Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[su.sah] | سوسه

Definisi : 1. perasaan tidak puas hati (kerana sukar, sulit, dll), perasaan tidak senang: pekerjaan makan gaji itu memang ~ pd mulanya, tetapi kalau sudah biasa kelak menjadi senang; 2. tidak mudah (mendapat, mencari, dll sesuatu), sukar, sulit: masa itu memang ~ hendak membeli kain baju, kalau adapun harganya mahal-mahal; 3. = ~ hati tidak senang hati, sedih hati, dukacita: jangan ~, nanti ia akan kembali lagi; 4. serba kekurangan, miskin, papa: ~ dan senang kehidupan kaum ke­luarga, tidaklah menjadi penghalang kpd budak-budak itu bersuka ria; 5. kesukaran, kesulitan: adalah suatu ~ kepadaku sebab tidak tahu bahasa Hindustan itu; bersusah 1. = ~ payah = bersusah-susah melakukan sesuatu dgn susah payah, berpenat lelah (mengerjakan sesuatu): Presiden Jamal Abdul Nasir telah ~ payah benar mem­beritahu dunia luar bahawa dunia Arab ber­satu dlm hal itu; 2. = ~ hati berasa susah hati, berdukacita: dia berharap mak cik tidak akan ~ lagi; menyusahi menjadikan (mendatangkan) su­sah, mengganggui: tak usah disusahi aku, bukannya apa-apa, aku cuma pening sahaja sedikit; menyusahkan 1. menjadikan (seseorang) susah, menyukarkan, menyulitkan: aku tidak ada kerja dan itulah yg ~ aku; kanak-kanak kecil tidak perlu disusahkan dgn pengajaran penggunaan imbuhan yg kompleks; 2. men­jadikan susah (sedih, risau, dll), mendukacita­kan, merisaukan: tak usah menangis, apa pula yg disusahkan; mempersusah menjadikan lebih susah: jangan dibiarkan hati tersandung duka, jangan fikiran dipersusah; kesusahan 1. perihal susah, kesengsaraan, kesukaran, kesulitan: separuh drpd ~ yg dihadapi oleh manusia ialah ~ mencari makanan; 2. menanggung susah, kepayahan: janganlah kamu biarkan pd masa ia dlm ~ atau keuzuran. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[su.sah] | سوسه

Definisi : 1 rasa tidak puas hati kerana mengalami kesulitan dll; rasa tidak senang: Jika anakanda ~ tinggal di bandar, pulanglah ke kampung. ~ hati tidak senang hati; sedih; dukacita. 2 tidak mudah melakukannya (mendapatkan­nya; men­­carinya dll); sukar; sulit: Latihan yg dijalani itu amat ~ dan berat. ~ payah berbagai-bagai kesulitan atau kesukaran. 3 serba kekurangan; mis­kin; papa: Kita hendaklah menolong orang-orang yg ~. bersusah melakukan sesuatu dgn susah payah; berpenat lelah mengerjakan sesuatu: Tak usahlah kamu ~ menolong kami. ~ hati berasa susah hati; berdukacita. menyusahkan 1 menyebabkan menjadi susah; me­nyukarkan; menyulitkan: Aku lebih suka hidup sendiri kerana aku tidak mahu ~ kedua-dua ibu bapaku lagi. 2 menyebabkan berasa susah hati; mendukacitakan; menyedihkan: Jika ada sesuatu yg ~ adinda, ceritakanlah kpd kakanda. kesusahan 1 keadaan susah; sesuatu yg susah; kesukaran; kesulitan: Sesiapa yg mengembara ke sana akan mengalami berbagai-bagai ~ dan bahaya. 2 menanggung atau menderita susah: Dlm musim kemarau yg berpanjangan, ramai yg ~ dlm mengharung hidup. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
susah (adjektif)
1. Bersinonim dengan sukar: payah, rumit, sulit,

2. Bersinonim dengan jarang ada: sukar terdapat

3. Bersinonim dengan miskin: papa, daif, melarat, serba kekurangan,

Kata Terbitan : bersusah-susah, menyusahkan, kesusahan,

Puisi
 

Tetaklah nipah bersusun nipah,
     Buluh muda pancung sekali;
Duduklah susah berdiri susah,
     Badanku muda langsung sekali.


Lihat selanjutnya...(49)
Peribahasa

Hendaklah seperti tembikar,
     pecah satu pecah semuanya.

Bermaksud :

Hendaklah hidup dalam muafakat; senang sama-sama senang, susah sama-sama susah.

 

Lihat selanjutnya...(62)


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Susah senangnya membesarkan anak-anaknya selama ini mula memperlihatkan hasil apabila anak sulungnya berjaya menjadi jurutera. yang manakah kesalahan tatabahasanya? "susah senangnya" atau "memperlihatkan"? jika salah, apakah perkataan yang sepatutnya digunakan. terima kasih.susah senang dan memperlihatkan, kedua-duanya boleh digunakan dalam ayat ini cuma dibuang "nya" pada susahsenangnya. Susah senang membesarkan anak-anaknya selama ini mula memperlihatkan hasil apabila anak sulungnya berjaya menjadi jurutera.  Tatabahasa18.07.2008
Mohon pandangan berkenaan penggunaan ayat berikut dalam iklan suratkhabar: 1. Susah sangatke nak pilih... Di IOC mudah. 2. Susah sangatkah hendak memilih? Di IOC mudah. 3. Susah sangatkah membuat pilihan? Di IOC mudah...Cadangan kami ialah "Sukar membuat pilihan? Semuanya mudah di OIC". Tatabahasa16.01.2017
Ayat yang manakah betul? (a) Cikgu membimbing saya menyelesaikan soalan yang sukar itu. (b) Cikgu membimbing saya menyelesaikan soalan yang susah itu. [Apakah beza antara ‘sukar’ dengan ‘susah’ dari segi penggunaan?]Sukar dan susah mempunyai maksud yang sama, kedua-dua perkataan boleh digunakan dalam konteks ayat tersebut.Tatabahasa29.10.2015
bersusah-susah dahulu, bersenang-senang kemudian

Soalan saudara tidak jelas. Peribahasa yang ada “Berakit-rakit ke hulu berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dahulu bersenang-senang kemudian” yang bermaksud untuk mendapat kesenangan, biar bersusah payah dahulu.

Sastera08.06.2023
kenapa susah sangat untuk menggunakan perkhidmatan dalam Talian....Saya hanya ingin membuat semakkan bahasa pada papan Iklan saya...Saya menghabiskan masa berjam jam bagi tujuan tersebut...Sila mudahkan cara yang lebih ke arah mesra pelanggan.terima kasih

Untuk makluman tuan, SOP Khidmat Pengesahan Bahasa DBP secara dalam talian ialah 3 hari bekerja dan bagi Semakan Kedua dan Seterusnya bermula dari tarikh/masa pelanggan mengemas kini permohonan. Selain daripada pengesahan bahasa dalam talian (on-line), saudara juga boleh mendapatkan pengesahan bahasa di Kaunter Khidmat Bahasa di Aras Lobi, Menara DBP, Dewan Bahasa dan Pustaka, Jalan Dewan Bahasa, 50460 Kuala Lumpur.

Waktu perkhidmatan kaunter adalah seperti yang berikut:

Hari Isnin - Khamis : 8.30 pagi - 4.30 petang
Hari Jumaat: 9.00 pagi - 12.15 tengah hari dan 2.45 petang - 4.30 petang
(kecuali hari Sabtu, Ahad dan hari Kelepasan Am)

Lain-lain15.07.2019
kenapa susah nak apply pengesahan ejaan menggunakan sistem online ?Kami memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh pihak tuan. Namun begitu, kami sentiasa memantau dan menambah baik sistem perkhidmatan sah bahasa secara dalam talian.Lain-lain12.03.2019
Kenapa susah sangat nak angkat call???!!! Ada orang kerja ke x?! Saya dah call Customer Service 03-2147 9000 tak dapat, Call pengawai pon sama 03-2147 9692 03-2147 9691 03-2147 9108 call bahagian technical pon sama 03-2147 9389 (Saufi) 03-2147 9377 (Pn Rajavi) Call saya semula! 019-3366 819Pihak kami memohon maaf kerana pada tarikh tersebut Bahagian kami sedang mengadakan Mesyuarat Bahagian.  Tiada pegawai di tempat ketika itu.  Itu sebabnya panggilan puan tidak berjawab. Pihak kami akan cuba menghubungi puan semula. Terima kasih.Lain-lain30.08.2016
kenapa susah sangat nak luluskan perkataan untuk iklan nama syarikat. terima kasihUntuk pengesahan iklan sila klik domain Khidmat Pengesahan Bahasa (bukan Khidmat Nasihat Bahasa)Lain-lain31.01.2015
KENAPA SUSAH SANGAT NK CARI MAKNA ISTILAH DALAM LAMAN WEB INIPuan Aina, saya ingin bertanya apakah makna istilah yang puan ingin cari? Sebenarnya DBP telah menggubal hampir dua juta istilah dalam pelbagi bidang. Dan istilah-istilah ini ada dijual di kedai buku yang menjadi pengedar kepada DBP. Jadi sila dapatkan istilah yang sesuai daripada kedai buku yang berhampiran .Terima kasihIstilah13.01.2009
Soalan.Susah dijawab.Lain-lain17.05.2022
12345678910

Kembali ke atas