Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu



Definisi : 1. perkelahian (pertempuran dll) dgn menggunakan senjata antara negeri dgn negeri dll: ~ antara kedua-dua negeri itu tidak berkesudahan; pecah ~ a) mulai terbit perang; b) sl kalah perang; 2. ki perbuatan beradu tenaga (kekuatan dll), pergaduhan, perjuang­an: timbullah ~ antara kedua-dua akhbar itu; 3. bp = berperang bertempur; pergi ~ pergi bertempur; ~ asabat = ~ (urat) saraf perang tidak ber­tempur (hanya baharu saling menggertak, menakuti, dll), usaha utk melemahkan musuh dgn menunjukkan moralnya; ~ asap latihan perang; ~ atom perang dgn menggunakan senjata-senjata atom; ~ besar perang yg lama dan hebat; ~ biologi perang yg menggunakan virus atau kuman penyakit utk memusnahkan manusia, tanaman dsb; ~ dingin a) perang secara saling menggertak (belum mengguna­kan senjata lagi utk menyerang dsb); b) bp bergaduh dgn tidak bercakap (suami isteri dll); ~ dunia perang yg besar antara beberapa buah negara besar di dunia; ~ ekonomi permusuhan atau persengketaan yg melibatkan pengambilan langkah dan tindakan ekonomi (spt penyekatan eksport dan import barang dll) dgn tujuan hendak menghancurkan pihak musuh; ~ gerila perang secara kecil-kecilan dan tidak berhadap-hadapan (secara bersem­bunyi); ~ harga persaingan harga yg sengit utk menguasai pasaran antara firma-firma dlm industri yg sama, dgn menurunkan harga barangan masing-masing serendah yg mungkin; ~ kilat perang yg dilakukan dgn pantas dan mengejut supaya lekas habis; ~ kimia perang yg menggunakan gas beracun atau bahan kimia lain sbg senjata; ~ konvensional perang biasa yg tidak melibatkan penggunaan senjata nuklear, kimia atau biologi; ~ mendada = ~ tanding(an) perang (pergaduhan) seorang melawan seorang; ~ mulut (bicara) bertengkar dgn menggunakan (mengeluarkan) kata-kata yg keras dan kasar, saling berban­tahan; ~ nuklear perang yg melibatkan peng­gunaan senjata nuklear; ~ paderi perang antara kaum Islam dgn kaum adat (yg dibantu oleh Belanda di Sumatera Barat pd tahun 1821– 1837); ~ pena pertengkaran (polemik) mela­lui tulisan di akhbar dll; ~ sabil perang utk mempertahankan agama Islam; ~ salib perang utk membebaskan Baitulmuqaddis (oleh orang Kristian); ~ (urat) saraf perang (persengketa­an) setakat gertak-menggertak dan ancam­-mengancam sahaja tanpa benar-benar serang­-menyerang dgn senjata; ~ saudara = ~ sipil Id perang antara orang-orang yg sebangsa (atau antara puak-puak) dlm sesebuah negara; ~ terbuka perang secara besar-besaran di tempat terbuka (bukan perang gerila); ~ bermalaikat sabung berjuara prb kita ber­usaha tetapi Tuhan yg menentukan berjaya atau tidak; kalau tak takut akan mati tak sedunia ~ prb dikatakan tentang pekerjaan yg amat berbahaya tetapi digemari orang; perang-perangan 1. latihan berperang; 2. permainan berperang; berperang melakukan perang, berjuang, ber­tempur: mereka ~ utk mempertahankan kedaulatan negara mereka; berperangan saling berperang: umat manusia kembali ke zaman kunonya, masing-masing ~ dan berbunuhan; memerangi 1. berperang dgn, berperang melawan: senjata itu sekarang digunakan pula utk ~ rakyat Indonesia; 2. melawan, membasmi, menghapuskan: faham-faham yg berdasarkan syirik mestilah diperangi habis-habisan; memerangkan, memperperangkan 1. mere­butkan sesuatu dgn berperang, berperang utk; 2. memperlagakan (mengadu) supaya ber­perang; peperangan perang, perjuangan, pertem­puran; medan ~ medan (tempat) berperang. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Definisi : (pérang) merah yg kehitam-hitaman (kekuning-kuningan): parasnya memang menarik dgn rambutnya yg ~; keperang-perangan agak perang. (Kamus Dewan Edisi Keempat)


Definisi : /pérang/ warna merah kehitam-hitaman. keperangan keadaan atau sifat perang. keperang-perangan agak perang warnanya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)


Definisi : perkelahian besar antara negara atau antara kumpulan yg bermusuhan dgn menggunakan angkatan tentera atau senjata: ~ membawa kesengsaraan. ~ atom perang dgn menggunakan senjata atom. ~ biologi perang yg menggunakan virus atau kuman penyakit utk memusnahkan manusia, tanaman dsb. ~ dingin a. perang secara gertak-menggertak (belum menggunakan senjata lagi). b. bp bergaduh dgn tidak bercakap antara satu dgn yg lain (bkn suami isteri dll). ~ dunia perang antara beberapa buah negara besar di dunia. ~ gerila perang secara bersembunyi-sembunyi. ~ harga persaingan harga yg sengit utk menguasai pasaran antara firma dlm industri yg sama, dgn menurunkan harga barangan masing-masing serendah yg mungkin. ~ kilat perang yg dilakukan dgn cepat. ~ kimia perang yg menggunakan gas beracun atau bahan kimia lain sbg senjata. ~ konvensional perang biasa yg tidak melibatkan penggunaan senjata nuklear, senjata kimia atau senjata biologi. ~ mulut bertengkar dgn menggunakan kata-kata yg kasar. ~ nuklear perang yg menggunakan senjata nuklear, iaitu senjata dgn tenaga atom yg boleh mendatangkan kemusnahan disebabkan letupan, bahang dan sinaran bahan radioaktif. ~ sabil perang di jalan Allah; perang utk mempertahankan agama Islam. ~ salib perang utk mempertahankan Baitulmuqaddis drpd serangan orang Kristian. ~ saudara perang sesama bangsa sendiri dlm sesebuah negara. perang-perangan 1 latihan perang. 2 permainan perang. berperang berlawan dgn musuh secara besar-besaran dgn menggunakan senjata: Selama dlm latihan, mereka diajar ttg cara menggunakan senjata, dan ttg cara ~ juga. memerangi 1 membuat serangan tentera terhadap; berperang dgn; memulakan perang terhadap: Raja Haji Ali dan Raja Hussain datang mengadap baginda kerana merundingkan hal hendak ~ Ratih. 2 menentang sesuatu supaya hapus; melawan utk membasmi sesuatu: ~ kemiskinan di kalangan penduduk luar banar. peperangan keadaan (hal dsb) berlawan atau berkelahi dgn menggunakan angkatan tentera atau senjata; kejadian berperang; pertempuran: Pujangga Amir Hamzah telah mencipta sebuah sajak yg mengisahkan ~ antara Melaka dgn Portugis. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
perang
Kata Terbitan : peperangan, berperang, memerangi, memerangkan, memperperangkan,

Puisi
 

Dari Acheh perang Belanda,
     Belanda banyak beribu-ribu;
Cerailah kasih kepada kanda,
     Dindalah jangan mata bankudu.


Lihat selanjutnya...(9)
Peribahasa

Hendak ucok (= damai) dilawan damai,
     hendak perang giling peluru.

Bermaksud :

Bersedia menghadapi segala kemungkinan. ucok = berunding mencari jalan damai.

 

Lihat selanjutnya...(6)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam... Adakah "Perang dingin", "Perang saudara"", "Perang dunia pertama", dan "Perang dunia kedua" merupakan nama khas dan perlu dieja dengan huruf besar pada setiap pangkal katanya?Wassalam,

Tuan/Puan,

Peperangan yang merujuk perang khas perlu dieja dengan huruf besar seperti Perang Dingin, Perang Dunia Pertama dan Perang Dunia Kedua. Perang saudara ditulis sebagai kata nama am kerana merujuk perang saudara yang umum. Sekiranya merujuk Perang Saudara Amerika (1861-1865), baru ditulis dengan huruf besar.
Tatabahasa16.02.2016
Apakah terjemahan bagi 'war effort'? Usaha perang? Ikhtiar perang? War effort is coordinated mobilization of society's resources—both industrial and human—towards the support of a military force. Dalam bahasa Melayu, ia bermaksud penyelarasan pergerakan atau mobilisasi sumber-sumber masyarakat - baik industri dan manusia - ke arah sokongan terhadap pasukan tentera.Cadangan terjemahan yang sesuai bagi "war effort" ialah usaha perang.Makna11.02.2021
Bagaimana menulis Perang Teluk? Perlukah ditulis dengan huruf besar? (Yang mana paling tepat?): 1. Ketika Perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. 2. Ketika perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku. 3. Ketika perang teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku.

Salam sejahtera,

Perang Teluk merupakan kata nama khas dan perlu ditulis dengan huruf besar pada permulaan perkataan. Kata
nama khas mendukung makna rujukan khusus pada suatu nama orang, haiwan, benda, perbadanan (institusi), undang-undang, bangsa, bahasa, pangkat dan seumpamanya. Dalam tulisan, huruf pertama kata nama khas ditulis dengan huruf besar. Contoh kata nama khas ialah seperti Amelia, Raja Zakuan, Jibrail, Kancil, Melayu, Singapura, Piala Thomas, Dewan Bahasa dan Pustaka, Honda, dan lain-lain.

Jadi ayat 'Ketika Perang Teluk dengan Iraq banyak kemusnahan berlaku' merupakan ayat penulisan yang tepat.

Tatabahasa19.11.2012
Selamat sejahtera, Perkataan mana yang lebih tepat? Peperangan Badar atau Perang Badar? Terima kasih.

Perang dan peperangan kedua-duanya boleh digunakan, tetapi yg lebih tepat ialah Perang Badar. Perang berfungsi sebagai kata nama dan peperangan menceritakan hal perkelahian yang berlaku.

Karya08.07.2021
Adakah perkataan "perang" sama maksud dengan kata terbitan "peperangan"? Penerangan maksud dalam Kamus Pelajar agak sama sahaja.Perang dan peperangan mempunyai maksud yang hampir sama. Perbezaan boleh dilihat pada konteks penggunaannya seperti Perang Salib... dan peperangan antara Amerika dan Russia... . Perang berfungsi sebagai kata nama dan peperangan menceritakan hal perkelahian yang berlaku.Tatabahasa19.12.2014
Bolehkah Swiss Brown Mushroom diterjemahkan sebagai Cendawan Coklat SwissSalam sejahtera,



Pihak DBP mencadangkan padanan cendawan perang Swiss. Selaras dengan penggunaan beras perang dan gula perang yang telah mantap penggunaannya.

Sekian, terima kasih.
Lain-lain31.10.2019
Salam sejahtera tuan/puan, Minta khidmat nasihat daripada pihak tuan/puan tentang persoalan berikut: 1. Perang Dunia Kedua @ Perang Dunia II (yang mana satu betul?) 2. 10 tahun kemudian..... @ Sepuluh tahun kemudian.... (yang mana satu betul?) 3. Padanan bahasa Melayu bagi perkataan 'shrine' dalam Kamus Dewan ialah tempat suci/keramat/tokong/topekong...apakah padanan ini sesuai untuk 'Yasukuni Shrine' di Jepun? Terima kasih.Berikut merupakan jawapan bagi tiga (3) pertanyaan yang dikemukakan:
1. Perang Dunia Kedua
2. Selepas 10 tahun
3. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tempat keramat merupakan tempat yang suci dan (dipercayai) dapat mendatangkan hikmat; banyak orang yang pergi ke tempat keramat untuk meminta sesuatu dan bernazar; minta keramat sama dengan minta berkat (restu) dari tempat yang keramat.
Lain-lain16.06.2019
Rumahnya menjadi "perang" kerana tidak dijaga. Penggunaan "perang" dalam ayat ini betul ?

Encik Ming terima kasih kerana menghubungi KNBDBP.

Dalam ayat yang diberikan ini penggunaan perkataan perang tidak sesuai digunakan. Perkataan yang sesuai ialah usang atau jika ia merujuk warna rumah tersebut perkataan pudar boleh digunakan. Terima kasih

Makna31.07.2009
Kepada péhak yang berkenaan. Saya ingin menarik perhatian pihak DBP untuk mengkaji huruf e bagi sebutan yang dapat membezakan dua kata yang berlainan makna tetapi sama éjaan. Contoh: 1. Perang (peperangan) - Perang (warna) 2. Sepak (perbuatan menampar) - Sepak (perbuatan menendang). Ramai pelajar sekolah rendah yang keliru dengan éjaan dan sebutan.Pihak kami mengambil maklum saranan pihak tuan/puan. Walaupun begitu, untuk makluman awal merujuk buku Daftar Ejaan Rumi Bahasa Melayu, di bawah tajuk pola keselarasan vokal: e pepet boleh diikuti a, i, u dalam suku kata kedua/akhir tertutup, manakala e taling boleh diikuti a, e (taling), o dalam suku kata kedua/akhir tertutup.Tatabahasa24.06.2014
Salam Tuan, saya ingin bertanya apakah perbezaan terjemahan "blonde hair" dengan "brunette". Dalam pangkalan data kedua-duanya sama iaitu berambut perang. Sedangkan "blonde" rambutnya cerah dan "brunette" rambutnya gelap merah kehitaman. Harap tuan dapat membantu. Terima kasih.Berdasarkan Kamus Inggeris-Melayu Dewan, "blonde" bermaksud berambut perang muda, dan brunette bermaksud berambut perang.  Oleh itu, terdapat perbezaan antara kedua-duanya, iaitu perang muda dan perang.Istilah23.04.2014
12345678

Kembali ke atas