Apakah perbezaan antara "orang kaya-orang kaya", "orang kaya-kaya" dan "orang-orang kaya"? Boleh terangkan setiap satu dari segi golongan kata? | Orang kaya bermaksud i. orang yang mempunyai banyak harta.ii. orang yang tinggi kedudukannya(pangkatnya,martabatnya). Kedua-dua perkataan ini tergolong dalam golongan kata kata nama. Makna pertama lebih bersifat umum dan yang kedua merujuk pada gelaran. Bentuk kata ganda bagi kata ini ialah orang-orang kaya. | Tatabahasa | 04.06.2008 |
Saya masih kurang faham..boleh terangkan, apakah yang dimaksudkan umum bagi perkataan "orang kaya-orang kaya"? Lagi satu, bagaimanakah pembentukan kata ganda "orang-orang kaya"? Apakah rumusnya?? | Orang kaya yang yang digunakan dalam konteks gelaran ditulis Orang Kaya. Orang kaya dalam konteks umum, ialah yang bermaksud orang yang mempunyai banyak harta. Dalam proses penggandaan hanya unsur pertama sahaja diulang, iaitu Orang-orang Kaya atau orang-orang kaya. | Tatabahasa | 05.06.2008 |
Adakah perkataan kaya-raya merupakan kata ganda semu? Dalam sistem prpm menunjukkan dua bentuk ejaan kaya raya sekali: -kaya-raya -kaya raya (tanpa tanda sengkang) Yang manakah ejaan yang betul? | Ejaan yang betul ialah kaya-raya dan perkataan ini termasuk dalam kata ganda berentak sama seperti cerai-berai dan gotong-royong. | Tatabahasa | 29.05.2012 |
Kata nama 'orang kaya' ditulis dalam huruf besar atau tidak? contohnya : Orang Kaya Jelebu orang kaya Jelebu ataupun kalau tiada nama tempat, dan hanya merujuk pada orang tersebut..contoh : "Saya pun bersetuju dengan kata- kata Orang Kaya dan sahabat- sahabat." atau "Saya pun bersetuju dengan kata- kata orang kaya dan sahabat- sahabat." | Frasa orang kaya kata nama am dan ditulis dengan huruf kecil, namun Orang Kaya Jelebu ialah kata nama khas dieja dengan huruf besar. | Ejaan | 01.08.2013 |
1. yang mana satu betul: a) kaya raya / kaya-raya b) disengat / di sengat c) hubungkait / hubung kait 2. apa beza perkataan di bawah dan yang mana penggunaan yang betul? a) peha:paha b) pernyataan : penyataan | 1. Kaya-raya 2. Disengat 3. Hubung kait 4. Ejaan yang betul ialah paha, manakala ejaan peha dianggap tidak baku dan tidak digunakan dalam konteks rasmi walaupun sebutan peha lebih kerap kita dengari. 5. Pernyataan bermaksud kenyataan rasmi yang di dalamnya terkandung gagasan, hasrat, isu dan sebagainya tentang sesuatu perkara. Penyataan bermaksud perbuatan menyatakan sesuatu. Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat, halaman 1089. | Ejaan | 06.08.2014 |
Ayat mana lebih tepat? 1a) Dia kaya tetapi dia tidak sombong 1b) Dia kaya tetapi tidak sombong 2a) Dia kaya dan tidak sombong 2b) Dia kaya dan dia tidak sombong Mohon pihak tuan dapat memberikan penjelasan mengenai ayat majmuk di atas supaya maklumat yang tepat dapat disampaikan kepada pelajar. Terima kasih. | Jawapan yang tepat: 1b) Dia kaya tetapi tidak sombong. ("tetapi" digunakan untuk memberi maksud yang berlawanan, iaitu "kaya" berlawanan sifatnya dengan "tidak sombong"). | Makna | 24.07.2014 |
Yang mana betul: a) Dia terkenal dengan jolokan "Anak Orang Kaya Damansara." b) Dia terkenal dengan jolokan 'Anak Orang Kaya Damansara.' c) Dia terkenal dengan jolokan "anak orang kaya Damansara." d) Dia terkenal dengan jolokan 'anak orang kaya Damansara.' | Ayat yang betul ialah: Dia terkenal dengan jolokan "anak orang kaya Damansara". | Ejaan | 31.10.2011 |
Salam sejahtera DBP Saya ingin yang mana satu daripada ayat-ayat di bawah ini yang tepat. (a) Makanan yang dijual di restoran Mamat sedap-sedap belaka. (b) Makanan yang dijual di Restoran Mamat sedap belaka. Terima kasih. | Makanan yang dijual di restoran Mamat sedap-sedap belaka. (Ayat ini betul.) Penerangan: Pengandaan kata dilakukan untuk menghasilkan makna-makna tersendiri, antaranya ialah kejamakan subjek kata sifat berkenaan, contohnya: besar-besar (Durian di dusunnya besar-besar belaka), sedap-sedap (Makanan di restoran Mamat sedap-sedap belaka), kaya-kaya (Penduduk Taman Harta ini kaya-kaya belaka). (Rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, Kata Adjektif Ganda, hlm. 239 dan Nahu Melayu Mutakhir, Gandaan Asal, hlm. 274 – 278.Makanan yang dijual di restoran Mamat sedap belaka. (Ayat ini betul.) Penerangan: Perkataan Makanan bermaksud jamak, belaka bermaksud semuanya atau seluruhnya sekali; oleh itu tidak perlu menggandakan perkataan sedap. | Tatabahasa | 18.05.2011 |
Bolehkah 'walaupun' digunakan bersama-sama dengan kata 'tetapi', misalnya: "Walaupun dia kaya tetapi dia kedekut". | Berdasarkan ayat yang telah diberikan oleh saudara ini, "walaupun" boleh digunakan bersama "untuk" bagi menunjukkan ayat yang orang kaya itu memang kaya, tetapi beliau memiliki sifat kedekut. Bagi membantu juga, saudara boleh membuat rujukan pada Buku Tatabahasa Dewan. | Lain-lain | 19.11.2007 |
Assalamualaikum tuan, Saya ingin bertanya berkaitan perkataan raya. Kebanyakan kata nama yang bergabung dengan raya akan membentuk kata majmuk. Cuma, terdapat kekeliruan berkaitan perkataan kaya raya yang dikategorikan dalam kata ganda berentak, iaitu kaya-raya. Bolehkah tuan terangkan proses pembentukan kata tersebut yang tergolong sebagai kata ganda berentak dengan lebih lanjut? | Walaupun perkataan “kaya” dan “raya” kedua-duanya memiliki maksud yang tersendiri, namun perkataan “kaya-raya” yang membawa maksud sangat kaya termasuk dalam kata ganda berentak. Kata ganda berentak ialah proses yang menggandakan kata dasar mengikut rentak bunyi tertentu dalam kata dasar itu. Maka, kata ganda “kaya raya” perlu dieja sebagai “kaya-raya”. Contoh lain kata ganda berentak ialah “hina-dina”, “gundah-gulana”, “haru-biru” atau “kacau-bilau”. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 986, Kamus Dewan Edisi Keempat (DBP, 2015), halaman 692 dan buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2008), halaman 138.
| Tatabahasa | 17.01.2024 |