-bahan lain yang mengganggu dasar penjajahan mereka di samping untuk menerbitkan bahan-bahan yang dapat menonjolkan kekuasaan Belanda. Pada tahun 1917, Suruhanjaya tersebut ditukar namanya kepada Kantoor voor de Volkslectuur atau Kantor Bacaan Rakyat atau yang lebih terkenal dengan nama Balai Pustaka, dan Dr. D. A. Ringkes dilantik menjadi ketuanya. | BAHASA | Bandar/Negeri/Negara/Tempat |
PERTUBUHAN KEBAJIKAN ISLAM MALAYSIA (PERKIM) | Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) ialah badan bukan kerajaan yang kegiatan utamanya tertumpu kepada kerja-kerja kebajikan dan dakwah khususnya di kalangan saudara baru. Untuk mencapai matlamat ini, PERKIM melaksanakan beberapa program kebajikan pada peringkat kebangsaan dan antarabangsa. | UMUM | |
PERDANA MENTERI | Perdana menteri ialah ketua kerajaan. Ketua negara – raja atau permaisuri di negara pemerintahan beraja atau presiden di negara republik – melantik perdana menteri. Di kebanyakan negara, ketua negara hanya boleh melantik pemimpin parti yang mempunyai suara majoriti dalam badan perundangan atau kerajaan campuran. Perdana menteri dan kabinet bertanggungjawab kepada badan perundangan. Ini bermakna perdana menteri dan Kabinet patut meletakkan jawatan sekiranya badan perundangan menolak peruntukan utama dasar mereka. Sistem ini dikenali sebagai sistem kerajaan berkabinet (lihat Kabinet ). | UMUM | |
MAJLIS PEMULIHARAAN ALAM | Majlis Pemuliharaan Alam ialah badan yang dilantik oleh kerajaan untuk bertanggungjawab terhadap semua aspek pemuliharaan alam di United Kingdom. Pada tahun 1990, badan ini dibubarkan menjadi tiga organisasi yang berbeza. Organisasi itu ialah Countryside Council for Wales, English Nature, dan Scottish Heritage. Jawatankuasa Gabungan Pemuliharaan Alam menyelaraskan kegiatan ketiga-tiga organisasi wilayah ini. Di bawah Akta Kawalan Alam Sekitar tahun 1990, kumpulan ini menandakan simpanan alam negara, menentukan tempat-tempat yang mempunyai kepentingan saintifik, dan bertanggungjawab kepada penentuan simpanan alam laut. | UMUM | |
PERBADANAN PEMBANGUNAN BANDAR (UDA) | Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) ialah badan berkanun di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan. Badan ini lebih dikenali sebagai UDA iaitu singkatan daripada Urban Development Authority. UDA berfungsi sebagai pelaksana dasar-dasar kerajaan bagi menyusun semula masyarakat selaras dengan Dasar Ekonomi Baru (DEB) melalui pembangunan dan penyusunan semula bandar. | UMUM | |
BIRO KESUSASTERAAN BORNEO | BIRO KESUSASTERAAN BORNEO, jabatan dalam kerajaan Sarawak dan Sabah, khususnya menampung semua keperluan yang berkaitan dengan kesusasteraan. Biro ini ditubuhkan pada 15 September 1959, dan dikendalikan atas dasar separa-perdagangan, iaitu bekerjasama dengan badan-badan lain dalam perdagangan buku. | SASTERA | Institusi/Organisasi |
UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN JOHOR | UNDANG-UNDANG TUBUH KERAJAAN JOHOR, undang-undang tertinggi yang dibuat dan diluluskan oleh badan berkuasa tertinggi bagi menguruskan hal ehwal negeri Johor dan perkara-perkara yang berkaitan dengannya. Ia diakui sebagai undang-undang tertinggi negeri Johor. Bahagian mukadimah Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor ini memperuntukkan bahawa dengan kuasa yang ada, maka diperturunkan undang-undang dan peraturan bagi tujuan pentadbiran dan pengurusan negeri dan ia hendaklah dipakai berterusan, diwarisi dan tidak boleh dipinda dengan sewenang-wenangnya. Undang-undang ini hendaklah diterima pakai oleh semua anak negeri dan keengganan seseorang untuk mengakuinya atau mematuhinya boleh dianggap sebagai telah melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang. | SEJARAH DAN ARKEOLOGI | Konsep |