‘ABDULLAH IBN JAHSY | ‘Abdullah ibn Jahsy (? –3 H./? –625 M.), sahabat besar dan termasuk golongan yang terawal menerima Islam. Nama penuhnya ialah ‘Abdullah ibn Jahsy al-Asadiy, saudara Zaynab bin Jahsh Umm al-Mu’minin. Dia berhijrah ke Habsyah dan ke Madinah. Dia turut serta dalam Perang Badar dan menjadi anggota mesyuarat Rasulullah SAW bersama-sama dengan Abu Bakar dan ‘Umar dalam menentukan kedudukan tawanan perang tersebut. Rasulullah SAW telah menghantarnya mengetuai kumpulan tawanan perang yang dibebaskan. Dia juga turut serta dalam Perang Uhud dan mati syahid. Dia dikebumikan bersama-sama bapa saudaranya Hamzah ibn Abd al-Muttalib dalam satu liang lahad. | UMUM | |
SMYTHE, FRANCIS SYDNEY | Smythe, Francis Sydney (1900–1949) ialah pendaki gunung, pengarang, dan jurufoto British yang terkenal. Pada tahun 1927 dan tahun 1928, dia membuka beberapa laluan baru di Brenvan Face di Mont Blanc. Pada tahun 1930, dia mengambil bahagian dalam percubaan mendaki Kanchenjunga. Pada tahun 1931, dia memimpin dengan jayanya cubaan mendaki Gunung Kamet. Dia turut serta dalam ekpedisi Gunung Everest pada tahun 1933, 1936, dan tahun 1938 dan menemui jalan terus ke puncak sebelah barat North Col. Smythe lahir di Ivythorne, berhampiran Maidstone, di Kent. | UMUM | |
MU‘ADH IBN JABAL | Mu‘adh ibn Jabal (20 S.H.–18 H./603 M.–639 M.), sahabat Nabi s.a.w. dari kaum Ansar, berketurunan suku Khazraj dari Madinah. Nama penuhnya ialah Mu‘adh ibn Jabal Abu ‘Abd al- Rahman. Dia memeluk Islam hasil usaha Mus’ab ibn Umayr r.a. Mu‘adh turut serta ke Makkah dan terlibat dalam Perjanjian ‘Aqabah II serta berbai’ah bersama Rasulullah s.a.w. Nabi Muhammad s.a.w. mempersaudarakannya dengan Ja‘far ibn Abu Talib r.a. | UMUM | |
SAFIYYAH BINT ‘ABD AL-MUTTALIB | Safiyyah bint ‘Abd al-Muttalib (?–20 H. / ?– 641 M.) ialah ibu saudara Rasulullah s.a.w. dan juga ibu Zubayr ibn Awwam. Dia ialah seorang daripada 10 orang yang dijanjikan syurga oleh Rasulullah s.a.w. dan dia juga adalah seorang sahabat nabi. Pada zaman jahiliah, dia berkahwin dengan Harith ibn Harb ibn Umayyah. Dia kemudiannya berkahwin dengan Awwam ibn Khuwaylid dan mempunyai beberapa orang anak termasuk al- Zubayr. Safiyyah bint ‘Abd al- Muttalib memeluk Islam dan memberikan taat setia kepada Islam serta turut berhijrah ke Madinah. Dia turut serta dalam Perang Uhud dan Perang Khandaq. Dalam Perang Uhud, dia berdiri dengan memegang sebatang lembing yang dihalakan kepada orang ramai sambil berteriak: Adakah kamu menerima kekalahan dan meninggalkan Rasulullah?”. Dalam Perang al-Ahzab, dia membunuh seorang Yahudi yang mengintip orang Islam. Oleh itu, dia dikatakan wanita yang pertama membunuh seorang lelaki Musyrikin. Dia juga ialah seorang penyair yang berkebolehan. Dia mencipta syair untuk meratapi Rasulullah s.a.w. serta saudaranya Hamzah ibn ‘Abd al-Muttalib. Dia meninggal dunia pada zaman Khalifah ‘Umar ibn al- Khattab dan dikebumikan di al-Baqi‘. | UMUM | |
MUSLIM IBN ‘UQBAH IBN RABAH AL-MURRIY | Muslim ibn ‘Uqbah ibn Rabah al-Murriy ialah cendekiawan zaman Umawiyyah yang amat tegas. Dia mengenali Rasulullah s.a.w. dan turut serta dalam peperangan Siffin bersama-sama tentera Mu’awiyah dalam barisan tentera jalan kaki. Salah satu matanya buta. Dia dilantik oleh Yazid ibn Mu’awiyah r.a. sebagai panglima umum untuk menundukkan penduduk Madinah yang memberontak terhadap Yazid serta penentangnya. Abu ‘Uqbah menyerang Madinah pada tahun 63 H./ 683 M. dan berlaku peperangan antara kedua pihak dalam satu pertempuran hebat yang dikenali dalam sejarah sebagai pertempuran al-Harrah. | UMUM | |
DALANG | DALANG, pemimpin dan tukang cerita dalam wayang kulit. Dalang juga bertindak sebagai pemain segala peranan dalam cerita wayang kulit dengan menggunakan boneka yang diukir daripada kulit lembu, untuk melambangkan pelbagai watak dalam cerita daripada Ramayana, Mahabharata dan cerita panji. Dalang merupakan tokoh pencerita yang beraksi sambil bercerita, serta turut memainkan boneka tersebut. Dalang juga bertindak sebagai pawang sesuatu persembahan dengan melakukan jampi dan doa untuk keselamatan persembahan. | BUDAYA | Konsep |
MERCURY | Mercury ialah utusan tuhan dan dewa perjalanan dalam mitologi Rom. Orang Rom purba turut memuja Mercury sebagai dewa perdagangan, harta, dan kekayaan. Perkataan commerce, merchandise dan merchant berkait rapat dengan namanya.Orang Rom menganggap Mercury agak licik dan mengelirukan, serta seorang penipu atau pencuri. Penjenayah menganggapnya sebagai pelindung mereka. Mercury menyerupai dewa Hermes dalam mitologi Yunani. | UMUM | |
BIOGEOGRAFI | Biogeografi, kajian tentang taburan tumbuhan dan haiwan di dunia. Biogeografi turut menjelaskan faktor berlakunya taburan tersebut serta kesannya terhadap persekitaran dan manusia. | GEOGRAFI DAN GEOLOGI | Konsep |
‘ABDULLAH IBN MAS‘UD | ‘Abdullah ibn Mas’ud (? –32 H./? –653 M.) ialah salah seorang daripada para sahabat besar dan berketurunan Huzaliy yang tinggal di Makkah. Dia termasuk dalam kalangan golongan yang terawal memeluk Islam. ‘Abdullah r.a. pernah berhijrah ke Habsyah sebanyak dua kali. Di samping itu, dia turut berjuang bersama-sama Rasulullah SAW dalam beberapa peperangan dan menjadi orang suruhan nabi yang setia serta sentiasa menemani Baginda sewaktu menyelesaikan sesuatu urusan dan perjalanannya. Dalam Perang Badar, dia berlawan dengan Abu Jahal. | UMUM | |
‘ABDULLAH IBN ‘AMRU | ‘Abdullah ibn ‘Amru(7 S.H.–65 H./616 M.–684 M.), sahabat besar yang berasal dari Makkah dan termasuk golongan Muhajirin. Nama penuhnya ‘Abdullah ibn ‘Amru ibn al-As. Dia telah memeluk Islam sebelum bapanya ‘Amru ibn al-As. Dia sentiasa bersama-sama Rasulullah SAW dan merupakan orang yang paling banyak meriwayatkan hadith. Dia juga berkebolehan dalam menulis dan membaca semenjak kecil lagi dan turut mempelajari bahasa Suryani serta mampu menulis dengan baik dalam bahasa ini. | UMUM | |