Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[Öun.sur]/[un.sur] | عنصور

Definisi : 1. bahagian (yg terkecil) drpd sesuatu benda, bahagian benda yg tidak dapat dibahagi-bahagikan lagi (dgn sebarang proses kimia), bahan (zat) asal: ~ boleh dibahagi kpd dua kumpulan utama, logam dan bukan logam; ~ nadir bumi (Kim) unsur dlm siri lantanid; ~ surih (Kim) unsur dan sebatiannya yg diperlu-kan oleh organisma hidup pd kadar yg sangat kecil; 2. ki bahan, anasir: buku-buku sejarah yg ada masih penuh dgn ~-~ subjektif yg kurang penting; beliau juga membawa ~-~ yg memberi semangat kpd rakyat di samping lagu cinta dan kasih sayang; berunsur mempunyai unsur, bersifat: cerita pendek dan rencana Salim ~ cercaan dan sindiran; berunsurkan mengandungi (mempunyai, berasaskan, dsb) unsur-unsur tertentu: pan-dangan-pandangan mereka yg ~ Barat. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[Öun.sur]/[un.sur] | عنصور

Definisi : 1 bahagian drpd sesuatu benda yg tidak dpt dibahagi-bahagikan lagi dgn sebarang proses kimia; bahagian drpd sesuatu benda; bahan atau zat asal: ~ surih unsur(-unsur) kimia yg amat kecil jumlahnya dlm organisma dll dan penting utk proses biokimia dsb. 2 ki sifat atau keadaan. ~ data ist butiran asas, spt nama, jantina dan umur, bagi data tertentu dlm suatu kumpulan data. berunsur mempunyai unsur; bersifat: Cerita itu ~ agama Hindu. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
unsur (kata nama)
1. Bersinonim dengan bahagian: bahan asal, zat, elemen, komponen,

2. Dalam konteks kiasan
bersinonim dengan anasir, bahana, gejala, tanda-tanda, punca, sebab, penyebab, petanda, ciri,

Kata Terbitan : berunsur,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Terangkan unsur-unsur asing dalam bahasa melayu.Unsur-unsur asing dalam bahasa Melayu, antaranya ialah kata atau istilah bahasa Inggeris atau bahasa lain yang dipinjam terjemah atau dipinjam terus (ditulis dengan huruf condong) misalnya komitmen (pinjam terjemah) atau espirit de corps (pinjam terus).Lain-lain22.08.2006
maksud nilai-nilai murniNilai-nilai murni ialah nilai -nilai yang tidak mengandungi unsur-unsur asing/unsur-unsur yang mencemarkanLain-lain28.01.2007
maksud nilai-nilai murniNilai-nilai murni ialah nilai -nilai yang tidak mengandungi unsur-unsur asing atau unsur-unsur yang mencemarkan sikap seseorang. Sila rujuk bahan ini:   1. Nilai-nilai murni dalam pendidikan: menghadapi perubahan dan cabaran alaf baru oleh Abd. Rahim Abd. Rashid, Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 2001 2. Pembangunan Watak Bangsa terbitan Akademi Kajian Ketamadunan 2005 3. Penyerapan ilmu pengetahuan dan pemupukan nilai murni melaluipendidikan bahasa Melayu oleh Nawi bin Ismail Pelita Bahasa 01/10/1995Makna16.01.2010
Apakah penggunaan tanda koma yang betul untuk memisahkan unsur-unsur yang sama seperti berikut:(Saya, Ali, dan Ah Chong pergi berkelah.) ataupun (Saya, Ali dan Ah Chong pergi berkelah.)?Tanda koma digunakan untuk memisahkan unsur-unsur yang berbeza. Untuk makluman, ayat contoh yang diberikan tidsak memerlukan tanda koma kerana ayat tersebut merupakan ayat setara. Terima kasih.Tatabahasa31.01.2006
apakah yang dimaksudkan dengan lirik?

Lirik pada umumnya merupakan segala bentuk puisi ynag diakui oleh kebanyakan penyair sebagai yang mempunyai unsur-unsur (antara lainya) subjektiviti, imaginasi, melodi dan emosi; dan berdasarkan unsur-unsur tersebut, lirik lebih merupakan suatu gaya penulisan puisi - bukan suatu bentuk puisi.

Dalam perkembangan penulisnya, pelbagai jenis pengucapan yang berunsur lirik telah dapat dikenal. Sebagai contoh: soneta, oda, balada dan  elegi adalah antara beberapa variasi pengucapan lirik yang berlainan dilihat dari sudut bentuk, persoalan dan mood. Kadang-kadang lirik dicipta untuk dinyanyikan, lantaran bentuknya yang penuh berirama, bermelodi dan mengandungi unsur-unsur emosi penyair atau penciptanya.  

Sekian dan salam.    

Lain-lain16.04.2009
En Sulaiman, Saya dari agensi pengiklanan ingin membuat pertanyaan mengenai perkataan yang patut kami letakkan dalam iklan klien kami :- 1) TIADA UNSUR-UNSUR LEMAK BINATANG DALAM PRODUK KAMI atau 2) TIADA UNSUR-UNSUR MINYAK BINATANG DALAM PRODUK KAMI atau 3) TIADA MANA-MANA BAHAGINA BINATANG DALAM PRODUK KAMI Harap kami akan mendapat jawapan dari pihak tuan pada esok hari (Jumaat - 28/12/12). Sekian. Terima kasih. Yang benar, YatiUntuk makluman tuan ketiga-tiga ayat tersebut betul bergantung pada unsur yang hendak diketengahkan sama ada lemaknya atau lemaknya atau mana-mana bahagian yang lain.Tatabahasa27.12.2012
mohon pertanyaan bagi maksud perkataan dan penggunaan ayat yang betul bagi perkataan Perekayasaan.

Rekayasa ialah penerapan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam perancangan, mekanisme kerja sebagai asas melaksanakan sesuatu. Perekayasaan yang bermaksud proses menerapkan unsur-unsur ilmu, budaya dan sebagainya dalam perancangan, mekanisme kerja, sebagai  asas melaksanakan sesuatu, contoh ayat DBP akan mengusahakan kegiatan kebahasaan melalui perekayasaan bahasa ilmiah dan kreatif serta penerbitan.

Istilah25.08.2014
contoh-contoh Kritikan sastera berdasarkan teori-teori kesusasteraan, unsur-unsur intrinsik dalam karya sastera, selain kefahaman, pemahaman serta penghayatan sesuatu teks sastera sekolah menengah.1.      Kehendak soalan ini kurang jelas. Walau bagaimanapun, untuk pengetahuan penanya, sebenarnya kajian yang berupa kritikan terhadap sesebuah karya akan menjadi lebih ilmiah jika ada penerapan sesebuah teori sastera. Contoh-contoh kajian yang menerapkan teori-teori sastera boleh diperoleh dalam prosiding atau kertas kajian hasil daripada Seminar Pemikiran Sasterawan Negara ataupun Program wacana Ilmu (Bicara Karya) yang dianjurkan oleh Bahagian Teori dan Kritikan Sastera, Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebagai contoh, lihat kajian “Ekologi, Etika dan Bahasa dalam Puisi-puisi Usman Awang: Satu Kajian Eko” oleh Sohaimi Abdul Azizi dalam Prosiding Pemikiran SN Usman Awang, DBP, 2006. 

     2.  Intrinsik merupakan kajian yang lebih melihat unsur-unsur dalaman yang membina sesebuah karya iaitu kajian yang berbentuk formalistik yang     membincangkan tentang tema dan persoalan, plot, watak dan perwatakan, latar, sudut pandangan dan gaya bahasa.

Lain-lain15.10.2010
saya memerlukan senarai unsur-unsur bahasa basahan dan kajian yang telah dilakukan. harap pihak dbp dapat memberi cadangan dan membantu masalah saya. terima kasih

Bahasa basahan tergolong ke dalam jenis neka bahasa rendah. Ciri-ciri bahasa rendah tidak mematuhi semua peraturan tatabahasa, sebutan, dan penggunaan kata. Ia menggunakan sistem sapaan dan ganti nama yang menunjukkan kemesraan, pertalian keluarga dan kebiasaan dalam kelompok masyarakat tertentu. Ia banyak menggunakan sebutan tidak baku seperti sebutan dialek dan basahan, kosa kata dialek, kata-kata ringkas dan lambang-lambang tulisan yang tidak ada dalam sistem ejaan rasmi, dll. Lazimnya kebiasaan ini adalah peribadi sifatnya, dan tidak dimengerti oleh semua orang. Ada kalanya, kita tidak dapat memahami maksud yang ada pada penutur atau penulisnya. Neka bahasa rendah ini adalah untuk ahli kelompok masyarakat yang dikenali dengan mesra, rapat dan biasa saja. Neka ini tidak boleh digunakan dalam konteks rasmi.

Saudara digalakkan mengunjungi perpustakaan atau mana-mana pusat sumber untuk mendapatkan  maklumat lebih lanjut. Terima kasih.

Lain-lain05.02.2009
bezakan analisis naratif dengan kritikan sastera

Analisis bermaksud satu proses membezakan dan membuat huraian tentang pengertian unsur-unsur yang terkandung dalam sesebuah karya. Seluruh karya itu dicerakinkan kepada bahagian-bahagian tertentu dengan tujuan untuk menentukan bentuk, mencari keseimbangan penggunaan, hubungan, dan sebagainya. Jelasnya, proses analisis terhadap sesebuah karya itu terletak terutamanya pada pembezaan dan penelitian yang berasingan terhadap beberapa bahagian atau unsur dan hubungan antara bahagian-bahagian/unsur-unsur tersebut. Naratif pula ialah kisah atau cerita, riwayat, hikayat atau apa sahaja yang bersifat cerita sama ada dalam bentuk puisi atau prosa. Oleh yang demikian, analisis naratif ialah penghuraian terhadap sesebuah karya.

Kritikan sastera ialah cabang pengajian yang berhubungan dengan hal-hal mendefinisi, mengkelas, menghurai dan menilai karya kesusasteraan.  

Lain-lain23.04.2010
12345678910...

Kembali ke atas