Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[pin.tu] | ڤينتو

Definisi : 1. ruang utk keluar atau masuk (bilik, kereta, rumah dll): jangan duduk di ~; 2. papan dll utk menutup ruang pintu: sebuah ~ besar bergerak perlahan-lahan dibuka oleh seorang budak; 3. ki kesempatan utk men­capai sesuatu, jalan ke: membuka ~ utk perundingan damai; kalau kita mempunyai ijazah, ~ pekerjaan akan terbuka bagi kita; (politik) ~ terbuka politik yg membolehkan penanaman modal dr negeri asing; 4. Id palang pd jalan yg melintasi landasan kereta api; 5. penjodoh bilangan bagi rumah, kedai, dsb: ada kira-kira sepuluh ~ kedai yg terletak di kiri kanan jalan raya; cukai ~ = hasil ~ cukai yg dikenakan pd pemilik rumah (di kawasan per­bandaran); ~ air penahan air (dibuat drpd besi atau papan) yg boleh diturunnaikkan; ~ angin sj lubang kecil utk udara keluar masuk; ~ belakang a) pintu bangunan (rumah dsb) yg letaknya di belakang; b) ki cara mencapai sesuatu matlamat (spt jawatan, pekerjaan dsb) secara sulit melalui pengaruh, kekuasaan dsb; ~ gerbang (gapura, lawang) pintu besar utk keluar masuk sesuatu kawasan (kota, markas, dll); ~ hati kalbu; ~ jendela penutup jendela (drpd papan, kaca, dll); ~ keluar (masuk) pintu atau jalan yg digunakan utk keluar atau masuk; ~ maling pintu kecil di belakang atau di samping rumah; ~ mati pintu terpaku rapat (tidak boleh dibuka lagi); ~ monyet pintu yg berdaun dua (di atas dan di bawah); ~ rangkap daun pintu yg berangkap dua; ~ rezeki jalan (peluang) utk mendapat rezeki; ~ salah sj tingkap pd dinding istana; ~ sorong(an) = ~ sorok pintu yg disorong utk membuka atau menutupnya; ~ tani sj pintu gerbang istana; bagai ~ tak berpasak, perahu tak berkemudi prb sesuatu yg membahayakan; satu ~ kalau tertutup, sepuluh ~ lagi terbuka prb a) suatu perkara yg tidak dapat dirahsiakan lagi; b) orang yg mahir dlm berbagai-bagai pekerjaan walau diberhentikan dr pekerjaannya, banyak pekerjaan lain yg boleh dibuatnya; berpintu 1. mempunyai pintu; 2. sl meng­ikut pintu, berperaturan: hatta maka Laksamana pun terlalu karib kpd raja, keluar masuk tiadalah ~ lagi; berpintukan mempunyai atau menggunakan sesuatu sbg pintu: bilik air rumahnya juga ~ kayu nyatuh yg divarnis. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[pin.tu] | ڤينتو

Definisi : 1 lubang atau ruang tempat keluar masuk pd rumah dll. 2 papan dll penutup ruang tempat keluar masuk. 3 penjodoh bilangan utk rumah; buah: Enam ~ rumah kedai habis dimakan api. ~ air pengempang air yg dpt diturunkan dan dinaikkan. ~ angin lubang kecil tempat angin keluar masuk. ~ gerbang pintu besar tempat keluar masuk dr atau ke sesuatu kawasan (kota dll). ~ maling pintu kecil di sisi atau di belakang rumah. ~ mati pintu yg tertutup kemas-kemas dan tidak dpt dibuka-buka. ~ monyet pintu berdaun dua (satu di atas dan satu di bawah). ~ sorong pintu yg perlu disorong (ke kiri atau ke kanan) utk membuka atau utk menutupnya. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
pintu (kata nama)
Bersinonim dengan pintu masuk, pintu pagar, pintu gerbang, gapura, lawang, wijil, regol, bambangan.,

Puisi
 

Putik belimbing digetu-getu,
     Dari Kedah ke Tanah Liang;
Jentik dinding bukalah pintu,
     Pintu terdedah sampai siang.


Lihat selanjutnya...(123)
Peribahasa

Bagai pintu tak berpasak,
     perahu tak berkemudi.

Bermaksud :

Sesuatu yang membahayakan.

 

Lihat selanjutnya...(13)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Salam sejahtera. Saya ingin bertanya mengenai penggunaan perkataan 'platform' dan 'pelantar' kerana kedua-duanya mempunyai makna yang hampir sama. Oleh itu, untuk istilah "platform screen door", terjemahan apakah yang sesuai untuknya? Pintu skrin platform/pintu layar platform/pintu skrin pelantar/pintu layar pelantar?. Terima kasih.Sila berikan contoh dalam penggunaan ayat yang lengkap supaya jawapan yang akan diberikan menepati maksud.Lain-lain13.07.2017
Pertukaran Perkataan Bahasa Inggeris ke Bahasa Melayu1. Awas 2. Jangan Berhenti di Di Muka Pintu 3. Pintu Gelangsar AutomatikIstilah07.05.2014
PINTU BIASA THC SECURITY DOOR

Permohonan pengesahan bahasa dalam iklan boleh dikemukakan secara dalam talian melalui portal DBP Sah Bahasa (http://dbpsahbahasa.my)

Lain-lain16.01.2019
apakah maksud 'daun pintu'?Bahagian pintu yang dibuka dan ditutup.Tatabahasa02.11.2009
Soalan : Apabila hari mulai hujan, saya telah menutup semua tingkap dan pintu. Apakah jawapan yang sesuai? Apabila hari mulai hujan, semua tingkap dan pintu telah saya tutup. Atau Semua tingkap dan pintu telah saya tutup apabila hari mulai hujan.Ayat asal ayat ini ialah Saya menutup semua tingkap dan pintu apabila hari mulai hujan. Apabila disongsangkan ayat ini menjadi Apabila hari mulai hujan, saya menutup semua tingkap dan pintu.Tatabahasa05.08.2015
Manakah bentuk ini adalah betul dan apakah sebabnya? 1. Tetapan ini akan mematikan secara automatik pintu. 2. Tetapan ini akan mematikan pintu secara automatik. Ayat yang betul ialah "Tetapan ini akan menutup pintu secara automatik". Penggunaan perkataan "mematikan" tidak sesuai digunakan kerana bermaksud membunuh atau menjadikan mati. Maka perkataan "menutup" lebih sesuai digunakan untuk pintu. Anda tidak memberikan penjelasan sebabnya. Fokus pada adverba bukan kata kerja sebab soalan saya ialah tentang peletakan adverba bukan kesesuaian kata kerja yang digunakan sebab itu hanya contoh untuk peletakan adverba. Malah konteks mematikan sudah banyak digunakan dalam teknologi, IT mengapa tiba-tiba dikatakan tidak sesuai pula?Mohon jelaskan konsep bagi ayat "mematikan pintu" pada ayat yang diberikan agar pihak kami dapat memberikan penjelasan berdasarkan konsep yang diberikan.Tatabahasa26.08.2022
'SILA GUNA PINTU DI SEBELAH' @ 'SILA GUNAKAN PINTU DI SEBELAH' YANG MANA SATU YANG TEPAT PENGGUNAAN TATABAHASANYA?'SILA GUNAKAN PINTU DI SEBELAH'  lebih tepat.Tatabahasa13.11.2008
Manakah bentuk ini adalah betul dan apakah sebabnya? 1. Tetapan ini akan mematikan secara automatik pintu. 2. Tetapan ini akan mematikan pintu secara automatik. Mohon jelaskan konsep bagi ayat "mematikan pintu" pada ayat yang diberikan agar pihak kami dapat memberikan penjelasan berdasarkan konsep yang diberikan. Ayat di atas hanya CONTOH. Tak perlu tahu konteks kerana hanya CONTOH. Soalan saya tentang ADVERBA. MENGAPA ADVERBA HADIR SELEPAS KATA NAMA dan BUKANNYA KATA KERJA? BUKANKAH ADVERVA ITU MENERANGKAN KATA KERJA? Saya tanya tentang ADVERBA, bukan kata kerja, kenapa asyik nak menjawab tentang kata kerja? Tak kisahlah kata kerja itu adalah mematikan, menutup, menjerit, menyiram dll., saya hanya gunakan itu untuk mengetahui lebih lanjut tentang ADVERVA and PELETAKANNYA. Adverba - secara automatik - MENGAPA KEDUDUKANYA ADALAH mematikan secara automatik dan bukannya mematikan secara automatik pintu Soalan yang mudah tapi saya tanya lain, anda jawab lain. Mohon pegawai yang lebih berpengalaman menjawab soalan.Bentuk ayat yang betul ialah "Tetapan ini akan mematikan pintu secara automatik." Rumus yang digunakan dalam ayat ini ialah kata kerja transitif (KKT). Kata kerja transitif ialah kata kerja yang memerlukan objek, iaitu kata "pintu" sebagai kata nama. Klausa "secara automatik" pula merupakan keterangan cara dalam ayat.Tatabahasa01.09.2022
1. Pemuda itu telah menerjah pintu rumah tersebut.... @ 2. Pemuda itu telah menerjahi pintu rumah tersebut....Pemuda itu telah menerjah pintu rumah tersebut....Tatabahasa14.07.2014
Apakah penjodoh bilangan untuk pintu masuk. Contoh: Ada tujuh ___ pintu masuk ke bangunan itu. Terima kasih.
Saudara/saudari,

Jawapan bagi penjodoh bilangan untuk pintu adalah 'buah'


Tatabahasa24.08.2012
12345678910...

Kembali ke atas