Saya ingin bertanya mengenai penggunaan perkataan "ke" yang seringkali menjadi pengganti perkataan "kah" seperti contoh: "Ada ke awak pasti" / "Adakah awak pasti". Bolekah ini diterima? Sekian, terima kasih! | Untuk makluman, ayat tanya yang betul ialah "Adakah awak pasti?". Manakala, ayat tanya "Ada ke awak pasti?" lazimnya hanya digunakan dalam bahasa lisan. | Tatabahasa | 21.04.2020 |
apakah kaedah menulis perkataan berikut: (a) "mengenal pasti" atau "mengenalpasti" (b) "dikenal pasti" atau "dikenalpasti" (c) "prefix" sama ada perlu italic atau tidak. (d) "... kategori pekerjaan yang perlu dipertingkatkan (atau ditingkatkan) tahap kemahirannya." Soalannya: mana satu perkataan yang betul, sama ada "ditingkatkan" atau "dipertingkatkan". | Kaedah menulis yang betul: a) mengenal pasti b) dikenal pasti c) prefix perlu diitalikkan d) Jika dirujuk ayat tersebut, ditingkatkan dan dipertingkatkan, kedua-duanya bolah digunakan kerana membawa maksud yang sama. | Lain-lain | 08.09.2015 |
Mana satukah yang betul? - Kalau tidak disebabkan awak, saya pasti sudah menang. - Kalau bukan disebabkan awak, saya pasti sudah menang. | Ayat yang betul, Kalau tidak disebabkan awak, saya pasti sudah menang. | Tatabahasa | 07.12.2015 |
USIM hendaklah mengenal pasti keperluan pewujudan rekod, berdasarkan kepada perkara berikut: ATAU USIM hendaklah mengenal pasti keperluan pewujudan rekod, berdasarkan perkara berikut: Mohon penjelasan yang manakah lebih tepat. tq | Kedua-duanya boleh digunakan. Namun begitu ayat yang lebih tepat ialah USIM hendaklah mengenal pasti keperluan pewujudan rekod, berdasarkan perkara yang berikut: | Tatabahasa | 22.10.2020 |
Salam sejahtera. Mana satukah ayat yang betul? 1) Saya pasti awak tidak akan menyesal untuk menyertai perkhemahan ini. 2) Saya pasti awak tidak akan menyesal menyertai perkhemahan ini. Adakah kata hubung ‘untuk’ diperlukan di dalam ayat? | Ayat yang betul ialah Saya pasti awak tidak akan menyesal menyertai perkhemahan ini. Kata hubung untuk tidak perlu dimasukkan dalam ayat tersebut. | Tatabahasa | 22.04.2021 |
saya ingin mengetahui penggunaan yang betul tentang ejaan 'mengenalpasti' atau 'mengenal pasti' (dijarakkan antara perkataan) contoh ayat: kajian ini adalah untuk mengenalpasti/ mengenal pasti kedudukan ekonomi masyarakat bandar di Malaysia. terima kasih | Ejaan yang betul ialah mengenal pasti. | Lain-lain | 24.11.2015 |
Selamat petang, En. Sulaiman, Saya ingin tanya tentang perbezaan antara perkataan 'tentu' dengan 'pasti'. Dalam konteks apa kita gunakan 'tentu' dan 'pasti'. Jawapan daripada En. Sulaiman amat dihargai. Sekian, terima kasih. | Merujuk Kamus Dewan perkataan tentu dan pasti mempunyai makna yang sama, iaitu tidak boleh tidak. | Makna | 02.01.2013 |
Jika kalian belajar bersungguh-sungguh, kalian ............ berjaya. A.boleh b. dapat C.mesti D.pasti Jawapan mana yang paling tepat? | Jawapan yang paling tepat ialah D.pasti, iaitu Jika kalian belajar bersungguh-sungguh, kali pasti berjaya. | Tatabahasa | 16.08.2010 |
Mengenail pasti kesalahan kata dan tatabahasa dalam ayat; Pihak pengurusan pusat beli-belah itu sentiasa mengadakan jualan lelong barang-barang terpakai untuk mengambil perhatian orang ramai. | Ayat yang betul ialah "Pihak pengurusan pusat beli-belah itu sentiasa mengadakan jualan lelong barangan terpakai untuk menarik perhatian orang ramai". | Tatabahasa | 29.10.2018 |
Mengenal pasti klientel dan keperluan klientel. Soalan saya: adakah perkataan klientel telah diterima oleh DBP sebagai bahasa Melayu? Sekiranya belum apakah perkataan yang paling sesuai digunakan? | Dalam data kami telah terdapat istilah clientele yang bermaksud klientel atau langganan. Menurut kamus Inggeris-Melayu Dewan pula, maksud clientele bermaksud pelanggan manakala merujuk kepada bidang sains politik ialah kumpulan pelangan atau klientel. | Makna | 14.06.2017 |