Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[se.nyum] | سڽوم

Definisi : 1. gerak bibir yg ternaik pd hujungnya yg membayangkan rasa suka (geli hati, setuju, dsb) tanpa mengeluarkan suara: perempuan muda itu kelihatan memberikan ~ manisnya kpd laki-laki itu; 2. menggerakkan bibir hingga ternaik sedikit hujungnya bagi mem-bayangkan rasa suka (geli hati, setuju, dsb) tanpa mengeluarkan suara: “~, ~,” kata ayah sebelum memetik kamera; ~(-senyum) kambing senyum yg dibuat-buat utk mengejek; ~ kanyur senyum yg dibuat-buat (ketika marah); ~ kucing Kl senyum yg mengandungi sesuatu muslihat; ~ manis senyum yg menarik sekali (menampakkan kejelitaan seseorang); ~ mesra a) senyum yg menunjukkan rasa mesra; b) sj kuih drpd tepung yg dicampur dgn berbagai-bagai ramuan; ~ raja senyum yg dibuat-buat (tidak mengan-dungi apa-apa makna); ~ serong-serong bahasa senyum sedikit sahaja; ~ simpul senyum yg menandakan gembira (geli hati, dll); ~ sinis senyum yg dibuat-buat kerana mengejek (me-nyindir); ~ sumbing senyum sedikit sahaja; ~ tawar senyum yg dibuat-buat ketika berduka-cita (dlm kecewa dll); senyum-menyenyum saling tersenyum: sudah luput segala tunduk-menunduk, ~ serta tegur-menegur; menyenyumi melahirkan senyuman kpd: dia ~ si pelacur tua secara sinis; tersenyum melahirkan senyum: Wan Intan ~ berkulum melihat temasya yg berlaku di hadapannya itu; tersenyum-senyum mengeluarkan senyum yg berulang-ulang dan agak berpanjangan, tersenyum berulang-ulang atau dgn agak ber-panjangan: beberapa orang mahasiswa ke-lihatan ~ memandang gelagat kami; dia ~ mendengar segala janjiku itu; senyuman hasil tersenyum: ~nya menyejuk-kan hati. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[se.nyum] | سڽوم

Definisi : gerak bibir yg ternaik di bahagian hujungnya dgn mulut ter­tutup atau terbuka sedikit, yg membayangkan rasa suka, geli hati dsb. ~ kambing senyum yg dibuat-buat utk mengejek. ~ kanyur senyum yg dibuat-buat ketika marah. ~ kucing senyum yg mempu­nyai sesuatu muslihat. ~ kulum senyum dgn malu-malu tetapi kelihatan manis. ~ manis senyum yg manis sekali. ~ mesra senyum yg menunjukkan rasa mesra. ~ pahit senyum yg dipaksakan ketika dlm kesusahan. ~ raja senyum yg sengaja dibuat-buat. ~ simpul senyum yg menunjukkan kegembiraan seseorang. ~ sumbing senyum yg sedikit saja. ~ tawar senyum yg dibuat-buat ketika bersedih. tersenyum me­lahirkan rasa gembira dll dgn memaniskan muka (mulut tertutup atau terbuka sedikit): Kadang-kadang saya ~ sendirian apabila teringat akan peristiwa-peristiwa itu. senyuman gerakan bibir se­masa tersenyum: ~ yg menawan dpt melembutkan hati. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
Tiada maklumat tesaurus untuk kata senyum

Puisi
 

Hendak diminum tidak terminum,
     Minum sedikit di dalam gelas;
Hendak senyum tidak tersenyum,
     Senyum sedikit tidak berbalas.


Lihat selanjutnya...(17)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Tuan, bolehkah tuan terangkan perbezaannya antara senyum dan tersenyum? mengapakah dia senyum lebar salah? perlu dia tersenyum lebar? terima kasih.

Dalam Kamus Pelajar tersenyum bermaksud  melahirkan rasa gembira dan lain-lain dengan memaniskan muka (mulut tertutup atau terbuka sedikit). 

Senyum pula bermaksud gerak bibir yang ternaik pada hujungnya yang membayangkan rasa suka (geli hati, setuju, dsb) tanpa mengeluarkan suara.
Klausa tersenyum lebar lazim digunakan berbanding senyum lebar. Kedua-duanya boleh digunakan.

Tatabahasa16.07.2020
Salam, saya ada satu persoalan tentang perkataan "senyum". Mohon PRPM beri tunjuk ajar. 1. Dalam bahasa Melayu (BM), wujud atau tidak perkataan ‘bersenyum’? 2. Dalam Kamus Dewan, yang ada cuma ‘tersenyum’. Akan tetapi, dalam korpus PRPM, ‘bersenyum’ didapati ada dalam BM. Jika kedua-dua bentuk ini wujud, apakah perbezaan makna antara ‘ber-‘ dan ‘ter-‘ yang digabungkan dengan ‘senyum’? 3. Adakah ‘senyum’ kata kerja tak transitif tanpa pelengkap? Sekian, terima kasih.Dalam bahasa Melayu, tidak terdapat perkataan bersenyum. Perkataan yang ada ialah tersenyum yang bermaksud melahirkan senyum. Perkataan 'bersenyum' cuma terdapat dalam pantun Melayu lama. Tidak semua perkataan mempunyai imbuhan 'ter' dan 'ber'. Contoh perkataan lain yang tidak mempunyai imbuhan "ber" tetapi mempunyai imbuhan "ter" ialah tergelak (tidak ada bergelak), tertawa (tidak ada bertawa) dan tergendala (tidak ada bergendala). Tersenyum ialah kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan objek atau penyambut sesudahnya. Contoh kata kerja tak transitif yang tidak memerlukan objek ialah terjatuh dan terduduk.Ejaan16.04.2012
Tuan, adakah sama erti kata "senyum" dengan kata "senyuman"?Senyum, senyuman dan tersenyum mempunyai makna yang hampir sama, namun konteks penggunaan setiap kata mempunyai sedikit perbezaan. Sila rujuk kamus untuk melihat konteks penggunaan kata tersebut.Makna05.05.2015
Salam, Soalannya, Bakri.........malu apabila dipuji oleh gurunya. (tersenyum-senyum atau tersipu-sipu)Tersipu-sipu.Tatabahasa26.10.2010
Salam sejahtera. Adakah ayat-ayat di bawah ini betul? 1. Dia senyum sahaja apabila disapa. 2. Juruacara itu selit ke dalam penonton di bawah pentas. 3. Selitkan surat ini di bawah pintu. 4. Rakyat jelata datang mengangkat sembah kepada raja. 5. Baju ini sepadan dengan saiz badannya. 6. Mereka sepakat dengan saya. 7. Pertandingan semalam berakhir dengan / diakhiri dengan keputusan seri. 8. Simpul tali itu telah longgar. 9. Tembakan itu sipi. 10. Kami sukacita dapat melancong ke luar negara secara percuma. Terima kasih.Berikut ayat-ayat yang telah dipinda.

1. Dia tersenyum  apabila disapa.
2. Juruacara itu menyelit bersama-sama penonton di bawah pentas.
 3. Selitkan surat ini di bawah pintu.
4. Rakyat jelata datang mengangkat sembah kepada raja.
5. Baju ini sepadan dengan saiz badannya.
6. Mereka sepakat dengan saya.
 7. Pertandingan semalam berakhir dengan keputusan seri.
8. Simpulan tali itu telah longgar.
9. Tembakan itu sipi.
10. Kami gembira kerana dapat melancong ke luar negara secara percuma.
Tatabahasa13.03.2013
Saya melihat satu podcast di internet mengatakan satu pepatah melayu yang belum saya pernah dengar , bolehkan saya meminta untuk membuat semakan adakah terkandung secara rasmi dalam persuratan melayu atau hanya satu perkataan biasa sahaja " Tunduk sebelum Melangkah , Senyum sebelum Menengking , Menganga sebelum Bermadah" kalau menyanyi asli iramanya saya ingin memastikan ini adalah suatu pantaun ataupun sejenis rangkap apa
"Tunduk sebelum melangkah, senyum sebelum menengking, menganga sebelum bermadah" ialah ungkapan baharu yang dicipta atau dalam erti kata lain bukan peribahasa (pepatah) yang sedia ada.
Sastera21.02.2024
selamat sejahtera. Saya ingin meminta nasihat daripada pihak tuan tentang bentuk dan golongan kata ini. Saya harap pihak tuan dapat memberikan pembetulan serta ulasan tentang bentuk dan golongan kata ini. Terima kasih di atas kesudian pihak tuan membantu saya.Terdapat beberapa pembetulan:

1. Sebak = kata kerja
2. Cuma = kata tugas
3. Senyum = kata tunggal
4. Tawa = kata kerja
5. Kekasih = kata ganda
6. Inginkan = kata kerja
7. Temui = kata kerja
8. Sengaja = kata kerja
9. Pada = kata tugas
Tatabahasa27.03.2013
1. Lalu lintas di kawasan rekreasi itu sesak kerana para pekerja sedang memperlebarkan jalan raya di kawasan itu. . 2. Walaupun tidur bertilamkan dengan surat khabar lama di kaki lima itu, namun pengemis itu kelihatan amat lena. 3. Selama tiga jam kami membincangkan tentang masalah itu di bilik mesyuarat utama. 4. Lukisan-lukisan yang sedang dipamerkan di galeri itu cantik-cantik belaka. 5. Dia senyum lebar kepada saya setelah mendengar berita yang menggembirakan itu. 6. Semasa bertemu dengan Mak Cik Salmah, kami ada bertanyakan tentang khabar Pak Cik Salleh. 7. Murid itu akan dikenakan denda kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberikan kepada guru pada semester baru-baru ini. 8. Semua murid-murid mesti berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran. 9. Tuanku berkata,"Beta berharap agar rakyat di negara ini dapat mematuhi undang-undang yang dimaktubkan". 10. Walaupun ruang udara kita tidak diancam oleh jerebu, oleh itu kesedaran yang berterusan tentang kepentingan memelihara alam sekitar perlu terus dijadikan amalan. BOLEH TUAN MENYEMAK SAMA ADA AYAT DI ATAS ADALAH BETUL1. Lalu lintas di kawasan rekreasi itu sesak kerana kerja memperlebar jalan raya di kawasan itu sedang dijalankan.
2. Walaupun tidur bertilamkan surat khabar lama di kaki lima itu, namun pengemis itu kelihatan amat lena.
3. Selama tiga jam kami membincangkan masalah itu di dalam bilik mesyuarat utama.
4. Lukisan yang sedang dipamerkan di galeri itu cantik belaka.
5. Dia tersenyum lebar kepada saya setelah mendengar berita yang menggembirakan itu.
6. Semasa bertemu Mak Cik Salmah, kami ada bertanyakan habar Pak Cik Salleh.
7. Murid itu akan dikenakan denda kerana tidak menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru pada penggal ini.
8. Semua murid mesti berusaha dengan gigih untuk mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran.
9. Tuanku berkata,"Beta berharap rakyat di negara ini dapat mematuhi undang-undang yang termaktub".
10. Walaupun ruang udara kita tidak dicemari jerebu, amalan memelihara alam sekitar perlu diteruskan.
Tatabahasa07.05.2020
Assalamualaikum, mohon pencerahan tentang kehadiran perkataan "dengan" dalam ayat ini. Rabbi, Aku Ingin Mengenal-Mu "dengan" Lebih Dekat atau Rabbi, Aku Ingin Mengenal-Mu Lebih Dekat. Terima kasih.Puan,

Ayat yang betul ialah "Rabbi, aku ingin mengenal-Mu dengan lebih dekat". Perkataan "dengan" dalam ayat tersebut merupakan kata sendi nama "dengan" yang membawa maksud cara sesuatu itu dilakukan. Contoh lain, "Dia menyambut tetamu itu dengan senyum simpul".
Tatabahasa15.04.2019
Assalamualaikum, Saya ingin merujuk kepada pihak DBP kerana kami akan menerbitkan sebuah kamus bergambar untuk pelajar berumur 2 hingga 4 tahun. Dengan itu, saya ingin bertanyakan tentang penggunaan kata imbuhan dalam kata kerja yang betul dan bersesuaian dengan peringkat usia mereka. Sebagai contoh :- Kategori 'KATA KERJA': 1) hold - pegang (*atau harus ditambah kata imbuhan 'me-' memegang) 2) listen - dengar (*atau harus ditambah kata imbuhan 'men-' mendengar) 3) smile - senyum (*atau harus ditambah kata imbuhan 'ter-' tersenyum) #sekian terima kasih.1. Kata pegang lazimnya digunakan dalam bahasa percakapan, oleh itu buku rujukan hendaklah menggunakan kata yang betul, iaitu memegang.
2. Begitu juga dengan perkataan kedua dan ketiga, iaitu mendengar dan tersenyum.
Tatabahasa03.12.2012
12

Kembali ke atas