Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[mu.na.sa.bah] | مناسبه

Definisi : 1. sedarah sedaging, (drpd) ke­rabat yg sama; 2. kesesuaian, kesamaan; 3. sesuai, tepat benar, berpatutan: ada modal yg ~ utk ditanam dlm perniagaan; 4. boleh diterima akal (boleh dipercayai), tidak mus­tahil: cakap kita ini biar cukup dgn dalilnya, biar ~ oleh akal; memunasabahkan menjadikan munasabah: operasi perang yg terhad tidak ~ penggunaan senjata nuklear; kemunasabahan perihal munasabah (se­suai, berpatutan, masuk akal, tidak mustahil): ~ matlamat, ancaman, dan ugutan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[mu.na.sa.bah] | مناسبه

Definisi : 1 sesuai; berpatutan: Ia memberikan pendapat yg ~. 2 dpt diterima akal; tidak mustahil: Cerita itu tidak ~. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
munasabah (adjektif,)
Bahasa Asal :Arab
Bersinonim dengan masuk akal, diterima akal, lalu akal, tidak mustahil, lojik, rasional, wajar, maakul, waras, patut;,
Kata Terbitan : kemunasabahan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Encik, Saya amat keliru dengan penggunaan perkataan 'memalukan'. Adakah munasabah perkataan 'malu', iaitu kata adjektif, tetap menjadi kata adjektif jika dibubuh imbuhan me-N...kan? Bukankah setiap perkataan apabila dibubuh imbuhan me-N...kan akan menjadi kata kerja transitif, iaitu perlu diikuti oleh objek. Justeru, manakah antara ayat-ayat berikut yang betul dan tepat dari segi tatabahasa? 1. Perbuatan Ali memalukan. 2. Perbuatan Ali amat memalukan. 3. Perbuatan Ali memalukan kami. 4. Perbuatan Ali amat memalukan kami. Sila berikan penjelasan. Terima kasih.

Semua contoh ayat yang saudara berikan itu betul. Perkataan malu ialah kata adjektif dan apabila menerima imbuhan me-N...kan menjadi kata kerja transitif, memalukan. Kata kerja transitif yang membawa unsur emotif lazimnya menggugurkan objek (kata ganti nama diri). Oleh itu, ayat yang saudara berikan itu betul. Ayat 1 dan 2 digugurkan objek. Ayat 3 dan 4 merupakan ayat lengkap yang tidak digugurkan objek.  Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga.

Tatabahasa09.04.2009
KERJA-KERJA ( TURAP, TURAPAN, MENURAP, BERTURAP) APAKAH JAWABAN YANG PALING MUNASABAH, MUNSYI? TKFrasa yang betul ialah "kerja menurap".Tatabahasa22.05.2012
Ingin bertanya, dalam soalan BM ayatnya seperti berikut: Laluan masuk keluar lori...... Frasa 'masuk keluar' dianggap tidak gramatis. Apakah alasan yang munasabah untuk mewajarkan kesalahan frasa ini? Adakah alasannya kerana kebiasaan/kelaziman atau frasa itu sudah mantap? Mohon penjelasan. Tk.Untuk makluman, frasa "keluar masuk" atau "masuk keluar" hanya kelaziman berbahasa sahaja.  Begitu juga dengan frasa "turun naik".  Kita masih boleh menggunakan frasa tersebut kerana tidak terdapat kesalahan di dalamnya.Istilah05.08.2015
Selamat sejahtera, Saya pernah mengajukan soalan berkenaan penggunaan tanda baca huruf besar dan huruf kecil kepada PRPM. Namun, tiada jawapan yang kukuh untuk saya fahami alasan munasabah di sebalik jawapan tersebut. Bagaimanakah tanda baca yang betul bagi perkataan berikut: nabi Muhammad atau Nabi Muhammad ustaz Zaim atau Ustaz Zaim malaikat Jibril atau Malaikat Jibril syurga Adnin atau Syurga Adnin neraka Jahanam atau Neraka Jahanam hari Kemerdekaan atau Hari Kemerdekaan surah al-Baqarah atau Surah al-Baqarah dan seumpamanya? Memang benar, perkataan nabi, ustaz, malaikat, syurga, neraka, surah dan hari tersebut merupakan kata nama am yang perlu ditulis huruf kecil. Namun, apabila sudah digabungkan dengan kata nama khas selepasnya, bukankah ia membentuk 1 frasa yang perlu dieja dengan huruf besar juga? Harap kali ini saya pihak PRPM dapat memberikan alasan bagi jawapan yang diberikan itu untuk saya dan kumpulan editor yang lain memahami penggunaan tanda baca tersebut. Sekian, terima kasih.Frasa nama ialah perkataan utamanya terdiri daripada kata nama, kata nama terbitan atau kata ganti nama. Frasa nama merupakan satu daripada konstituen utama dalam binaan ayat.

Frasa nama khas ditulis menggunakan huruf besar seperti Ustaz Zaim, Malaikat Jibril, Syurga Adan, Neraka Jahanam, Hari Kemerdekaan, kecuali surah al-Baqarah yang bermakna bab dalam al-Quran.

Para pengguna, editor dan sebagainya disarankan merujuk Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP: 2008, 363-383) untuk memperoleh maklumat dan contoh yang lebih jelas. Kamus Dewan Perdana (DBP: 2020) juga merakamkan kebanyakan kata dan frasa tersebut untuk membantu pengguna.
Lain-lain10.06.2021
apakah maksud geliung ? dan maksud rasional ?

1. Geliung bermaksud sejenis kapal layar yang besar di Eropah yang digunakan sebagai kapal perang atau kapal dagang dari kurun ke-15 hingga ke-18

2. Rasional bermaksud i. alasan munasabah yang mendasari sesuatu tindakan, perbuatan atau pegangan ii. berdasarkan taakulan, menurut pertimbangan atau fikiran yang wajar, waras  

Makna11.11.2011
Salam sejahtera, Saya ada terbaca satu soalan di laman http://prpm.dbp.gov.my/Search.aspx?k=akan+kan&d=10 dan saya kurang memahami jawapan yang diberikan oleh pihak DBP . Soalanya berbunyi : " Encik, Saya amat keliru dengan penggunaan perkataan 'memalukan'. Adakah munasabah perkataan 'malu', iaitu kata adjektif, tetap menjadi kata adjektif jika dibubuh imbuhan me-N...kan? Bukankah setiap perkataan apabila dibubuh imbuhan me-N...kan akan menjadi kata kerja transitif, iaitu perlu diikuti oleh objek. Justeru, manakah antara ayat-ayat berikut yang betul dan tepat dari segi tatabahasa? 1. Perbuatan Ali memalukan. 2. Perbuatan Ali amat memalukan. 3. Perbuatan Ali memalukan kami. 4. Perbuatan Ali amat memalukan kami. Sila berikan penjelasan. " Adakah KESEMUA ayat yang diberikan oleh individu itu betul dan sekiranya betul , adakah hukum " men ... an " , disusuli dengan + objek tidak hidup , itu tidak dipatuhi ? Contoh : Perbuatan Ali amat memalukan kami. (KAMI ialah objek hidup dan seharusnya ' me ... an ' perlu diikuti dengan objek tidak bernyawa , Contohnya ... Dia menghadiahkan hadiah itu kepada kami. BUKANNYA ... Dia menghadiahkan kami hadiah itu . (sepatutnya menghadiahi kami). Terima kasih & maaf kerana mengganggu. ChoyHH ( choy862003@yahoo.com)

Malu ialah kata adjektif dan apabila menerima apitan meN-...-kan (memalukan) menjadi kata kerja transitif. Walau bagaimanapun kata memalukan juga boleh berfungsi sebagai kata adjektif dan dapat didahului oleh kata penguat. Oleh itu, ayat yang betul adalah seperti yang berikut: 

1. Perbuatan Ali amat memalukan - memalukan berfungsi sebagai kata adjektif dan dapat didahului oleh kata penguat; dan objek dalam ayat ini digugurkan. 

2. Perbuatan Ali memalukan kami - memalukan sebagai kata kerja transitif dan diikuti dengan objek (bernyawa).

3. Perbuatan Ali amat memalukan kami - memalukan berfungsi sebagai kata adjektif dan dapat didahului dengan kata penguat. 

Tatabahasa14.02.2011
Chandra Cikgu Apakah kekurangan Bahasa Malaysia? Hanya usaha diperlukan untuk mewujudkan istilah Bahasa Malaysia dan bukan sekadar mengambil jalan mudah meminjam bahasa asing sebagai bahasa Malaysia. Pelbagai alasan boleh diberikan, tetapi tujuan dan hala tuju perlu diteliti agar dapat mengekalkan Bahasa Malaysia jangan sampai ditelan zaman. Alasan yang diberikan memang tidak munasabah dan tidak wajar mengikut peredaran masa kini. Masih ada lagi perkataan baru digunakan untuk merujuk sesuatu benda baharu di akhbar Metro dan media massa termasuk menteri-menteri kabinet menggunakan perkataan mereka-meraka dan dari masa ke semasa. Kemungkinan besar DBP tidak mempunyai kuasa terhadap perkara tersebut. Pemikiran yang matang dan berpengalaman dapat menyelamatkan bahasa Malaysia hancur di persada dunia. Kita tidak perlu menjadi pak turut ahli-ahli politik Malaysia sebaliknya berjuang dalam memartabatkan bahasa Malaysia. Walaupun saya seorang bukan Islam, namun kesetiaan saya terhadap bahasa Malaysia sangat utuh tidak akan membenarkan sama sekali bahasa Malaysia dijadikan Jorgan oleh kebanyakan pihak. Jangan hanya membalas soalan dari pejabat sahaja, tetapi pergilah melawat sekolah-sekolah di Malaysia dan mengetahui masalah penggunaan bahasa Malaysia. Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih.Terima kasih Cikgu Chandra. Malaysia pasti memerlukan lagi orang seperti cikgu untuk bersama-sama DBP memartabatkan bahasa Kebangsaan.Lain-lain20.01.2014
saya tak kesah kalau sekarang khidmat bahasa perlu dibayar tetapi kenapa perlu ambil masa lebih 2 3 hari untuk diluluskan lepas permohonan dibuat walhal masa khidmat ni tak berbayar, proses lebih cepat. adakah bayaran yang dikenakan untuk mendapat khidmat yang lebih lambat daripada sebelum ni? harap pihak DBP lebih produktif dan lebih munasabah. terima kasih.Untuk makluman tuan, SOP Khidmat Pengesahan Bahasa DBP secara dalam Talian ialah  3 hari bekerja dan dan bagi Semakan Kedua dan Seterusnya bermula dari tarikh/masa pelanggan mengemas kini permohonan. Pihak kami akan meningkatkan mutu perkhidmatan dan akan memberikan perkhidmatan yang terbaik pada masa-masa akan datang.  Lain-lain16.06.2017
Adakah "apakah" dalam ayat-ayat yang berikut digunakan dengan tepat? Atau "adakah" lebih sesuai digunakan dalam ayat-ayat tersebut? Bagaimanakah membezakan penggunaan "adakah" dan "apakah"? 1) Apakah awak tak dapati, topeng ini pecah ketika ditendang tadi? 2) Apakah awak bermurah hati terhadap penyelamat lain juga? 3) Apakah saya nampak hantu tadi? 4) Apakah awak nak balik ke rumah? 5) Apakah sebab ini cukup munasabah? 6) Apakah pengurus besar akan susah hati jika nampaknya? 7) Apakah awak dah lupa apa itu kesopanan? 8) Apakah kita tersilap bidang? 9) Apakah kita perlu hasilkan karya besar? 10) Apakah saya tercicirnya di rumah? Terima kasih.Salam sejahtera,

Perkataan adakah biasanya digunakan untuk mengeraskan pertanyaan, ada atau tiada. Contohnya, soalnya, adakah terdapat novel karangannya? Perkataan apakah pula digunakan untuk mengetahui sesuatu dengan lebih lanjut dan jelas. Contohnya, Apakah pengajaran yang anda dapat daripada peristiwa yang tergambar dalam syair itu? Merujuk kepada persoalan tuan, perkataan adakah lebih sesuai untuk soalan nombor 1 hingga 10 berdasarkan kefahaman untuk mengeraskan pertanyaan, ada atau tiada. Kesimpulannya, penggunaan perkataan adakah dan apakah dalam ayat-ayat bergantung kepada konteks ayat dan maksud soalan.


Terima kasih.
Lain-lain19.01.2018
Tuan, antara pasangan ejaan berikut, yang manakah lebih sesuai dengan jalan bahasa Melayu? 1. rahsia - rahasia; 2. khabar - kabar; 3. khamis - kamis; 4. syaitan - setan; 5. syurga - surga. Antara "rahsia" dengan "rahasia", "rahasia" sepatutnya ejaan yang baku kerana berasal daripada kata Sanskrit "rahasya" yang disesuaikan ejaan sy Sanskrit kepada si bahasa Melayu. Penghilangan a di antara h dengan s dalam "rahasia" menjadi "rahsia" tidak ada sebab munasabah. Antara "khabar" dengan "kabar", saya berpendapat bahawa "kabar" lebih sesuai dengan bunyi bahasa Melayu. "Kabar" berasal daripada bahasa Arab "khabar" yang disesuaikan bunyi kh Arab kepada k bahasa Melayu. Dalam bahasa Melayu, tidak adalah bunyi kh, oleh itu bunyi k bahasa Melayu dipadankan. Antara "khamis" dengan "kamis", "kamis" lebih sesuai dengan sebutan lidah Melayu. "Kamis" berasal daripada bahasa Arab "khamis", konsonan rangkap Arab kh disesuaikan kepada konsonan jati bahasa Melayu k. Antara "syaitan" dengan "setan", "setan" lebih baku kerana sy bunyi Arab tidak ada dalam bahasa Melayu, oleh itu dipadankan dengan s yang lebih dekat dengan sebutan bahasa Melayu. Antara "syurga" dengan "surga" pula, "surga" nyata ejaan yang lebih cocok dengan jalan bahasa Melayu kerana bunyi s bunyi bahasa Melayu. Bunyi sy dalam "syurga" tidak cocok dengan bunyii bahasa Melayu kerana hanya dilafalkan dalam Arab.Tuan,
Sistem ejaan bahasa Melayu telah bermula pada tahun 1904 dan diisytiharkan penggunaannya secara rasmi pada 16 Ogos 1972. Ini adalah hasil kesepakatan bersama Majlis
Bahasa Indonesia-Malaysia.
Ejaan bahasa Melayu dibentuk berdasarkan pelbagai elemen yang telah ditetapkan dengan penambahbaikan sekiranya terdapat perkataan baharu yang diterima atau diserap dalam bahasa Melayu. 

Terima kasih.  
Ejaan08.06.2017
12

Kembali ke atas