Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Saya dikehendaki membuat analisis tentang pembentukan Kata Sendi Nama di dalam sebuah novel. Saya menghadapi satu kemusykilan: Kata Sendi Nama "di" -Contoh Ayat: "Kenapa susah sangat rasa seperti ini singgah dan bertapa lama (di dalam) untuk Nurul?" -Soalan: Adakah perkataan "di dalam" boleh diambil sebagai Kata Sendi Nama "di" dan "dalam"? Diharap pihak DBP dapat menjawab kemusykilan saya ini dengan segera. Terima kasih. NUR AMANINA SUHAIMI | Salam, Untuk makluman. Contoh ayat yang diberikan tidak tepat. Ayat yang lebih jelas: "Kenapa susah sangat rasa seperti ini singgah dan bertapa lama dalam hati Nurul?". Selain itu, dalam ialah kata arah dan kata sendi nama. Sebagai kata arah, perkataan dalam akan hadir sesudah kata sendi nama untuk menunjukkan hala atau tempat, misalnya di dalam atau ke dalam. Kata sendi nama dalam pula digunakan di hadapan frasa nama yang membawa pengertian "lingkungan yang tidak mempunyai jarak atau ruang seperti perkara, fikiran, peristiwa, hal dan sebagainya". Manakala kata sendi nama 'di' digunakan khusus di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat, seperti ayat: Abang menyusun gelas di atas meja; manakala kata sendi ke digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat/arah yang dituju, seperti ayat: Mereka akan ke Kuantan esok. Untuk maklumat lanjut, rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 265. | Tatabahasa | 24.10.2015 |
Saya musykil dengan perbezaan antara kata akar, akar kata dan kata dasar. Tolong perjelaskan terima kasih | Dalam Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga terdapat istilah akar kata dan kata dasar, tetapi tidak terdapat istilah kata akar. Akar kata (root word) bermaksud bentuk morfem terikat (tetapi bukan imbuhan) yang tidak bertaraf perkataan dan berpotensi menerima imbuhan atau bergabung dengan perkataan lain. Contohnya, tapa dalam bertapa, tani dalam pasar tani. Kata dasar atau bentuk dasar (base form) ialah bentuk kata yang berpotensi menerima sebarang imbuhan atau perubahan tatabahasa. | Tatabahasa | 25.04.2011 |
apakah beza penggunaan 'per' dan 'pe'? | Perbezaan penggunaan awalan peR- dan pe- seperti yang dinyatakan dalam buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 114-115 adalah seperti yang berikut: Awalan peR- sebagai penanda alat atau tempat : perasap(tempat membakar kemenyan); perbara(tempat bara api untuk membakar kemenyan). Awalan peR- sebagai penanda makna orang yang melakukan kerja(dengan awalan ber-): perburu(orang yang berburu);pertapa(orang yang bertapa). Awalan pe- sebagai penanda makna orang atau benda yang mengalami perbuatan dalam kata dasar atau keadaan: petinju(orang yang bertinju)petaruh(benda yang dipertaruhkan). Awalan pe-sebagai penanda makna orang yang melakukan kerja yang terkandung dalam maksud kata dasar:pekebun(orang yang berkebun);pekedai(orang yang berkedai). | Tatabahasa | 16.03.2009 |