PORTLAND, DUKE OF | Portland, Duke of (1738–1809) ialah perdana menteri Britain yang memegang jawatannya sebanyak dua kali. Semasa memimpin Parti Whig (lihat Parti Whig ), dia mengetuai kerajaan campuran untuk jangka waktu yang pendek pada tahun 1783. Pada tahun berikutnya, pendiriannya berubah dan dia keluar daripada Parti Whig, lalu menyertai Parti Tory. Dari tahun 1794 hingga tahun 1801, dia berkhidmat sebagai setiausaha dalam negeri di bawah William Pitt the Younger. Pada tahun 1807, dia kembali menjadi perdana menteri dan mengetuai kerajaan Tory. | UMUM | |
SAWAI | Sawai ialah istilah yang umumnya digunakan untuk menerangkan sebarang keadaan separuh sedar atau lena yang luar biasa. Istilah ini juga boleh digunakan untuk menerangkan keadaan orang yang dipukau, menurun, dan orang yang mengalami gangguan mental. Kadangkala, sawai berlanjutan untuk jangka waktu yang agak panjang. Walau bagaimanapun, biasanya sawai hanya berlaku dalam tempoh waktu yang pendek. Perkataan sawai, pada mulanya digunakan bagi keadaan roh yang dipercayai telah meninggalkan tubuh bagi tempoh waktu tertentu. | UMUM | |
PERTUNJUKAN MINSTREL | Pertunjukan minstrel ialah bentuk hiburan unik yang terawal di Amerika. Pertunjukan minstrel bermula pada tahun 1840-an dan mencapai kemuncak kepopularannya kira-kira pada tahun 1870, walaupun ia hanya wujud sehingga kira-kira tahun 1900. Kebanyakan pertunjukan minstrel dilakukan oleh orang kulit putih. Mereka akan menghitamkan muka mereka jika ingin melakonkan watak orang kulit hitam. Beberapa kumpulan minstrel orang kulit hitam juga mengadakan pertunjukan di Amerika Syarikat. Pertunjukan minstrel memaparkan imej negatif orang kulit hitam dan imej ini kekal untuk jangka waktu yang lama selepas persembahan tersebut. | UMUM | |
SANTAU | SANTAU, ramuan beracun yang dikenakan kepada manusia untuk tujuan membalas dendam, menuntut bela, hasad dengki, sakit hati atau rasa tidak puas hati. Istilah santau tidak digunakan secara menyeluruh di kalangan orang Melayu. Terdapat kepercayaan bahawa iblis dan syaitan boleh dilibatkan sama dalam mengenakan santau. Ayat al-Quran, doa dan jampi serapah pula digunakan untuk memulihkan seseorang yang terkena santau. Dasar santau adalah sebenarnya racun. Bezanya, racun menghasilkan keadaan kesakitan dengan cepat dan jelas kelihatan, manakala kesan santau tidak kelihatan dalam jangka waktu yang singkat tetapi padahnya berlarutan. Pengamal perubatan tradisional lazimnya tidak dapat membezakan antara santau dan racun, tetapi santau dikenali dengan corak racun yang digunakan. | BUDAYA | Konsep |