Pidato umum. Latihan dalam pidato umum yang
berkesan merupakan satu bahagian penting dalam
latihan kepemimpinan dalam apa juga bidang
aktiviti. Pemidato yang menyampaikan mesej
dengan baik dan berjaya mengekalkannya dikatakan
sebagai pemidato yang berkesan . Jika mereka cuba
menjadikan sesuatu maklumat fakta itu jelas, maka
mereka dikatakan berkesan sekiranya anggota
khalayak yang mendengarnya memahami fakta yang
disampaikan. Jika mereka cuba memujuk anggota
khalayak bersetuju untuk berbuat sesuatu atau
mengubah pandangan mereka, maka pemidato itu
dikatakan berkesan apabila anggota khalayak itu
membuat keputusan untuk mengambil tindakan
atau benar-benar mengubah pandangan mereka.
Jika pemidato itu cuba menghiburkan khalayak
mereka, mereka dikatakan berkesan jika khalayak
mereka mempamerkan sambutannya melalui
tepukan gemuruh atau ketawa sebagai menandakan
mereka terhibur.