Khat Arab ialah seni penulisan kaligrafi Arab. Ia
banyak dibantu oleh keunikan struktur bahasa Arab
yang agak fleksibel, lembut, boleh dipanjangkan
dan dipendekkan, boleh dipusingkan, boleh ditulis
secara berasingan, bahkan boleh disambungkan,
digabungkan dan disusun. Keadaan sedemikian
menjadikan khat Arab sebagai satu seni yang indah
dan bersesuaian dengan sebarang perubahan
dan perkembangan. Jadi, satu hubungan yang
kuat terbentuk antara setiap jenis khat dengan
bahan yang digunakan untuk penulisannya. Khat
Arab agak lembut, sesuai dengan keindahan
dan keseniannya. Kita juga dapat melihat ia
agak kukuh dan mempunyai keseimbangan,
dengan mengambil sepenuhnya ruang yang luas
di segenap sudutnya. Kita melihat kekukuhan
dan kelembutan, sering bertukar ganti dan
berkesinambungan dalam penulisan khat ini. Pada
setiap keadaan, ia akan melekakan pemerhatinya
dengan keindahannya yang unik serta keistimewaan
bentuknya yang unggul dan menawan. Keadaan
ini menempatkannya di kedudukan yang istimewa
dalam bidang seni reka bentuk.
Khat Arab bergantung pada seni dan keindahan
berdasarkan kaedah tersendiri, hasil kesesuaian
antara khat, titik dan bentuk bulat. Corak
penampilan unsur khat ini digunakan secara seni,
seperti seni reka bentuk yang lain. Contohnya,
khat dan susunannya tidak memberi makna dari
sudut luaran sahaja, tetapi ia juga memberi makna
keindahan yang lahir daripada corak unik yang
memberikannya satu bentuk keindahan. Pada masa
yang sama, bentuk keindahan ini terpisah daripada
unsur-unsur khat dan bersambung dengan corak-coraknya
yang unik.