Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[me.ngum.pul.kan] | مڠومڤولکن

Definisi : 1. menjadikan atau mem­buat supaya berkumpul, mengambil (mengutip) benda-benda yg berselerak (bercerai-cerai) supaya menjadi sekelompok: ia asyik memerhatikan seorang perempuan tua yg sedang ~ benda-benda yg bertaburan di lantai; hendaklah dikumpulkan dulu perkakas-perkakas yg diperlukan sebelum memulakan kerja; 2. mengerahkan (orang dll) supaya menjadi pasukan, menghimpunkan, mengam­pungkan: Panglima Hitam ~ orang-orangnya dan menyusun rancangan menyerang musuh; 3. menjumlahkan (menyatukan) sebilangan sesuatu supaya menjadi suatu jumlah; ~ wang menyimpan wang berdikit-dikit hingga menjadi (agak) banyak; (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[me.ngum.pul.kan] | مڠومڤولکن

Definisi : 1 memungut atau mengutip sesuatu yg berserak supaya menjadi sekelompok: Emaknya sedang ~ buku yg berselerak di lantai. 2 memanggil (orang) supaya berkumpul; menghimpunkan: ~ tentera utk menentang musuh. 3 menyimpan dan menambah bilangan supaya bertambah banyak: ~ wang; ~ harta. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
kumpul
Kata Terbitan : berkumpul, mengumpulkan, terkumpul, kumpulan, perkumpulan, pengumpulan, pengumpul,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam, antara frasa berikut yang manakah betul?mengumpul setem atau mengumpulkan setem? Terima kasih.Frasa yang betul ialah mengumpulkan setem.Tatabahasa23.05.2013
Soalan Pertama Ayat berikut yang manakah betul? 1. Ibu bersama nenek sedang memasak di dapur. 2. Ibu sedang memasak di dapur bersama nenek. 3. Ibu sedang memasak bersama nenek di dapur. Soalan ke dua Yang mana sesuai untuk digunakan :- mengumpul setem atau mengumpulkan setem Hobi Aida mengumpul setem. Hobi Aida mengumpulkan setem. Ini kerana di dalam buku teks BM thn 2 tertulis "mengumpulkan setem" di gambar yg diberikan. Saya agak keliru dengan penggunaan "kan" di sini. Harap dapat jelaskan kepada saya. Terima KasihKetiga-tiga ayat betul. Unsur keterangan dalam ketiga-tiga ayat ini berada di kedudukan  yang berlainan.  Ayat  kedua yang betul  ialah: Hobi Aida mengumpulkan setem. Kata kumpul menerima imbuhan meN...kan untuk membentuk kata kerja transitif.  Untuk penerangan lanjut tentang penggunaan meN...kan sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.    Tatabahasa04.03.2009
Assalamualaikum. Apakah perbezaan antara perkataan "mengumpul" dengan "mengumpulkan"? Mohon berikan contoh situasi bagi penggunaan kedua-dua perkataan tersebut. Terima kasih.Salam,

Untuk makluman, kedua-duanya merupakan kata dasar yang telah menerima imbuhan. Perkataan mengumpul telah menerima imbuhan di hadapan, manakala perkataan mengumulkan telah menerima imbuhan di awal dan di akhir yang disebut sebagai apitan. Akan tetapi, jika dilihat pada konteks penggunaannya, perkataan mengumpulkan lebih tepat untuk digunakan dalam ayat gramatis.
Tatabahasa10.11.2016
1. kain itu (berlatar, berlatarkan ) warna gelap. 2.pihak Badan Pencegah Rasuah telah ( mengumpul , mengumpulkan ) maklumat tentang pembelian kereta itu.yang mana satukah yang betul? 3.tidak mustahil kumpulan itu akan bersatu kerana prinsip perjuangannya berbeza. Apakah kesalahan ayat ini? 4. i)mangsa kemalangan itu dikejar ke hospital oleh pemandu teksi itu. ii) mangsa kemalangan itu dikejar oleh pemandu teksi itu ke hospital. yang mana satukay yang betul? sila beri tunjuk ajar. terima kasih.

1. Kain itu berlatar warna gelap.

2. Pihak Badan Pencegah Rasuah telah mengumpulkan maklumat tentang pembelian kereta itu.

3. Ayat yang betul ialah: Tidak mustahil kumpulan itu akan bersatu walaupun prinsip perjuangannya berbeza. 

4. Ayat yang betul ialah : Mangsa kemalangan itu dikejarkan ke hospital oleh pemandu teksi itu.

Saudara boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat dan buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga untuk keterangan lanjut.

Tatabahasa25.05.2010
Hai, saya sedang mengumpulkan data untuk latihan ilmiah. Boleh saya tahu: 1. Apakah terjemahan yang sesuai untuk "Hot and Spicy"? 2. Yang manakah perkataan tepat untuk "lapangsasar" atau "lapang sasar"? 3. Adakah ayat ini betul "Dilarang masuk tanpa pihak berkebenaran"?
  1. Padanan terjemahan yang sesuai digunakan bergantung pada konteks dan penggunaan ayat ialah “Pedas dan Berempah”
  2. Perkataan yang betul ialah “lapang sasar”.
  3. Ayat yang betul ialah “Dilarang masuk tanpa kebenaran”.

Penyemakan dan penterjemahan26.06.2022
Apakah nama alat yang digunakan untuk mengumpulkan sampah ketika disapu adakah penyodok?Nama alat tersebut ialah penadah sampah, iaitu padanan bahasa Melayu bagi perkataan dustpan.Tatabahasa01.10.2013
Adakah "ng" dalam perkataan berikut merupakan digraf? -mengumpulkan -menggali -denganDigraf ialah dua huruf berturut-turut yang mewakili satu bunyi (seperti ng, ny, sy), dwihuruf, dwi­lambang, huruf rangkap.

Contoh yang diberikan merupakan digraf.
Tatabahasa22.04.2013
Salam Sejahtera, Kami sedang dalam proses menghasilkan sebuah buku cerita yang mengumpulkan cerita-cerita daripada beberapa pelajar di sekolah PINTAR. Cerita-cerita dalam buku tersebut merupakan olahan pengalaman yang pernah dilalui oleh pelajar atau cerita teladan bertujuan untuk memberi inspirasi kepada para pelajar lain yang membacanya. Sasaran golongan pembaca adalah kanak-kanak dan remaja berusia 9-15 tahun. Kami bercadang untuk menerbitkan dua versi bahasa iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dan telah melantik dua orang pengarang untuk tujuan tersebut. Walaubagaimanapun, kami tidak mempunyai penasihat bahasa bagi cerita yang diolah dalam bahasa Melayu. Sehubungan dengan itu, kami ingin mendapatkan khidmat semakan bahasa daripada DBP untuk menyemak cerita yang telah dikarang bagi memastikan tatabahasa dan olahan cerita digarap dengan baik agar objektif untuk memberi inspirasi kepada pembaca tercapai. Jadi boleh kami tahu dengan siapa kami boleh berhubung untuk perkara ini dan apakah langkah yang harus kami lakukan dalam mendapatkan khidmat semak bahasa oleh DBP. Kami boleh menghantar cerita contoh untuk dijadikan rujukan pihak DBP.Khidmat nasihat bahasa tidak menyediakan perkhidmatan menyemak dokumen melebihi 100 patah perkataan. Walau bagaimanapun DBP boleh membantu saudara mengenal pasti pegawai yang boleh melaksanakan tugasan tersebut di luar waktu pejabat. Untuk maklumat lanjut, sila hubungi Puan Puteri Aishah melalui e-mel aishah3@dbp.gov.my.Lain-lain20.07.2012
Terdapat kata dalam bahasa Melayu yang menerima imbuhan apitan meN ....kan seperti mengabaikan,mengumpulkan dan sebagainya.Bagaimanakah dengan perkataan GELAR,MENGGELARKAN ATAU MENGGELARI ATAU MENGGELAR? Manakah yang persis?Semua yang dinyatakan tersebut betul.Tatabahasa02.09.2008
Selamat sejahtera, Saya ingin tahu. Perlukah kita menambah imbuhan apitan bagi perkataan yang pertama jika terdapat dua kata terbitan digunakan dalam satu ayat? Contohnya: Mereka mengumpulkan dan memasukkan sampah sarap ke dalam beg plastik. Atau sebenarnya patut ditulis, 'Mereka mengumpul dan memasukkan sampah sarap ke dalam beg plastik'?Terima kasih.Ayat "Mereka mengumpul dan memasukkan sampah sarap ke dalam beg plastik." sudah gramatis tanpa meletakkan imbuhan -kan bagi perkataan mengumpul.Tatabahasa12.03.2013
123

Kembali ke atas