Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[ki.rim] | کيريم

Definisi : bp = berkirim, mengirim, mengirim­kan; berkirim (sedang) menyampaikan atau meminta supaya disampaikan: ada lagi Raja ~ kpd Tuan Bonham seekor kambing kembiri; ~ surat; ~ salam (sembah); ~ diri sl menyerahkan diri utk diperlindungi; berkirim-kiriman saling berkirim (surat dll): mereka berdua sudah kerap kali ~ surat; mengirim 1. menyampaikan atau meng­hantar (surat dll) menerusi sesuatu (spt pos dll): biasanya Karim ~ surat sebulan sekali; 2. = mengirimkan menyuruh pergi ke sesuatu tempat, menghantar, mengutus: Amerika sedia ~ rombongan pakar itu bila-bila masa sahaja; 3. Jk menyerahkan (meng­amanatkan, menumpangkan) barang pd seseorang atau sesuatu tempat (utk disimpan, dijual, dll), menitipkan; mengirimi berkirim (mengirim, mengirim­kan) kpd: selalu dia ~ saya surat menceritakan keadaan dirinya; terkirim sudah dikirim (dikirimkan); kiriman 1. sesuatu yg dikirim, pemberian (yg dihantar, dikirim): ia sangat mengharapkan wang ~ anaknya; terimalah pula limau manis ~ dr Semarang; ~ pos wang yg dikirim dgn cara tertentu melalui pos; 2. Jk sesuatu yg diamanatkan (diserahkan) utk disimpan (dijual dll), titipan; pengiriman perihal (perbuatan, usaha, dsb) mengirim (menghantar): mereka membantah keras ~ tentera ke negeri tersebut; pemogokan pekerja-pekerja pelabuhan mengganggu ~ barang ke luar negeri; pengirim orang dll yg mengirim: surat ini untukmu tetapi nama ~nya tidak dinyatakan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[ki.rim] | کيريم

Definisi : ; berkirim sedang menyampaikan atau meminta supaya disampaikan sesuatu (kpd seseorang): ~ surat; ~ salam. mengirim 1 menyampaikan atau menghantar sesuatu melalui pos dll: Sudah lama dia tidak ~ surat kpd orang tuanya di kampung. 2 mengutus rombongan dll ke sesuatu tempat; menghantar: Malaysia akan ~ pasukan bola sepaknya ke pertandingan itu. mengirimi mengirim kpd: Ali ~ ayahnya sepucuk surat. kiriman sesuatu yg dikirim; pemberian yg dikirim. pengiriman perbuatan (usaha dll) mengirim: ~ bahan-bahan makanan ke kawasan yg dilanda kemarau; ~ sepasukan tentera ke perbatasan. pengirim orang dll yg mengirim sesuatu; penghantar. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kirim (kata kerja)
Bersinonim dengan hantar, utus, pos, titip;,
Kata Terbitan : mengirimkan, kiriman, pengiriman, pengirim,

Puisi
 

Kalau abang pergi Kelantan,
     Kirim saya setangkai bunga;
Kalau abang rindu tak makan,
     Saya di sini tidur tak lena.


Lihat selanjutnya...(22)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Yang saya kirim itu adalah hasil translation ke bahasa melayu dari penerjemah yang saya bayar. Saya kirimkan ke sini, supaya mendapatkan pengecekan dari DBP. Terima kasih.Melalui semakan kami dalam beberapa baris yang awal, banyak ditemukan kesalahan dari aspek ejaan, istilah dan tatabahasa. Seorang penterjemah mestilah mengetahui ejaan yang betul dan menguasai aspek tatabahasa. Banyak ditemukan kesalahan dalam aspek asas tatabahasa seperti penggunaan kata pemeri ialah dan adalah serta perbezaan awalan "di" dan kata sendi nama "di" dan lebih banyak lagi kesalahan dalam binaan ayat dan terjemahan istilah atau konsep. Untuk makluman tuan, kami tidak bertanggungjawab untuk menyemak apatah lagi mengesahkan hasil terjemahan yang telah dibuat kerana pihak yang dibayar sewajarnya bertanggungjawab menyiapkan kerja yang diberikan dengan sempurna sehinggalah tuan berpuas hati dengan hasil kerja mereka.
Kami mencadangkan tuan menggunakan perkhidmatan penterjemahan yang ditawarkan oleh Persatuan Penterjemah Malaysia yang boleh dihubungi melalui talian 03-92262506 atau terjemah1@gmail.com.


Tatabahasa25.05.2014
Yang saya kirim itu adalah hasil translation ke bahasa melayu dari penerjemah yang saya bayar. Saya kirimkan ke sini, supaya mendapatkan pengecekan dari DBP. Terima kasih.Tidak ada dokumen yang dilampirkan, sila hubungi kami semula.Lain-lain25.05.2014
1)surat itu saya sudah kirim 2)cerpen itu mengisahkan tentang perjuangan menentang penjajah 3)Lampu-lampu di bandar itu dilihat sungguh indah pada waktu malam

Yang lebih gramatis adalah seperti yang berikut:

1. Surat itu sudah saya kirim.

2. Cerpen itu mengisahkan perjuangan menentang penjajah.

3. Ayatnya betul.

Tatabahasa17.11.2011
Rangkai kata ini tidak terdapat dalam PRPM Apakah maksud "mengirimkan doa"? Adakah ia bermaksud mengirimkan doa kepada tuhan ataupun seseorang berdoa untuk kebaikan seseorang yang lain?Kirim lazimnya digunakan dalam konteks sesuatu yang boleh dilihat secara fizikal seperti surat. Dalam konteks agama Islam, kita meminta alim ulama atau wali mendoakan kesihatan kita atau orang lain, dan kita tidak menggunakan istilah mengirimkan doa.Tatabahasa16.07.2012
Mohon tuan beri pendapat tentang penterjemahan bagi perkataan "forward" dalam ayat berikut: 1) Forward call to another number. (Majukan panggilan ke nombor lain.) 2) Forward message to email. (Majukan mesej ke email. ATAU Kirim semula mesej ke email.) Konteksnya berkenaan dengan aplikasi mudah alih yang membolehkan pengguna saling membuat panggilan serta menghantar mesej.Terjemahan forward call dan forward message belum ada dalam sumber rujukan kami. Kami mencadangkan forward call to another number ialah majukan panggilan ke nombor lain atau seterusnya dan  forward message to e-mail ialah memanjangkan mesej ke e-mel.
Makna22.09.2016
Adakah betul perkataan berkiriman, bertembakan,bertikaman merupakan kata kerja transitif (merujuk kepada tatabahasa Dewan edisi ke-3 ms 200)? Antara ciri kata kerja transitif perlu diikuti oleh penyambut/objek tetapi kata-kata di atas tidak memenuhi ciri-ciri tersebut. Jawapan diperlukan segera untuk penerangan kepada pelajar Tingkatan Enam.Merujuk contoh ayat dalam sumber rujukan kami, kata kirim - berkiriman ialah kata kerja transitif, contohnya: Mereka berdua sudah kerap kali berkiriman surat; manakala contoh ayat bagi kata bertembakan, bertikaman, bertaburan dan bersambutan tidak diikuti objek sebagai pelengkap menandakan kata tersebut adalah kata kerja tak transitif. Hal ini akan kami rujuk kepada penyusun Tatabahasa Dewan dan maklumat yang berkaitan akan di-e-melkan kepada puan dengan kadar segera.Tatabahasa12.04.2011
Tuan, mengapakah tidak wujud bentuk "menghantarkan" dan "mengirimkan" dalam Kamus Pelajar Edisi Kedua terbitan DBP? Adakah hal ini kerana bentuk "menghantar" dan "mengirim" sudah mencukupi untuk membawa maksud membawa barang ke sesuatu tempat? Jadi, "menghantarkan" dan "mengirimkan" ialah bentuk lewah, iaitu bentuk yang berlebih-lebihan daripada bentuk "menghantar" dan "mengirim"?Tidak semua kata mempunyai kata terbitan yang sama. Jika "hadiah" dan "anugerah" boleh menerbitkan kata "menghadiahkan" dan "menganugerahkan", rumus yang sama tidak terpakai pada semua perkataan. Inilah yang dikatakan kekecualian dalam bahasa Melayu. Jika tuan memerlukan penjelasan tentang kata "hantar" dan "kirim" tidak menerbitkan kata "menghantarkan" dan "mengirimkan", ada baiknya tuan berhubung terus dengan pihak yang berwenang dalam hal ini. Tuan boleh hubungi Editor Kamus Pelajar, Puan Aziah Tajuddin melalui talian 03-21479182/aziah@dbp.gov.my dan Editor Kamus Dewan, Puan Salmah Jabar , melalui talian 03-21479686/salmah@dbp.gov.my.Tatabahasa16.12.2014
Salam, Boleh saya tahu perbezaan maksud 'perantara' dan 'pengantara' serta konteks penggunaan kedua-duanya? Terima kasih.
Menurut data kami, perkataan perantara membawa maksud orang tengah, peng­hubung (dalam perundingan dan lain-lain): dia hanya berlaku sebagai ~ dalam perselisihan saya dengan Leman. (Kamus Dewan Edisi Keempat) manakala pengantara bermaksud  1. perihal mengantarai (ber­tindak sebagai orang tengah): dalam pertikaian antara Malaysia dgn Indonesia diminta ~ dari negeri Siam; 2. penghubung (antara dua orang dan lain-lain): saya kirim surat ini dengan ~ kawan saya; 3. = dengan ~ dengan jalan, melalui: kursus itu diberikan dengan ~ radio; 4. ark hubungan (pertalian, pergaulan): ~ dgn majikannya sudah kurang baik; (Kamus Dewan Edisi Keempat)Sehubungan dengan itu, kedua-dua perkataan tersebut boleh digunakan kerana membawa maksud hampir sama.
Makna12.08.2018
Selamat petang tuan. Ingin saya tanyakan bahawa mengapakah binaan frasa seperti "memasak banyak makanan" tidak betul? Dr. Awang Sariyan menyalahkan binaan frasa perbuatan melampau (perbuatan melampau = kata kerja transitif) demikian kerana berpendirian bahawa kata "banyak" bukan kata bilangan, tetapi kata sifat, dan kata sifat tidak boleh diletakkan di antara perbuatan melampau dengan penyambut (objek) kerana menjadi sisipan yang menghalang kelangsungan hubungan perbuatan melampau dengan penyambut. Perbuatan melampau mesti dikenakan langsung terhadap penyambut. Saya pula tidak berijtihad atau berpendapat sedemikian. Saya merasakan bahawa "banyak" kata bilangan tak tentu seperti yang tercatat dalam Tatabahasa Dewan (keterangan ini ada dalam lampiran WordPad). Frasa perbuatan melampau seperti "memasak banyak makanan" terdiri daripada perbuatan melampau "memasak" yang disambut oleh penyambut frasa nama "banyak makanan", dan frasa nama itu terbahagi kepada kata bilangan tak tentu "banyak" sebagai penentu hadapan yang diikut kata nama inti "makanan". Diperhatikan bahawa "banyak" bukan sisipan, tetapi termasuk dalam frasa nama penyambut sebagai salah satu bahagian. Untuk pemahaman lanjut, sila tuan rujuk WordPad yang telah saya lampirkan. WordPad ini berisi soal saya tentang hal ini yang saya kirim kepada Dr. Awang Sariyan melalui e-mel beliau. Pinta tuan menolong saya menyelesaikan soal ini juga. Terima kasih atas iltizam dan kesudian tuan!Kata bilangan ialah sejumlah perkataan yang menjadi penerang jumlah frasa nama dan hadir sebelum frasa tersebut. Kata bilangan dapat dibahagikan kepada beberapa jenis, iaitu
 a) kata bilangan menunujukkan jumlah yang tentu sifatnya disebut bilangan kardinal. Contohnya dua, dua puluh, sejuta dan sebagainya.
b) kata bilangan yang menunjukkan bilangan tak tentu. Contohnya segala, semua beberapa, sedikit dan sebagainya.
c) kata bilangan yang membawa maksud himpunan. Contohnya, ketiga-tiga, berabad-abad, berguni-guni dan sebagainya.
d) kata bilangan yang membawa maksud pisahan. Contohnya maisng-masing, tiap-tiap dan sebagainya.
e) kata bilangan yang membawa maksud pecahan. Contohnya setengah, sepertiga, dua pertiga dan sebagainya.

Pihak kami menggunakan buku Tatabahasa Dewan sebagai rujukan utama.
Lain-lain07.11.2016
Apakah jawapan yang betul untuk menukarkan ayat aktif yang berikut kepada ayat pasif? 1. Saya telah mengirimi adik wang saku untuk keperluannya belajar di luar negara. 2. Ayah menghadiahi emak seutas rantai emas sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

Ayat pasif ialah ayat yang mengandungi kata kerja yang mengutamakan objek asal dan menjadikannya subjek baharu. Terdapat tiga jenis ayat pasif iaitu:

  1.    Ayat pasif dengan imbuhan kata kerja pasif
  2.    Ayat pasif dengan kata ganti nama diri pertama dan kata ganti nama diri kedua
  3.    Ayat pasif dengan perkataan kena yang hadir sebelum kata kerja.

 

Berdasarkan soalan tersebut, cadangan jawapan adalah seperti yang berikut:

  1.    Wang saku adik telah saya kirim untuk keperluannya belajar di luar negara.
  2.    Emak dihadiahi oleh ayah seutas rantai emas sempena ulang tahun perkahwinan mereka.

Untuk maklumat lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Tatabahasa18.07.2023

Kembali ke atas