Persepsi ialah satu proses yang melaluinya kita
dapat menerima dan mentafsir segala maklumat dari
dunia sekeliling kita. Dunia sekeliling kita
mengandungi pelbagai jenis dan tahap tenaga fizikal.
Pengetahuan kita tentang dunia datangnya dari
organ-organ deria yang bertindak balas dengan
tenaga fizikal berkenaan. Sesetengah jarak
gelombang radiasi elektromagnetik merangsang
mata kita. Telinga kita mendengar beberapa jenis
getaran mekanikal di udara. Hidung dan lidah pula
adalah sensitif kepada rangsangan bahan-bahan
kimia tertentu. Sesetengah organ di dalam kulit kita
bertindak kepada tekanan, perubahan suhu dan
pelbagai rangsangan yang berkaitan dengan rasa
sakit. Organ-organ deria yang terdapat pada sendi,
tendon dan otot kita adalah sensitif kepada gerakan
dan kedudukan tubuh.