Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[bé.bas] | بيبس

Definisi : (bébas) 1. tidak terhalang (utk bergerak, bercakap, dll), tidak terkongkong, tidak terkurung, lepas, leluasa: angkasa ~; dunia ~; politik ~; setiap orang ~ mengeluarkan pendapatnya; 2. lepas drpd kewajiban (tuntutan, ketakutan, cukai, hukuman, dll): ia ~ drpd kewajiban memberi belanja kpd bekas isterinya; tidak seorang pun ~ drpd cukai; 3. merdeka (tidak dikuasai oleh negara lain): negara-negara ~ menjadi ahli BB; ~ cukai tidak dikenakan sebarang cukai (tentang perniagaan, barang, dll); ~ tol a) tidak dikenakan bayaran utk panggilan telefon: syarikat itu menyediakan satu talian telefon ~ tol; b) tidak dikenakan bayaran utk menggunakan jalan raya, jambatan dll: kerajaan akan menyediakan laluan alternatif ~ tol bagi setiap jalan bertol;membebaskan 1. memberi keadaan bebas (utk bergerak, bercakap, dll), memberi keleluasaan, melepaskan: baru beberapa hari dibebaskan drpd tahanan, ia sudah mencuri lagi; 2. melepaskan drpd kewajiban (tuntutan, tekanan, hukuman, dll): tidak patut ia ~ diri drpd tanggungjawab terhadap gadis itu; 3. memerdekakan (drpd kekuasaan lain): angkatan bersenjata Sekutu ~ Yunani drpd tangan Fasis; 4. memberhentikan (drpd tugas atau jawatan): pegawai itu dibebaskan drpd jawatannya;kebebasan perihal (keadaan) bebas, kemerdekaan: Kedah mencari ~ negerinya drpd takluk orang-orang Siam; ~ akhbar kebebasan surat khabar menyiarkan berita (membuat ulasan dsb) tanpa dikongkong atau disekat;pembebasan perihal (perbuatan, tindakan, usaha) membebaskan: negara itu meneruskan perjuangan ~ wilayahnya yg diduduki musuh; pembebas orang (alat dll) yg membebaskan: kuman ~ nitrogen. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[bé.bas] | بيبس

Definisi : /bébas/ 1 tidak dihalang atau tidak disekat-sekat melakukan sesuatu: Tiap-tiap murid ~ memberikan pendapatnya. 2 tidak dikenakan apa-apa hukuman dsb; lepas drpd sebarang tuduhan dsb: Sekarang saya berasa gembira sekali kerana ~ drpd perasaan takut dan curiga. 3 tidak diperintah oleh negara-negara lain; merdeka: Bermula dr 31 Ogos 1957, negara kita ~ drpd penjajahan Inggeris. ~ tol a. (bkn talian atau panggilan telefon) tidak dikenakan bayaran: talian ~ tol. b. (bkn jalan raya, jambatan dsb) tidak dikenakan bayaran jika menggunakannya: Mereka menggunakan laluan ~ tol utk pulang ke kampung. membebaskan 1 membiarkan bergerak dan melakukan sesuatu dgn bebas: Tepat pd pukul empat petang, ia ~ anak-anaknya keluar bermain-main. 2 melepaskan seseorang drpd sebarang hukuman dsb: Tuan Hakim telah ~ Ali drpd tuduhan mencuri. 3 memberikan kemerdekaan; memerdekakan: Kita mesti bekerja keras dan sanggup berdikari utk ~ negara kita drpd cengkaman penjajah. kebebasan keadaan atau hal bebas: Pihak pembangkang telah diberi ~ utk mengemukakan pendapat di parlimen. terbebas dpt bebas atau dibebaskan; dlm keadaan bebas: Kebanyakan haba ~ dr badan ke alam sekitar melalui proses sinaran. pembebasan hal, cara, perbuatan membebaskan. pembebas 1 orang yg membebaskan. 2 alat yg digunakan utk membebaskan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata bebas

Puisi
 

Ambil parang pergi menebas,
     Dahannya jatuh merata-rata;
Dulu hamba mergastua bebas,
     Sekarang dijerat si molek jelita.


Lihat selanjutnya...(3)
Peribahasa

Bagai jawi terkurung siang.

Bermaksud :

Sangat gelisah kerana tidak bebas.

 

Lihat selanjutnya...(6)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Apakah "zon bebas", "zon bebas cukai" dan "zaman sains" boleh di kategorikan sebagai simpulan bahasa di dalam sistem pendidikan negara kita?Zon bebas, zon bebas cukai dan zaman sains bukanlah simpulan bahasa, sebaliknya frasa tersebut merujuk tempat dan tempoh masa.Tatabahasa06.11.2012
Apakah perbezaan klausa bebas, klausa terikat dan klausa utama...? Berikan contohnya. TQVMKlausa bebas ialah klausa yang dapat berdiri sendiri dan bersifat sebagai ayat lengkap apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna. Klausa tak bebas ialah klausa yang tidak dapat berdiri sendiri. Dalam ayat yang mengandungi klausa bebas dan klausa tak bebas, klausa bebas disebut klausa utama, manakala klausa tak bebas disebut klausa kecil. Contohnya: Kamu pandai (klausa bebas/klausa utama) kerana kamu rajin belajar (klausa tak bebas/klausa kecil).Tatabahasa27.05.2011
Saya ada kemusykilan tentang soalan ini? Sejauh manakah klausa bebas menjadi klausa terikat? Sekian, terima kasih.Buku Tatabahasa Dewan membahagikan klausa kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas. Klausa bebas dapat berdiri sendiri dan menjadi ayat lengkap apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna. Contohnya, subjek "kamu" dan predikat "pandai" jika diucapkan dengan intonasi yang sempurna akan menjadi ayat lengkap "kamu pandai". Walau bagaimanapun klausa bebas ini dengan sifatnya sebagai ayat yang sempurna boleh juga menjadi sebahagian daripada ayat yang lebih bebas, contohnya "kamu pandai kerana kamu rajin belajar". Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 433.Tatabahasa05.04.2013
Apakah perbezaan klausa bebas dan klausa terikat? Berikan contohnya.TQVM

Klausa bebas ialah klausa yang dapat berdiri sendiri dan bersifat sebagai ayat lengkap apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna. Klausa terikat/klausa tak bebas tidak dapat berdiri sendiri. Dalam ayat yang mengandungi klausa bebas dan klausa tak bebas, klausa bebas disebut klausa utama - Kamu pandai, manakala klausa tak bebas disebut klausa kecil - kerana kamu rajin belajar.

Tatabahasa20.05.2011
Salam, apakah kata "kalimat" bermaksud klausa bebas atau klausa tidak bebas, ataupun kata ini sama makna dengan "klausa" sahaja? Terima kasih.

Menurut Kamus Pelajar Bahasa Malaysia Edisi Kedua, Kalimat bermaksud kata atau kumpulan kata yang berhubungan dan mempunyai maksud tertentu manakala klausa pula bermaksud ayat kecil yang mempunyai subjek dan predikatnya sendiri dan menjadi sebahagian daripada ayat yang lebih besar.

Berdasarkan Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, klausa terbahagi kepada dua jenis, iaitu klausa bebas dan klausa tak bebas. Klausa bebas ialah klausa yang dapat berdiri sendiri dan bersifat sebagai ayat lengkap apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna manakala klausa tak bebas ialah klausa yang tidak dapat berdiri sendiri. Contoh ayat Kamu pandai kerana kamu rajin belajar menunjukkan bahawa “Kamu pandai” merupakan klausa bebas manakala “kerana kamu rajin belajar” merupakan klausa tak bebas.

Lain-lain17.11.2021
yang tepat "bebas dari pengaruh" ataupun "bebas daripada pengaruh"?Salam sejahtera,

Penggunaan ayat yang tepat ialah "bebas daripada pengaruh..." 

Sekian, terima kasih.
Tatabahasa09.01.2020
Apa maksud badan bebas?Badan bebas ialah badan atau pertubuhan atau kumpulan yang sama ada dilantik oleh pihak tertentu atau diwujudkan atas matlamat tertentu yang tidak dikongkong, tidak terikat atau tidak dikuasai oleh pihak lain. Contoh : pihak kerajaan melantik kumpulan pakar untuk mengkaji kesan pencemaran alam sekitar akibat pembuangan sisa toksid, maka badan tersebut diberi kuasa atau kebebasan untuk melaksanakan tugasnya tanpa dikongkong oleh pihak kerajaan. Makna27.05.2008
Selamat sejahtera, tuan/puan. Maaf, saya ingin bertanya. Perkataan "hand free" jika diterjemahkan di dalam bahasa Melayu menjadi "peranti bebas tangan" atau "alat peranti bebas tangan"? Mohon penjelasan daripada pihak DBP. Sekian, terima kasih.Pihak kami mencadangkan "hands-free" diterjemahkan sebagai "bebas tangan". "Peranti bebas tangan" pula merupakan padanan bagi istilah "hands-free device".
 
Istilah17.08.2020
Kerja sama atau kerjasama? "Kerja" dan "sama" dua morfem bebas, kan? Morfem bebas dieja terpisah daripada satu sama lain kerana dapat berdikari dalam ayat. Hanya morfem terikatlah yang dieja rapat, seperti awalan meN- pada kata "membasuh" dan partikel -lah pada kata "berikanlah". Tiadalah alasan untuk D.B.P. membentuk senarai kata majmuk mantap kerana D.B.P. membentuk kata majmuk mantap atas kelaziman masyarakat yang merupakan sikap yang tidak betul kerana kelaziman masyarakat itu, iaitu pengejaan "keretapi", "kerjasama", "matahari" tidak berasaskan tata bahasa bahawa morfem bebas dapat berdikari. Jika pengejaan "kerjasama" yang kelaziman masyarakat kata majmuk mantap, "keretapi" juga kelaziman masyarakat, mengapakah tidak dikira kata majmuk mantap?Kata majmuk ialah gabungan dua perkataan atau lebih dan mempunyai satu makna, kata majmuk yang mantap sahaja dieja satu perkataan iaitu warganegara, setiausaha, olahraga, jawatankuasa, tandatangan, suruhanjaya, tanggungjawab, kakitangan, antarabangsa, jawatankuasa, pesuruhjaya, matahari, bumiputera, sukarela, kerjasama, beritahu. Kata majmuk yang lain dieja dua perkataan.

Perkataan kereta api dieja terpisah.Tetapi apabila sudah didaftarkan sebelum penyelarasan sistem ejaan baharu, 
Tetapi jika nama khas, apatah lagi nama yang digazetkan, walaupun ejaannya tidak mengikut Sistem Ejaan Rumi, hendaklah ditulis mengikut ejaannya yang telah digazetkan. Contohnya: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Keretapi Tanah Melayu (KTM), Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS). Percanggahan ejaan berlaku disebabkan oleh faktor sejarah bahasa. Sistem Ejaan Rumi Baharu Bahasa Malaysia dirasmikan penggunaannya pada 16 Ogos 1972. Kemudian, pada tahun 1975, DBP menerbitkan buku Pedoman Umum Ejaan Bahasa Malaysia (1975) dan buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Malaysia (1981). Nama Keretapi Tanah Melayu (sejak 1948) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (sejak Feb 1972) wujud sebelum 16 Ogos 1972, oleh itu tidak terikat dengan Sistem Ejaan Rumi Baharu BM. Nama-nama yang wujud terkemudian tetapi mengekalkan ejaan Bandaraya, misalnya Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah, Majlis Bandaraya Shah Alam, Majlis Bandaraya Ipoh dll mungkin bertujuan untuk penyelarasan nama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Sama juga dengan situasi nama stesen kereta api di Malaysia.
Lain-lain09.09.2017
Soalan : 1.Bagaimanakah cara membezakan klausa bebas dan klausa terikat? 2.Ali memberitahu Abu bahawa adiknya sakit.(frasa manakah klausa bebas?apa alasannya? 3.Apakah beza homonim,homograf dan homofon? 4.Frasa..antara satu dengan/sama lain? 5.Ali menyatakan bahawa dirinya tidak sebijak Abu.Adakah frasa bahawa.....Abu itu dianggap objek?Adakah frasa'menyatakan' itu kata kerja transitif sedangkan tidak boleh dipasifkan? 6. Apakah maksud bilangan kardinal?adakah masih digunakan dalam linguistik? 7. Abu tidak pergi ke sekolah kerana sakit. Abu tidak pergi ke sekolah kerana beliau/dia sakit. Soalan :Adakah ayat pertama dianggap tidak gramatis kerana tergantung kerana tiada KGND beliau/dia? Bagaimana nak kenal pasti ayat yang tergantung atau pengguguran? 8.Apakah penjodoh bilangan yang sesuai bagi ekor lembu yang dipotong dari pangkalnya (sepanjang 1 meter barangkali)? 9.Kali pertama dianggap lewah,adakah frasa Mesyuarat Agung pertama kali itu lebih tepat? #Terima kasih atas khidmat nasihat DBP,semoga sama2 dapat memartabatkan bahasa ibunda kita.Insya-Allah. 6.

1. Klausa bebas ialah klausa yang dapat berdiri sendiri dan bersifat sebagai ayat lengkap apabila diucapkan dengan intonasi yang sempurna. Klausa terikat/klausa tak bebas tidak dapat berdiri sendiri. Dalam ayat yang mengandungi klausa bebas dan klausa tak bebas, klausa bebas disebut klausa utama, contoh: Kamu pandai, manakala klausa tak bebas disebut klausa kecil, contoh: kerana kamu rajin belajar.

2. Ali memberitahu Abu ialah klausa bebas, manakala bahawa adiknya sakit ialah klausa terikat. Alasannya dijelaskan pada perkara 1.

3. Homonim ialah perkataan yang sama bunyi atau ejaannya dengan perkataan lain tetapi berbeza maknanya. Homograf ialah perkataan yang sama ejaannya dengan perkataan lain tetapi berbeza maknanya. Homofon ialah perkataan yang sama bunyi dengan perkataan lain tetapi berbeza maknanya.

4. Frasa yang betul ialah antara satu sama lain.

5. Frasa Ali tidak sebijak Abu ialah frasa bandingan.

6. Bilangan kardinal atau nombor kardinal ialah nombor yg menyatakan kuantiti mis 1, 2, 3...

7. Ayat tersebut gramatis kerana yang sakit itu merujuk Abu sahaja. Ayat yang lengkap perlu ada subjek dan predikat.

8. Penjodoh bilangan yang sesuai ialah batang.

9. Mesyuarat Agung Pertama sudah memadai.

Tatabahasa05.11.2011
12345678910...

Kembali ke atas