Surah al-Nisa’ ialah salah satu daripada surah
Madaniyyah, surah yang keempat mengikut
susunan surah-surah al-Qur’an dan mengandungi
176 ayat. Ia dinamakan al-Nisa’ (wanita) kerana di
dalam surah ini terdapat banyak hukum yang
berkaitan dengan wanita sedangkan hukum-hukum
sebegini tidak terdapat dalam surah-surah lain.
Surah al-Nisa’ juga disebut surah al-Nisa’ al-Kubra
berbeza dengan surah al-Nisa’ al-Sughra yang juga
dikenali dalam al-Qur’an sebagai surah al-Talaq.
Surah al-Nisa’ ini seperti juga surah-surah
Madaniyyah lain, membahaskan secara terperinci
mengenai hukum-hukum syariah yang mengatur
kehidupan dalaman serta luaran kaum Muslimin
iaitu tanggungjawab, hukum-hukum syariah,
menceritakan mengenai asas-asas penting yang
bersangkutan dengan kaum wanita, rumah tangga,
keluarga, negara dan masyarakat.