Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ke.mas] | کمس

Definisi : 1. elok dan rapi kelihatannya (kerana segala-galanya teratur, tersusun, terurus, dsb dgn baik), teratur (tersusun dll) dgn elok atau rapi: bilik-bilik di rumah itu semuanya kelihatan ~; jahitan itu dimatikan dgn ~ dan teguh; barang-barang jualan biarlah kelihatan ~ dan dapat menarik perhatian para pelanggan; rumah ~ rumah yg bersih dan rapi (segala perabot dll tersusun dgn baik); 2. kuat, teguh, erat: pelukan Jalil yg ~ itu tidak terurai; 3. Mn beres, bersih, habis, selesai; 4. sihat, segar (tubuh): ~ rasanya badan; barang-barang ~ barang-barang yg tinggi nilainya (spt barang-barang perhiasan drpd emas, permata, dsb); berkemas, berkemas-kemas menyusun-­nyusun (mengatur-atur) barang-barang dsb supaya segala-galanya kelihatan rapi (tidak berselerak dll): Basir memerhatikan Ros ~ dgn berhati-hati benar nampaknya; ~ rumah membersihkan rumah dan mengatur perabotnya dll supaya (rumah) kelihatan rapi; mengemas, mengemasi mengatur (menyusun dll) rapi-rapi (tidak berselerak dsb), mengelokkan atau merapikan (tempat tidur, rumah, dll): malam itu Salim sibuk ~ dan mengumpulkan barang-barang kerajaan yg hendak diserahkan esoknya; ~ seluruh rumah sebelum menyambut hari raya; mengemas-ngemas membetulkan supaya rapi: dia bangun meninggalkan Lebai Pa yg ~ kopiah putih di kepalanya; mengemaskan 1. menjadikan tersusun (ter­atur, rapi, dll), membereskan: sekalian anak kapal sibuk ~ barang-barang kerana masing-masing hendak segera turun ke pangkalan; ~ diri menghiaskan diri (dgn bersolek, berpakaian bersih, dll); 2. menghabiskan (wang, harta benda, dll): belum berapa lama berkahwin, hartanya sudah dikemaskan oleh suaminya; memperkemas menjadikan lebih kemas (teratur, rapi, dll): bahagian penerangan pertubuhan itu sedang diperkemas supaya licin pentadbirannya; saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kpd beliau yg turut memberikan pandangan bagi ~ buku ini; kemasan 1. hasil kerja menghias sesuatu ruang: ~ begini menimbulkan seri dan membuat keadaan rumah tidak menjemukan; 2. sesuatu benda (kain, logam, dsb) yg diperelok bahagian permukaannya supaya kelihatan rapi; kekemasan keadaan kemas; perkemasan perihal berkemas-kemas; pengemasan perbuatan mengemas(kan); pengemas orang yg mengemasi (mengemas­kan): ~ bilik; ~ daftar fail. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ke.mas] | کمس

Definisi : 1 tersusun dgn elok dan bersih; teratur; rapi: Perajurit-perajurit itu berbaris di tengah padang dgn pakaian yg ~. 2 disiapkan atau disempurnakan dgn baik (elok dan cantik): Semua hasil kerja tangannya ~ kerana dia cermat semasa membuatnya. 3 kuat atau teguh (biasanya ikatan dll); erat: Barang-barang itu dibungkusnya ~-~. barang(-barang) ~ barang(-barang) yg mudah disimpan dan tinggi nilainya. berkemas menyusun atau mengatur supaya elok, bersih dll; bersiap-siap sebelum keluar dr rumah: Emaknya sibuk ~ di dlm bilik tidur. Dia ~ utk pergi ke rumah mentuanya. mengemas menyusun atau mengatur elok-elok; membungkus supaya tidak berselerak: Dia sibuk ~ barang-barang yg hendak dibawanya ke Pulau Pinang esok. mengemaskan menjadikan tersusun (teratur dll); menjadikan terkumpul atau kemas: Ia tidak diizinkan pulang sebelum ~ kerjanya. memperkemas menjadikan lebih kemas: Mereka ~ sistem pentadbiran negara. kemasan 1 apa-apa yg (telah) dikemaskan; bahagian yg dikemaskan: Mereka dilarang menyentuh ~ kerja yg baru saja dihasilkan itu. 2 bahan (spt lilin, cat) yg digunakan utk mengemaskan sesuatu: ~ yg biasa digunakan ialah cat minyak dan lilin. perkemasan hal berkemas(-kemas). pengemasan perbuatan, hal dsb mengemas atau mengemaskan. pengemas orang yg mengemaskan: ~ bilik. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kemas (adjektif)
1. Bersinonim dengan rapi: kemin, sering, terurus, teratur, tersusun,
Berantonim dengan berselerak

2. Bersinonim dengan kuat: teguh, erat, kukuh,

3. Bersinonim dengan beres: bersih, habis, selesai,

4. Bersinonim dengan sihat: segar

Kata Terbitan : berkemas, berkemas-kemas, mengemaskan, pengemas,

Puisi
 

Encik Gamung orang Melaka,
     Lipatlah kajang kemas-kemas;
Janganlah sombong adik berkata,
     Di mana kijang bertanduk emas?


Lihat selanjutnya...(9)
Peribahasa

Ada padi,
     segala menjadi.

Bermaksud :

Orang yang mampu (= kaya, berilmu) segala maksudnya mudah tercapai. (Peribahasa lain yang sama makna: Beremas kemas, berpadi menjadi).

 

Lihat selanjutnya...(2)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
petikan pertama : Ayat yang betul ialah: Murid-murid sedang menyusun meja dengan kemas, dengan kemas - merujuk cara kerja itu dilakukan. petikan kedua : Ayat yang betul ialah Siti menyusun meja supaya kemas dan Siti menyusun meja supaya kelihatan kemas. Kata sendi nama dengan dalam ayat ini membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan, sedangkan kemas bukan cara tetapi hasil. Contoh ayat yang menggunakan dengan ialah Siti menyusun meja dengan kerjasama adiknya. kedua-dua penjelasan itu saya ambil terus daripada khidmat nasihat yang ada dalam pangkalan data. soalan saya :yang mana betul?? menyusun meja dengan kemas atau menyusun meja supaya kemas atau menyusun meja hingga kemas?? tqFrasa yang betul ialah menyusun meja supaya kemas atau menyusun meja sehingga kemas.Tatabahasa31.08.2015
Apakah perbezaan antara 1 tersusun kemas 2 disusun dengan kemas 3 tersusun dengan kemasKetiga-tiga rangkai kata tersebut membawa maksud yang sama, iaitu perkara yang telah berlaku. Dari aspek tatabahasa, rangkai kata yang tepat ialah “tersusun kemas” dan “disusun dengan kemas.”Tatabahasa05.07.2023
Apakah perbezaan antara 1 tersusun kemas 2 disusun dengan kemas 3 tersusun dengan kemas

Ketiga-tiga rangkai kata tersebut membawa maksud yang sama, iaitu perkara yang telah berlaku. Dari aspek tatabahasa, rangkai kata yang tepat ialah “tersusun kemas” dan “disusun dengan kemas.”

 

Tatabahasa23.06.2023
1. kaunter pinjaman / peminjaman 2. Murid-murid sedang menyusun meja dengan kemas / hingga kemas.Ayat yang betul ialah: 1. kaunter pinjaman   2. Murid-murid sedang menyusun meja dengan kemas,  dengan kemas - merujuk cara kerja itu dilakukan. Tatabahasa31.03.2010
Tuan/Puan, Bagi maksud penulisan slogan “Kemas, Selamat, Ceria”, apakah penulisan yang betul? (i) “Kemas, Selamat, Ceria”; atau (ii) Kemas, Selamat, Ceria; atau (iii) Kemas, selamat dan ceria; atau (iv) KEMAS, SELAMAT, CERIA; atau (v) KEMAS, SELAMAT DAN CERIA? Sekian, terima kasih.

Kata hubung boleh ditiadakan dalam penulisan slogan, puan boleh menulis sebagai  KEMAS, SELAMAT,CERIA atau KEMAS,SELAMAT DAN CERIA dan boleh juga dalam tulisan huruf kecil.

Tatabahasa14.01.2015
Tuan, sila berikan jawapan untuk soalan 1 dan 2 di bawah, yang manakah ayat menggunakan perkataan yang diberikan dengan betul. Pilih perkataan kemas yang digunakan yang betul. 1. a)Barangan piuter tersusun kemas di sudut itu. b)Ali membungkus hadiah itu dengan kemas. c)Kakak sedang kemas dapur ketika saya pulang tadi.. d)Semua hasil kerja tangannya kemas dan cantik. 2. Pilih perkataan serong yang digunakan dengan betul. a)Tulisannya serong sedikit. b)Kuih itu saya potong serong. c)Pokok itu serong sedikit ke sebelah kanan. d)Janganlah cepat memandang serong terhadap orang lain. sekian terima kasih.Ayat yang betul ialah:

1. (a)Barangan piuter tersusun kemas di sudut itu. (b)Ali membungkus hadiah itu dengan kemas. (d)Semua hasil kerja tangannya kemas dan cantik.

2. (b)Kuih itu saya potong serong. (d)Janganlah cepat memandang serong terhadap orang lain.
Tatabahasa20.02.2015
mohon penjelasan penggunaan kata KEMAS yang betul. 1. Soraya memegang tangan adiknya dengan KEMAS semasa mereka hendak melintas jalan. 2. Encik Omar menyemak hasil laporan itu dengan KEMAS sebelum menghantarnya kepada Tan Sri Hashim.Perkataan "kemas" adalah bersinonim atau seerti dengan "rapi, terurus, teratur, tersusun, dll.". Perkataan "kemas " juga bersinonim dengan "kuat, teguh, erat, kukuh,bersih, segar, selesai, dll."Tatabahasa19.05.2015
Salam sejahtera. Ayat-ayat yang manakah betul? (1) Siti menyusun meja dengan kemas. (2) Siti menyusun meja supaya kemas . (3) Siti menyusun meja supaya kelihatan kemas . Terima kasih .

Ayat yang betul ialah Siti menyusun meja supaya kemas dan Siti menyusun meja supaya kelihatan kemas. Kata sendi nama ‘dengan’  dalam ayat ini membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan, sedangkan  ‘kemas’ bukan cara tetapi hasil. Contoh ayat yang menggunakan ‘dengan’ ialah ‘Siti menyusun meja dengan kerjasama adiknya.

Tatabahasa22.07.2014
Salam sejehtera 1. Abang memangkas pokok bunga dengan pemangkas supaya keadaan halaman rumah menjadi rapi/kemas. Adakah penggunaan "rapi@kemas" dalam ayat tersebut betul ? T.kasihPenggunaan rapi atau kemas dalam ayat tersebut adalah betul.Makna08.04.2019
pusat beli-belah atau pusat membeli-belah bengkel baiki kereta atau bengkal membaiki kereta menemui barang kemas atau menemukan barang kemas apa maksud 'berjujup-jujup' dan 'berdedai-dedai'

Frasa yang betul ialah 'pusat beli-belah'; Bengkel baiki kereta; menemukan barang kemas; berdedai-dedai ialah berjalan berduyun-duyun (berturur-turut) dengan tidak beraturan; sila pastikan ejaan 'berjujup-jujup' kerana dalam Kamus Bahasa Melayu Nusantara ditemukan kata 'berjujuk-jujuk' yang bermakna beratur, berbanjar, berduyun-duyun.

Tatabahasa14.03.2008
12345678910...

Kembali ke atas