Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[lang.kah] | لڠکه

Definisi : 1. gerak kaki ketika berjalan (ke hadapan atau ke belakang): pasangan suami isteri itu pun berjalan pulang dgn ~ yg berat; 2. jarak di antara dua belah kaki ketika ber­jalan: ada kira-kira lima ~ ia meninggalkan tangga rumah, ia berhenti; 3. cara mengerjakan sesuatu, sesuatu yg dikerjakan, perbuatan: sejak tadi lagi kuketahui dan kuawasi ~nya; 4. awal perbuatan (perjalanan, pekerjaan, dll); ~ baik (buruk) permulaan yg baik (buruk); ~ bendul a) berkahwin dahulu drpd kakak; b) memperisteri adik sedangkan kakaknya belum berkahwin; ~ gelombang dua belas nama gerak dlm pencak silat; ~ kanan mujur; ~ kiri sial (tidak beruntung); ~ surut undur (langkah ke belakang); mengangkat (membuka, mengambil) ~ seribu cabut lari (kerana takut dll); melangkah, berlangkah 1. menggerakkan langkah, mengayunkan langkah, berjalan: ia ~ dua langkah ke hadapan; 2. memulai perjalanan (pelayaran dll): serta mustaid ia pun ~lah dgn tauhid hatinya meninggalkan kampung halaman; 3. = melangkahi; 4. tidak mengikut susunan, melangkau: dilang­kahnya beberapa perenggan lalu membaca perenggan yg lain; 5. ark melalui, menem­puh: ~ lautan; melangkahi 1. melampaui, melangkaui: ia terus ~ tangga; 2. melanggar, tidak mengikut tatatertib (peraturan dll), menyalahi: per­buatan spt itu dianggap telah ~ adat Melayu; adat bermain pantai itu sudah menjadi adat pusaka yg tak boleh dilangkahi lagi; ~ bendul langkah bendul; ~ laki bermukah (bkn perempuan yg sudah bersuami); melangkahkan 1. menggerakkan langkah, menggerakkan kaki kerana berjalan: dia ~ kakinya mundar-mandir mengelilingi Kota Melaka; 2. memulakan perjalanan atau pelayaran (perahu dll); langkahan hasil perbuatan melangkah: harimau itu berhenti drpd meneruskan ~ kakinya; kelangkahan 1. suami yg isterinya berlaku curang; 2. didahului adiknya berkahwin, kelampauan; 3. Jk dilangkahi atau dilalui; pelangkahan 1. perihal melangkah (me­langkahi, melangkahkan); 2. = pelangkah permulaan sesuatu pekerjaan (pelayaran, tindakan, dll): menurut ilmu ~, ini alamat buruk; pd kali ini, barulah pelangkahnya betul kerana waktu ia sampai, bapanya sudah balik. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[lang.kah] | لڠکه

Definisi : 1 gerakan kaki ketika berjalan: Mereka berjalan dgn ~ yg perlahan. 2 jarak antara dua belah kaki ketika berjalan: Dia berundur tiga ~. 3 apa-apa yg dikerjakan; tindakan; perbuatan: Pihak polis sentiasa mengawasi setiap ~ yg dilakukannya. ~ baik (buruk) permulaan yg baik (buruk). ~ bendul ki hal adik berkahwin dahulu sebelum kakak (bkn adik-beradik perempuan). ~ kanan mujur. ~ kiri sial atau tidak beruntung. ~ seribu perbuatan melarikan diri secepat-cepatnya kerana takut dll. melangkah 1 menggerakkan langkah: Dia berhati-hati ~ supaya tidak terpijak tanah yg becak. 2 memulakan perjalanan, pelayaran dll: Baru saja ia ~ dr rumah, hari pun hujan. melangkahi 1 melakukan sesuatu melebihi yg sepatutnya; melampaui: ~ batas. 2 tidak mematuhi peraturan, nasihat dsb; melanggar (perintah dsb): ~ kakak lebih dahulu berkahwin (ttg adik); ~ suami berlaku curang terhadap suami. melangkahkan 1 menggerakan (kaki) ke depan utk berjalan. 2 memulakan sesuatu perjalanan (pelayaran dsb) dgn upacara. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
langkah (kata nama)
Bersinonim dengan tindakan, perbuatan, ikhtiar, usaha, jalan, cara;,
Kata Terbitan : melangkah, melangkahi,

Peribahasa

Panjang langkah,
     singkat permintaan.

Bermaksud :

Telah sampai ajalnya.

 

Lihat selanjutnya...(9)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
langkah langkah mengekalkan bahasa melayu sebagai bahasa rasmi.

Langkah-langkah untuk mengekalkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi/bahasa kebangsaan 

i. Telah diwartakan dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 152.  

ii. dijadikan sebagai bahasapengantar sekolah aliran kebangsaan menginut Penyata Razak dan Penyata Rahman Talib.

iii. Penubuhan DBP sebagai badan yang bertanggungjawab dalam membina dan mengembangkan bahasa Melayu.  

Untuk maklumat lanjut, saudara digalakan mengunjungi Pusat Dokumentasi Melayu, DBP atau mana-mana perpustakaan/pusat sumber yang banyak menyediakan bahan/buku berkaitan dengan perkara ini.   

Lain-lain15.02.2009
1. Apakah Langkah-Langkah dalam proses editorial. 2. Apakah kriteria atau persoalan yang difikirkan ketika saya membuat semakan kandungan dan format sesuatu manuskrip.Langkah-langkah umum dalam proses editorial ialah mengedit manuskrip sehingga bersih, membuat penyemakan pruf dan seterusnya dihantar ke bahagian percetakan sehingga manuskrip terbit. 2. Sewaktu menyemak manuskrip, kriteria yang perlu disemak ialah tatabahasa, ejaan, gaya bahasa dan sebagainya.Untuk keterangan terperinci, mohon mendapatkan maklumat lanjut melalui Jabatan Penerbitan.Lain-lain21.06.2014
contoh ayat: langkah yang berkesan harus diambil untuk membendung masalah penganiayaan kanak-kanak. Mana satu jawapan yang betul : langkah yang berkesan atau langkah-langkah yang berkesanJawapan yang betul ialah langkah-langkah yang berkesan.Tatabahasa31.05.2013
Salam sejahtera, Apakah langkah-langkah yang sewajarnya perlu diimplementasikan demi mengatasikan masalah ini? Persoalannya, adakah ayat di atas dianggap gramatis?Ayat yang betul ialah Apakah langkah-langkah yang sewajarnya perlu diimplementasikan demi mengatasi masalah ini?Tatabahasa29.07.2010
Assalamualaikum.Apakah perbezaan makna antara perkataan "mengelak" dengan "mengelakkan"? Ayat yang manakah betul: Ayat 1: Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi "mengelakkan" penyakit berjangkit terus menular? Ayat 2: Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi "mengelak" penyakit berjangkit terus menular? Mohon pencerahan.Mengelak dan mengelakkan membawa maksud yang sama iaitu menjauhkan atau menghindarkan diri daripada kena bahaya (tanggungjawab dan lain-lain), menjauhkan atau menyingkirkan sesuatu supaya jangan mengenai diri dan lain-lain. Namun begitu, mengelak ialah kata kerja tak transitif, manakala mengelakkan pula ialah kata kerja transitif yang perlu diikuti objek dalam ayat.

Ayat yang betul ialah "Langkah-langkah pencegahan perlu diambil bagi mengelakkan penyakit berjangkit terus menular." Perkataan yang menerima imbuhan meN-...-kan merupakan ayat kerja aktif transitif yang mengandungi objek yang terdiri daripada frasa nama untuk melengkapkan maksudnya. 
Tatabahasa18.02.2021
Apakah langkah-langkah yang sesuai untuk mengatasi kemerosotan penggunaan bahasa Melayu pada masa ini? Apakah faktor-faktor utama kemerosotan penggunaan dalam bahasa melayu?

Banyak langkah-langkah yang sesuai boleh diambil untuk mengatasi kemerosotan penggunaan bahasa Melayu (BM) pada masa kini antaranya aktiviti Bulan Bahasa dan Sastera Negara yang telah dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sejak bertahun-tahun dahulu sehingga kini. Kecenderungan masyarakat mengagung-agungkan bahasa Inggeris (BI) dalam berbagai bentuk adalah antara punca kemerosotan penggunaan BM dan ditambah lagi dengan sokongan pihak berwajib dalam penguatkuasaan penggunaan BI dalam mata pelajaran Sains dan Matematik. Untuk maklumat lanjut sila rujuk artikel-artikel yang berkenaan yang telah terbit di akhbar-akhbar  dan majalah-majalah tempatan bagi menjawab persoalan tuan/puan.

 
Lain-lain15.10.2008
langkah-langkah mengeratkan hubungan sesama jiran tetangga dan kepentingan memelihara hubungan jiran tetanggaHubungan sesama jiran tetangga adalah penting bagi memelihara kehidupan yang sejahtera dan bersatu padu. Usaha mengeratkan hubungan sesama jiran hendaklah diamalkan oleh semua orang. Langkah-langkah untuk mengeratkan hubungan sesama jiran bergantung kepada sikap seseorang itu. Antaranya termasuklah sikap bertolak ansur, berbudi bahasa, bertegur sapa, hormat menghormati, jujur, tidak berdengki dan berdendam, tolong menolong dan saling menziarah. Dalam kehidupan bermasyarakat, memelihara hubungan sesama jiran amat penting bagi menjamin kehidupan yang sejahtera, selamat, aman dan bersatu padu. Melalui usaha ininjuga, dapat mengelakkan perpecahan dan pergaduhan sesama jiran. Masayarakat yang bersatu  akan menyumbang ke arah mewujudkan sebuah negara yang bersatu padu, aman dan sejahtera.Lain-lain04.06.2008
Adakah ayat berikut betul? Para pengakap mendengar taklimat tentang peraturan perkhemahan dan langkah-langkah keselamatan di hutan yang disampaikan Cikgu Rosli.Para pengakap mendengar taklimat tentang peraturan perkhemahan dan langkah-langkah keselamatan di hutan yang disampaikan Cikgu Rosli. Ayat ini betul.Tatabahasa06.05.2015
Antara langkah/antara langkah-langkah menjaga alam sekitar ialah..... Mana satu ygang betul?
Ayat yang betul ialah antara langkah menjaga alam sekitar ialah ...
Tatabahasa21.02.2020
tolong semakan perenggan ayat ini dan beri panduan: Antara langkah-langkah untuk lmengatasi kesesakank lalu lintas adalah pihak kerajaan dan pihak swasta ganding bahu untuk menjayakan kempen berkongsi kereta. Melalui cara ini, kesesakan lalu lintas dikurangkan dan penggunaan petroleum untuk kereta individual dapata dijimalkan...
Antara langkah-langkah untuk lmengatasi kesesakank lalu lintas adalah pihak kerajaan dan pihak swasta ganding bahu untuk menjayakan kempen berkongsi kereta.

Antara langkah untuk mengatasi kesesakan lalu lintas ialah kerjasama antara pihak kerajaan dan swasta untuk menjayakan kempen berkongsi kereta

Ialah digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala adalah digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya.

Melalui cara ini, kesesakan lalu lintas dikurangkan dan penggunaan petroleum untuk kereta individual dapata dijimalkan

Melalui kempen tersebut, kesesakan lalu lintas dapat dikurangkan dan penggunaan petrol kereta dapat dijimatkan.

petrol = minyak drpd petroleum yg telah dibersihkan dan digunakan sbg bahan api utk menjalankan enjin; minyak benzin.
Tatabahasa13.10.2012
12345678910...

Kembali ke atas