SEMANG, suku kaum Orang Asli yang terdapat di bahagian utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand. Masyarakat Semang juga terdapat di Filipina hingga ke Kepulauan Andaman di Teluk Bengal, selatan Myanmar, pedalaman Sumatera dan Sulawesi. Istilah Semang digunakan oleh orang Melayu bagi merujuk kepada Orang Negrito yang hidup memburu dan memungut hasil hutan di Semenanjung Malaysia. Di Selatan Thailand, orang Semang juga dikenal sebagai ‘Tonga’ atau ‘Mos’. Manakala di Kelantan, masyarakat ini dikenal sebagai ‘Pangan’. Namun, kedua-dua istilah ini telah diketepikan dan digantikan dengan istilah Negrito.
PEKANBARU, kotamadya dan ibu kota Propinsi Riau, Sumatera, Indonesia. Luas wilayahnya ialah 446, 50 km persegi yang terdiri daripada lapan kecamatan dan 45 desa. Pekanbaru adalah kota pelabuhan yang berperanan cukup besar dalam mengeksport hasil hutan dan minyak dari Propinsi Riau. Kota ini berkembang pesat dengan pembukaan kawasan cari gali minyak di Duri, Minas, Dumai, Pedada dan Lirik. Kota ini juga merupakan pusat pemasaran hasil bumi, antara lain getah dan kayu rimba, dari daerah sekitarnya.
Thanks for clicking. That felt good.