Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[si.hat] | صيحت

Definisi : 1. tidak kena (menghidap) sebarang pe­nyakit, tidak sakit-sakit, afiat, segar: anak­-anaknya ~-~ sahaja; 2. sembuh drpd sakit, pulih, betah: aku ingin menolong engkau sampai anak engkau ~ spt sediakala; 3. ki dlm keadaan yg baik (elok, biasa, dll), berjalan dgn lancar (rancangan dll), masuk akal (pen­dapat dll), dapat diterima: walaupun kami miskin tetapi rakyat kami ~ fikirannya; 4. berjalan (dilakukan dsb) dgn baik, tidak menimbulkan keburukan (persengketaan dsb): mereka haruslah mengendalikan proses pembelian dgn berkesan agar wujud per­tandingan yg ~ dlm pasaran; menyihatkan 1. menjadikan sihat: makan­an itu tidak sedap tetapi mesti dimakan utk ~ badan; 2. memulihkan (spt sediakala atau lebih baik): mereka didapati menghidap penyakit yg susah hendak disihatkan; cita­-citanya ialah hendak ~ masyarakat yg telah rosak moral itu; 3. mendatangkan kebaikan kpd tubuh badan, berkhasiat: makanan yg ~; penyihatan perihal menyihatkan; kesihatan perihal sihat, kesegaran, kebaikan keadaan (badan dll): Kementerian K~. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[si.hat] | صيحت

Definisi : 1 tidak menghidap sebarang pe­nyakit; tidak sakit-sakit; segar: Anak-anaknya ~ belaka. 2 sembuh drpd sakit: Tak usahlah engkau bekerja kuat, engkau belum ~ lagi. menyihatkan menjadikan sihat: Utk ~ badan, kita perlu selalu ber­senam. kesihatan keadaan atau peri­hal sihat; kesegaran: Kita hendaklah sentiasa menjaga ~ kita. penyihatan perbuatan atau perihal menyihatkan: Vitamin membantu ~ badan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
sihat (adjektif)
1. Bersinonim dengan tidak sakit: afiat, segar, waras, cergas, cerdas, aktif, cedas,
Berantonim dengan sakit

2. Bersinonim dengan sembuh: pulih, baik semula, betah, uras,
Berantonim dengan sakit

3. Dalam konteks kiasan
bersinonim dengan masuk akal, dapat diterima, berjalan lancar,

Kata Terbitan : menyihatkan, kesihatan,

Puisi
 

Cik Mahat orang di desa,
     Duduk menjemur tepi paya;
Luar sihat dalam bisa,
     Cari bomoh ubatkan saya.


Lihat selanjutnya...(3)

Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
salam sejahtera, 1. Saya di sini sihat-sihat sahaja. 2. Saya sihat-sihat sahaja di sini. 3. Ali di padang bermain bola 4. Ali bermain bola di padang Ayat yang mana betul ? T.kasih.

Salam sejahtera,

Kesemua ayat yang dikemukakan oleh saudara adalah betul.

Tatabahasa10.10.2012
1. Apakah kesalahan dalam ayat berikut, mengapa? -Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. 2. Tolong pilih ayat yang betul daripada tujuh ayat di bawah dan terangkan kesalahan berkenaan. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu. 3. Manakah frasa yang betul? Kesalahan penagihan dadah, atau kesalahan menagih dadah? Projek menceriakan sekolah, atau projek penceriaan sekolah? Projek melebarkan jalan raya, atau projek pelebaran jalan raya? TERIMA KASIH BANYAK BANYAK

1. Ikan-ikan laga peliharaannya semuanya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi. Ayat ini salah, kerana ikan-ikan telah menunjukkan jamak oleh itu, tidak perlu lagi diulang pernyataan jamak dengan perkataan semua. Ayat yan betul, "Ikan-ikan laga peliharaannya sihat-sihat kerana mendapat penjagaan yang rapi".

2. a) Adalah dimaklumkan bahawa majlis makan malam yang dicadangkan telah dibatalkan. - salah, kata pemeri "adalah" tidak diletakkan di pangkal ayat.  b) Semua pelajar diminta hadir ke sekolah pada petang ini untuk latihan sukan. - betul.  c) Ibu Laila menjual mi goreng pada waktu petang digerainya. salah, di gerainya (kata sendi di + tempat)  d) Dalam ingatan saya, dia jarang mengambil cuti sejak dia bekerja di sini. - tidak gramatis, ganti nama dia kali kedua tidak perlu lagi.  e) Baju yang cantik-cantik itu menyebabkan saya rambang mata. - tidak gramatis, kata adjektif cantik perlu digandakan.  f) Hujan lebat menyebabkan projek melebarkan jalan raya di kawasan itu tergendala. - betul  g) Remaja memerlukan rakan sebaya yang dapat membincang dan memberikan idea yang bernas untuk menyelesaikan sesuatu masalah itu.  - betul.

3.  Kesalahan menagih dadah, Projek menceriakan sekolah, Projek melebarkan jalan raya.

Tatabahasa23.07.2009
"Healthy Low Sugar" - sepatut menterjemah ke 1. Rendah Gula Sihat 2. Gula Rendah Sihat 3. Sihat Gula Rendah 4. Sihat Rendah Gula

Padanan bahasa Melayu yang sesuai untuk healthy low sugar ialah "kandungan gula rendah yang sihat" bergantung pada kesesuaian serta konsep penggunaannya dalam sesuatu bidang atau aras bahasa.

Makna25.02.2022
Ejaan untuk sihat walafiat atau sihat wal afiat atau sihat wal-fiat ? terima kasih.Jawapan yang betulnya ialah walafiat. Rujuk Kamus Dewan Edisi keempat untuk keterangan lebih lanjut. Harap maklum.Ejaan09.08.2007
Salam Tuan, Mohon pencerahan untuk penggunaan perkataan dari dan daripada untuk ayat ini. Pemakanan Sihat Bermula Dari Sarapan Yang Sihat atau Pemakanan Sihat Bermula Daripada Sarapan Yang Sihat? Terima kasih.Jawapan yang betula ialah ayat kedua Pemakanan sihat bemula daripada sarapan yang sihat.Lain-lain13.10.2014
SIHAT WAL AFIAT Khidmat Nasihat DBP pada 09/08/07 mentakrifkan ejaan “yang betul ialah walafiat” sebagai jawapan kepada soalan kategori Ejaan. Kemudian Khidmat Nasihat DBP pada 04/07/2013 mentakrifkan ejaan yang betul ialah “wal afiat” sebagai jawapan kepada soalan kategori Tatabahasa. Akhirnya, pada 03/08/22 Khidmat Nasihat DBP mentakrifkan pula “Ejaan yang betul ialah “walafiat” sebagai jawapan kepada soalan kategori Lain-Lain. Jika “wa” dalam bahasa Arab bermaksud “dan”, adakah perkataan “dan” dieja bersambung dengan perkataan “afiat” sebagai “walaifat” (danafiat)? Definisi daftar kemasukan “afiat”: 1. pulih, sihat; sihat dan ~ (afiat) = sihat wal afiat ~ sihat (tidak uzur). Bagaimanapun, lain pula halnya pada perkataan Ahli Sunnah Wal Jamaah – yang dieja berasingan “Wal Jamaah” daripada Wa al-Jamaah – “Dan Jamaah” . Mohon pencerahan.Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020), ejaan bagi kedua-dua frasa ini ialah Ahli Sunah Waljamaah dan sihat wal afiat. Wa atau wal ialah perkataan dalam bahasa Arab yang bermaksud dan,  lazimnya dieja rapat dengan perkataan yang bergabung dengannya, sama juga halnya dengan kata bismillah, assalamualaikum dan waalaikumussalam. Walau bagaimanapun, jika mengikut kaedah transliterasi, lazimnya dieja terpisah.

Ejaan27.04.2023
LIFESTYLE SIHAT & CANTIKTuan/Puan tidak mengemukakan kemusykilan tentang perkataan LIFESTYLE SIHAT & CANTIK”. Sekiranya kemusykilan berkenaan pengesahan bahasa yang sesuai, kami mencadangkan pembetulan kepada “Gaya Hidup Sihat dan Menarik” atau “Gaya Hidup Sihat dan Aktif”. Walau bagaimanapun, frasa tersebut bergantung pada produk yang hendak ditonjolkan.Tatabahasa29.08.2018
Tuan, sukacita kiranya dapat bantu mengenai pemilihan tema untuk penganjuran kempen kesihatan antara "Budayakan Hidup Sihat" atau "Membudayakan Hidup Sihat"? Mana satu yang sesuai untuk digunakan. Sekian, terima kasih.Slogan "Budayakan Hidup Sihat" lebih tepat kerana kata kerja 'budayakan' menjadikan ayat tersebut sebagai ayat suruhan dan ayat ayat suruhan lebih berkesan dalam  wacana ini.Tatabahasa28.03.2011
Assalamualaikum...tuan, saya ingin bertanya tentang perkataan "sihat" dalam ayat di bawah betul atau salah. 1. Kita perlu mengamalkan pemakanan yang sihat. 2. Kita perlu makan makanan yang sihat supaya badan cergas.Penggunaan perkataan "sihat" dalam ayat yang diberikan betul.Tatabahasa28.08.2014
Salam...yang mana yang betul... Saya mendoakan agar ibunya cepat sihat. atau... Saya mendoakan ibunya agar cepat sihat. Kenapa jawapan itu sebegitu.Ayat yang betul ialah "Saya mendoakan ibunya agar cepat sihat." Kata kerja transitif "mendoakan" mesti diikuti oleh objek, iaitu ibunya.Tatabahasa05.09.2013
12345678910...

Kembali ke atas