Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[pen.ja.ra] | ڤنجارا

Definisi : 1. tempat atau bangunan penjenayah dikurung sbg hukuman, bui, jel, kurungan, te­rongko, tutupan; ~ besi Kl (dlm) jagaan yg kuat, (di bawah) pemerintahan kuku besi; hukuman ~ sepanjang hayat hukuman penjara yg tempoh hukumannya berjalan sehingga pesalah itu mati; hukuman ~ seumur hidup hukuman penjara yg tempoh hukuman maksi­mumnya berjalan selama 20 tahun (tetapi kebiasaannya seseorang pesalah itu hanya menjalani hukuman selama 13 tahun 4 bulan kerana sepertiga daripadanya diberi pengam­punan jika patuh kpd peraturan penjara dan berkelakuan baik); 2. situasi apabila seseorang berasa terperangkap: pengarang itu tidak akan terlepas drpd ~ pengalamannya; memenjarai ki mengongkong, membeleng­gu: suara-suara protes itu bagai mengepung dan ~nya; memenjarakan mengurung penjenayah dll dlm penjara: Pangeran Agung pun dipenjarakan di dlm sebuah kota kecil; terpenjara dikurung (terkurung) dlm penjara atau seolah-olah spt dalam penjara: ramai di kalangan wanita setelah mendirikan rumahtangga merasakan diri mereka ~ biarpun pd mulanya merupakan orang yg paling bahagia; ada segolongan orang yg ~ dlm khurafat; pemenjaraan perihal (perbuatan) memen­jarakan, perihal (keadaan) terpenjara: satu lagi bentuk hukuman ialah ~; kepenjaraan perihal penjara. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[pen.ja.ra] | ڤنجارا

Definisi : tempat mengurung orang yg dihukum kerana membuat kesalahan; jel: Perompak itu sekarang ini sedang ditahan di ~. memenjarakan memasukkan seseorang ke dlm penjara kerana berbuat sesuatu kesalahan; mengurung dlm penjara. terpenjara 1 terkurung atau dikurung dlm penjara: Selama lima tahun, dia ~ kerana melakukan kesalahan itu. 2 ki tidak bebas (melakukan sesuatu): Jiwanya ~, walaupun dia tidak dihalang utk ke mana-mana. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Beliau telah dijatuhkan hukuman penjara lima tahun. Dia telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun. Antara dua ayat di atas yang mana satu tepat?Ayat yang lebih tepat ialah "Dia telah dijatuhi hukuman penjara lima tahun".Tatabahasa23.08.2015
Mana yang betul? Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 3 tahun atau tertuduh dijatuhkan hukuman penjara selama 3 tahun.Salam sejahtera,

Ayat yang betul ialah "Tertuduh dijatuhi hukuman penjara selama 3 tahun."

Sekian, terima kasih.
Tatabahasa07.03.2018
Tuan / Puan, Mohon saranan tuan / puan untuk padanan yang betul dalam Bahasa Inggeris untuk istilah-istilah di bawah : 1. Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) 2. Bahagian Pejabat Rekod dan Penerimaan KWSP 3. Unit Kebajikan Penjara Institusi 4. Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan berdekatan 5. Unit Kebajikan Penjara Peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia 6. Hari Jabatan Penjara Malaysia Terima Kasih.

DBP menyediakan perkhidmatan menyemak hasil terjemahan bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Sdr. boleh menterjemahkan dahulu perkataan dalam bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu  dan menghantarkannya kepada kami untuk semakan terjemahan.

Penyemakan dan penterjemahan05.06.2017
adakah ayat -ayat dibawah adalah betul? (a)Amir telah berjaya meluluskan dirinya dari penjara (b)Amir telah berjaya meloloskan dirinya dari penjara terima kasih.....Jawapan yang betul ialah (b) Amir telah berjaya meloloskan dirinya dari penjara.Lain-lain29.07.2010
Tuan / Puan, Mohon semak terjemahan Bahasa Inggeris untuk istilah-istilah di bawah: 1. Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) - local National Registration Department (NRD) branches 2. Bahagian Pejabat Rekod dan Penerimaan - Records and Admissions Office Division 3. Unit Kebajikan Penjara Institusi - Prison Institution Welfare Unit 4. Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan berdekatan - Department of Social Welfare at district level 5. Unit Kebajikan Penjara Peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia - Prison Welfare Unit at headquarters 6. Hari Jabatan Penjara Malaysia- Malaysia Prisons Department Day 7. Banduan Akhir (BA)- prisoners on death row 8. Sayembara Genta Puisi - Poetry Contest ("Sayembara Genta Puisi") Terima KasihUntuk makluman tuan/puan, kami tidak menyemak terjemahan Bahasa Inggeris. Namun begitu, kami mencadangkan terjemahan yang berikut:

1. Jabatan Pendaftaran Negeri (JPN) - National Registration Department (State Branch)
2. Bahagian Pejabat Rekod dan Penerimaan - Records and Admissions Division
3. Unit Kebajikan Institusi Penjara  - Prison Welfare Unit
4. Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah/ Jajahan berdekatan - nearby District Social Welfare Office
5. Unit Kebajikan Penjara Peringkat Ibu Pejabat Penjara Malaysia - Prison Welfare Unit for Malaysia Prisons Department Headquarters
6. Hari Jabatan Penjara Malaysia- Malaysia Prisons Department Day
7. Banduan Akhir (BA)- inmates on death row
8. Sayembara Genta Puisi - Poetry Contest ("Sayembara Genta Puisi")
 
Sekian. Terima kasih.
Penyemakan dan penterjemahan06.06.2017
saya ada satu kemuskilan: apakah perbezaan antara menjatuhi,menjatuhkan,dijatuhi dan dijatuhkan. Adakah ayat ini tepat:Apabila dia dijatuhi hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak.atau Apabila dia dijatuhkan hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak.Sekian

Saudara/ saudari,

'Apabila dia dijatuhkan hukuman penjara, kaum keluarganya menangis teresak-esak' adalah salah dan penggunaan yang betul ialah penggunaan perkataan dijatuhi. Apabila dia dijatuhi hukuman penjara,kaum keluarganya menangis teresak-esak. Apitan di-...-i ialah bentuk pasif meN-...-i yang menandakan lokatif, iaitu tempat berlakunya perbuatan - menjatuhi + objek (orang). Rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga halaman 207.

Untuk pertanyaan perbezaan antara menjatuhi, menjatuhkan, dijatuhi dan dijatuhkan pula, saudara/saudari boleh merujuk Kamus Dewan Edisi Keempat (hlmn. 613) bagi maklumat lanjut.

Tatabahasa05.08.2012
Soalan 1:tidak terangkat oleh saya kotak yang berat itu.(adakah ayat ini betul) Soalan 2 : Hakim telah menjatuhi hukuman penjara seumur hidup terhadap penjenayah itu. (atau) Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap penjenayah itu.(Ayat yang manakah betul) Terima kasih.

Saudara Sulioh,

1. Ayat ini yang merupakan ayat pasif betul. Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 148-149.  2. Ayat yang betul ialah 'Hakim telah menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada penjenayah itu' atau ' Hakim telah menjatuhi penjenayah itu hukuman penjara seumur hidup'.  Sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Keempat, halaman 191-207. 

Tatabahasa23.08.2009
SELAMAT PETANG, Harap dapat bantu saya. Yang manakah betul? 1) Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman penjara, atau 2) Hakim menjatuhkan peslah itu hukuman? DalaApakah makna gusar sebenarnya? Adakah bimbang atau marah? Terima kasihAyat yang betul ialah 1. Hakim menjatuhi pesalah itu hukuman penjara. Berdasarkan Kamus Dewan edisi keempat, gusar bermaksud berang atau merah.Tatabahasa18.06.2012
Apakah kesalahan tatabahasa dalam ayat ini? ' bagaimana boleh dia boleh kata bahawa yang zalim jadi pemerintah, yang baik masuk penjara.'Ayat yang dinyatakan cenderung kepada bahasa percakapan. Ayat yang lebih gramatis ialah "Bagaimana dia boleh mengatakan bahawa yang zalim menjadi pemerintah manakala yang baik memasuki penjara?"Tatabahasa02.04.2013
Apa kesalahan ayat berikut? 1. Turut menghadiri majlis itu ialah para pemimpin dari negara asing. 2.Pesalah itu dijatuhkan hukuman penjara kerana kes pengedaran dadah.

1. Turut menghadiri majlis itu ialah para pemimpin dari negara asing. - ayat ini betul

2. Pesalah itu dijatuhkan hukuman penjara kerana kes pengedaran dadah. - salah dan penggunaan yang betul ialah dijatuhi. Apitan di-...-i ialah bentuk pasif meN-...-i yang menandakan lokatif, iaitu tempat berlakunya perbuatan - menjatuhi + objek (orang). Rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 207.

Tatabahasa24.06.2011
123

Kembali ke atas