Samoset (1590?–1655) ialah salah seorang Orang
Asli Amerika yang menjadi sahabat awal kepada
penduduk Pilgrim dari Tanah Jajahan Plymouth di
Amerika Syarikat. Dia ialah sagamore (ketua) Orang
Asli Amerika suku Pemaquid dan mula
berhubungan dengan orang Inggeris apabila dia
bertemu dengan beberapa orang nelayan Inggeris
di pinggir laut Maine. Dia belajar sedikit bahasa
Inggeris daripada mereka. Pada bulan Mac 1621,
Samoset mengejutkan penduduk tanah jajahan
Plymouth dengan muncul di jalan raya serta
mengalu-alukan kedatangan mereka dalam bahasa
Inggeris pasar. Kemudian, dia memperkenalkan
para pemimpin tanah jajahan itu kepada Massasoit,
ketua Orang Asli Amerika kawasan Plymouth. Pada
tahun 1625, Samoset membuat surat ikatan
pemindahan tanah Orang Asli Amerika kepada
penduduk tanah jajahan Inggeris, iaitu yang
dipercayai surat ikatan yang pertama. Dia
memindahkan 4856 hektar tanah puaknya kepada
John Brown, salah seorang peneroka di situ.