Bolehkah peribahasa bagai menatang minyak yang penuh digunakan dalam karangan jenis autobiografi. Misalnya, Aku sepasang kasut. Contoh ayatnya. Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh. Terima kasih. | Penggunaan peribahasa dalam ayat "Tuan aku selalu menjaga aku dengan penuh kasih sayang bagai menatang minyak yang penuh" adalah betul. Tidaklah menjadi suatu kesalahan menggunakan peribahasa dalam penulisan asalkan disesuaikan dengan maknanya dengan konteks ayat tersebut. | Tatabahasa | 10.08.2011 |
Saya ingin bertanya mengenai susunan ayat ini yang mana satu betul? Gaji dibayar penuh semula mulai ... atau Gaji penuh dibayar semula mulai ... | Sila kemukakan konteks yang puan ingin sampaikan. Gaji dibayar penuh semula mulai… memberikan kita interpretasi bahawa pada bulan terdahulu gajinya ada potongan. Secara konsepnya ada gaji penuh, gaji separuh dan tanpa gaji. Gaji penuh dibayar semula mulai… memberikan kita interpretasi bahawa pada bulan lepas dia tidak ada gaji langsung (tanpa gaji) dan gaji bulan tersebut akan “dibayar semula” pada … | Tatabahasa | 08.04.2014 |
Mana satukah ayat yang lebih tepat? 1) Pengecualian penuh ke atas pengenaan penalti. 2) Pengecualian penuh terhadap pengenaan penalti. | Ayat yang betul ialah "Pengecualian penuh terhadap pengenaan penalti." | Tatabahasa | 22.05.2023 |
Apa beza komitmen penuh dan komitmen tinggi? Mana yang lebih sesuai digunakan untuk contoh ayat di bawah? Contoh ayat : Terima kasih kepada Semua Kakitangan yang sentiasa ikhlas memberi komitmen yang penuh dalam mengharungi cabaran ini. Anda juga seorang wira. | Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, maksud perkataan penuh dan tinggi adalah seperti yang berikut: -Penuh: ki tidak kurang, cukup -Tinggi: peringkat atas (ttg. Pangkat, taraf dll); sangat baik (mutunya dll) Berdasarkan maksud-maksud di atas, komitmen penuh bermaksud memberikan komitmen yang cukup, dan komitmen tinggi bermaksud memberikan komitmen yang sangat baik. Oleh itu, kedua-dua perkataan (komitmen penuh dan komitmen tinggi) boleh digunakan dalam ayat contoh di atas. | Tatabahasa | 21.04.2020 |
Salam sejahtera, Pak Atan menyorong kereta sorong yang penuh dengan rumput /rumput-rumput yang telah disabit oleh Pak Cik Ong. (Selepas penuh, guna rumput atau rumput-rumput?) | Pak Atan menyorong kereta sorong yang penuh dengan rumput yang dipotong oleh Pak Cik Ong. | Tatabahasa | 22.07.2020 |
DBP yg dihormati, bagaimanakah untuk membezakan kata nama tunggal yang mana perlu diganda penuh dan yang mana diganda separa? adakah semua kata nama tunggal itu blh diganda penuh dan juga boleh diganda separa? Terima kasih DBP. | Penggandaan penuh melibatkan seluruh kata dasar jenis kata nama yang digandakan tanpa sebarang perubahan bentuk dan boleh terdiri daripada semua jenis bentuk termasuk kata nama tunggal. Contoh meja-meja dan alat-alat. Bagi penggandaan separa ialah penggandaan yang melibatkan sebahagian sahaja kata dasar juga termasuk kata nama tunggal. Contohnya siku menjadi sesiku, gelang menjadi gegelang dan sebagainya. Untuk keterangan lanjut, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 136. | Tatabahasa | 27.05.2010 |
(Perkataan Penuh): Untuk pengetahuan Yang Berbahagia Proffessor, pihak kami akan mengadakan... Singkatan: 1)YBhg. Prof., ... 2)YBhg. Prof, ... 3)YBhg. Prof. ... Yang manakah penggunaan tanda bacaan yang tepat bagi singkatan perkataan Proffessor dan kemudiannya diikuti dengan tanda koma? | Yang Berbahagia atau kependekkannya YBhg. mengikut Kamus Dewan ialah rujukan kehormat yg digunakan utk mereka yg bergelar Tan Sri, Puan Sri, Datuk Seri, Datin Seri, Datuk Paduka, Datin Paduka, Dato, Datuk dan Datin (yang bukan wakil rakyat). Maka berdasarkan pengertian berkenaan, sapaan individu yang mempunyai gelaran Profesor (Prof.) ialah "Tuan". Namun, sekiranya individu berkenaan ialah ketua organisasi, tidak menjadi kesalahan untuk menggunakan YBhg. Prof. Dalam ayat ditulis "Untuk makluman YBhg. Prof., pihak kami...". | Makna | 28.01.2014 |
versi penuh peribahasa biar mati anak jangan mati adat | Saudara Muhammad Ali Sobri, Makna peribahasa tersebut ialah adat yang tidak boleh dilanggar. | Makna | 10.03.2010 |
maksud penuh 'plagiarism' | Plagiarism merupakan sesuatu perbuatan meniru atau mengutip sebahagian atau keseluruhan karya orang lain tanpa izin atau tanpa memaklumkan nama pengkarya berkenaan. Sebaliknya, mengakui karya tersebut sebagai usahanya sendiri. plagiarisme. | Makna | 19.02.2009 |
Farhan dengan penuh yakin, melangkah ke dewan peperiksaan berbekalkan doa ibunya. Adakah apa-apa kesalahan dalam ayat tersebut? | Ayat yang diberikan adalah betul. | Tatabahasa | 05.07.2013 |