Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ce.bur] | چبور

Definisi : bunyi spt bunyi benda dibuang ke air; mencebur 1. terjun ke air; 2. membuat bunyi cebur; menceburi memasuki serta giat dlm (sesuatu bidang kegiatan), melibatkan diri dlm, meli­bati: sebahagian besar ahli mahukan koperasi ~ bidang perniagaan yg lebih menguntungkan; menceburkan 1. membuang (mencampakkan) sesuatu ke air; 2. menyebabkan termasuk ke dlm sesuatu atau berada dlm sesuatu keadaan (biasanya yg tidak menyenangkan): ini telah ~ Islam ke dlm proses pensekularan yg tidak masuk akal; ~ diri a) terjun ke dlm (air dll); b) memasuki atau mencampuri (politik, hal orang, dll): ~ diri dlm lapangan sukan; tercebur 1. termasuk (terjatuh) ke dlm air (telaga dll); 2. termasuk ke dlm (kesengsaraan, kehinaan, persengketaan, dll): kau orang perempuan, senang ~ ke lembah kehinaan; penceburan perihal (perbuatan) menceburi sesuatu bidang kegiatan: bidang pentadbiran dan pengurusan semakin pesat berkembang dgn ~ para cendekiawan pd masa itu. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ce.bur] | چبور

Definisi : bunyi spt bunyi benda besar jatuh ke air. mencebur 1 membuat bunyi cebur. 2 terjun ke air. menceburkan mencampakkan (sesuatu) ke air. ~ diri a. terjun ke air. b. mencampuri atau memasuki (politik dll): ~ diri dlm bidang politik. tercebur 1 termasuk (terjatuh) ke dlm air (kolam dsb). 2 termasuk ke dlm kesengsaraan (kehinaan dsb). (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata cebur


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Apa maksud menceburi, ceburi? Kenapa perkataan itu tiada dalam kamus dewan?

Kata dasar untuk menceburi dan ceburi ialah “cebur” semua perkataan ini ada dalam Kamus Dewan. Sila rujuk perkataan “cebur”.

Lain-lain06.04.2022
Salam sejahtera, Tuan/Puan, Soalan saya berkenaan dengan maksud dan penggunaan kata "cebur" dan "kecimpung", dan kenapa terdapat 2 perkataan berlainan tapi dengan maksud sama (jika maksud kedua-dua perkataan ini adalah sama)? Contoh konteks penggunaan dua perkataan ini bagi persoalan saya ialah berikut; dan saya mengambil contoh dari artikel (https://www.ukm.my/news/arkib-berita/year-2014/april-2014/graduan-harus-menceburi-perniagaan-bukan-makan-gaji/) Perenggan 4: "Bagaimana pun Shamsuddin menggalakkan mereka yang ingin menceburi perniagaan perlu mewujudkan peluang baru perniagaan dan bukannya berkecimpung dalam perniagaan yang sudah sedia ada." Dalam perenggan ini, perkataan "menceburi" seolah-olah bermaksud bahawa baru mahu bermula untuk melibatkan diri dalam perniagaan. Perkataan "berkecimpung" pula seakan-akan sudah lama bergiat dalam bidang perniagaan. Oleh yang demikian, pemahaman saya ialah kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan untuk menggantikan sesama perkataan, bergantung kepada penyusunan semula ayat, tetapi perbezaan antara dua ini ialah dari segi penggunaan: "cebur" bagi sesuatu yang baru hendak melibatkan diri, manakala "kecimpung" adalah bagi yang telah lama melibatkan diri. Soalan saya, adakah pemahaman saya ini betul atau salah? Sekian, terima kasih.

Berdasarkan petikan “Bagaimanapun Shamsudin menggalakkan mereka yang ingin menceburi perniagaan perlu mewujudkan peluang baru perniagaan dan bukannya berkecimpung dalam perniagaan yang sudah sedia ada”  Pemahaman tuan dalam konteks petikan tersebut betul kerana “ingin menceburi” bermaksud baru/berhasrat untuk berniaga. Manakala “berkecimpung” dalam petikan tersebut merujuk kepada perniagaan yang sedia ada. Kata “cebur” dan “kecimpung” ialah kata nama yang bemaksud “bunyi seperti benda yang besar jatuh ke dalam air”. Kata “menceburi” dan “berkecimpung” pula menbawa makna kiasan iaitu “melibatkan diri secara aktif dalam sesuatu pergerakan, kegiatan ekonomi, politik dan sebagainya”. Kata “menceburi” dan “berkecimpung” boleh bertukar ganti penggunaannya berdasarkan konteks ayat. Perkataan yang berbeza, namun mempunyai maksud yang sama membuktikan kekayaan kosa kata bahasa Melayu.


Tatabahasa03.12.2021

Kembali ke atas