Maklumat Kata

Kamus Bahasa Melayu


[u.tama] | اوتام

Definisi : 1. penting sekali, terpenting: beliau sering diberi peranan ~ dlm cerita-cerita sandiwara; ~ jiwa sl jiwa, sukma; air ~ jiwa sl air yg boleh menghidupkan orang-orang yg mati; syarat ~ syarat yg terpenting; 2. paling baik, amat baik, terbaik: kebenaran dan kejujuran itulah menjadi hakim ~; mengutamakan 1. menganggap lebih penting drpd yg lain, menganggap utama, mementing-kan: sistem ekonomi telah mula berubah drpd memiliki tanah kpd ~ wang; 2. menganggap penting hanya, menumpukan perhatian dll kpd: seseorang itu mesti ~ diri sendiri dahulu baru orang lain; terutama 1. utama sekali, terpenting: Hamzah menulis karangan-karangannya ~ utk orang yg tidak mengetahui bahasa Arab dan Parsi; 2. pertama sekali, asas (pokok): tujuan kita yg ~ sekali ialah memajukan orang Melayu dlm bidang perniagaan; 3. lebih-lebih lagi, apa lagi, teristimewa pula: mustahaklah kita mengetahui sedikit sebanyak mengenai cabang-cabang sains yg lain ~ kajihayat, kimia, dan fizik; 4. lebih baik... (drpd), biarlah, remak: maka ~ mati dgn nama yg baik drpd hidup dgn nama yg jahat; keutamaan 1. kelebihan drpd yg lain-lain tempat yg utama: masalah menjaga ke-amanan negeri hendaklah diberi ~ dlm per-sidangan itu; 2. perihal utama, keistimewaan, keunggulan: kalau manusia itu tidak mem-punyai fikiran, hilanglah ~nya sbg makhluk yg tinggi; 3. kebaikan budi pekerti; pengutamaan perihal mengutamakan: ~ Bahasa Kebangsaan mestilah diterima oleh segala golongan. (Kamus Dewan Edisi Keempat)

[u.tama] | اوتام

Definisi : 1 (yg) penting sekali; (yg) pertama sekali: Makanan ~ bagi orang-orang Malaysia ialah nasi. 2 paling baik; terbaik. mengutamakan 1 menganggap lebih penting drpd yg lain; mementingkan: Kita hendaklah ~ pelajaran drpd segala-gala yg lain. 2 menumpukan perhatian dll kpd. terutama 1 yg terpenting; yg mustahak sekali. 2 yg pertama sekali. 3 lebih-lebih lagi. keutamaan kelebihan drpd yg lain; keistimewaan; keunggulan. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)
Tesaurus
 
utama (adjektif)
1. Bersinonim dengan penting sekali: terpenting, kanan, mustahak, amat perlu,

2. Bersinonim dengan yang paling baik: amat baik, terbaik,

Kata Terbitan : mengutamakan, terutama, keutamaan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Penggunaan ucaptama , ucap utama atau ucapan utama. Manakah yang betul untuk digunakan?Bagi perkataan ucaptama dan ucap utama kedua-duanya betul kerana ucaptama ialah akronim, iaitu hasil gabungan dua perkataan (ucap tama) dan diujarkan sebagai satu perkataan. Walau bagaimanapun, masyarakat diberi pilihan untuk menggunakan rangkai kata ucap utama dan hendaklah ditulis dua perkataan.Ejaan03.02.2020
dapatkah " agenda utama" dikaitkan dengan industri pelancongan? Contoh: Industri pelancongan menjadi agenda utama kerajaan dalam usaha membangunkan negara. Adakah ayat ini sesuai? Jika tidak, sila beritahu. Sekian.

Agenda utama boleh dan sesuai digunakan dalam konteks yang dikemukakan.

Makna13.09.2011
Bagaimana hendak menulis atau menyebut gelaran seseorang yang bernama Tengku dan mempunyai gelaran Datuk Seri Utama? Contohnya : Yang manakah yang lebih tepat , adakah Tengku Datuk Seri Utama Ali bin Tengku Mat atau Datuk Seri Utama Tengku Ali bin Tengku Mat?Susunan yang betul mengikut protokol ialah: gelaran (yang tertinggi) - jawatan - nama, maka susunan yang betul ialah Datuk Seri Utama Tengku Ali bin Tengku Mat. Walau Bagaimanapun penerima gelaran dibenarkan untuk memilih yang disukainya sama ada mendahulukan gelaran, jawatan atau namanya, begitulah seperti nama "Engku Tan Sri Dato' Seri".Tatabahasa30.05.2021
Terjemahan untuk 'Key Audit Matters' = Hal-hal Audit UtamaPerkataan key audit matters boleh diterjemahkan kepada perkara audit utama atau perkara utama audit, bergantung pada konteks penggunaannya.Lain-lain03.05.2017
Yang mana paling tepat: a) Daripada Abu Said, Nabi Muhammad menjelaskan, "Amal utama di atas bumi ini ada tiga.". b) Daripada Abu Said, Nabi Muhammad menjelaskan, "Amal utama di atas bumi ini ada tiga". c) Daripada Abu Said, Nabi Muhammad menjelaskan, "Amal utama di atas bumi ini ada tiga."Penggunaan tanda baca yang betul ialah Daripada Abu Said, Nabi Muhammad menjelaskan, "Amal utama di atas bumi ini ada tiga."Ejaan15.02.2012
Ayat utama:Virus epidemik yang akan (menjatuhkan)imej negara di mata dunia. Ayat kedua:Virus epidemik yang akan (mengancam) imej negara di mata dunia. Ayat ketiga:Virus epidemik yang akan (memusnahkan) imej negara di mata dunia. Tuan bolehkah saya tahu akan mana satu kata yang betul?Semua contoh ayat yang diberikan mengandungi kesalahan tatabahasa.
Berikut ialah ayat yang betul:

1. Virus epidemik akan menjatuhkan imej negara di mata dunia.

2. Virus epidemik akan mengancam imej negara di mata dunia.

3. Virus epidemik akan memusnahkan imej negara di mata dunia.
Lain-lain05.01.2021
Ayat utama:Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air dan menghalang sinaran matahari ke dasar sungai. Ayat yang kedua:Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung atas permukaan air dan menghalang sinaran matahari dari dasar sungai. Saya nak bertanyakan soalan ni manakah ayat yang betul? Sebenarnya penggunaan kata sendi nama di digunakan Arah,Tempat,dan masa.Saya ada keliru soalan ini.Mohon Tuan/Puan boleh memberi penerangan yang jelas.Sendi nama di digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat yang tetap. Contohnya: Aku berdiri di dalam sungai sambil  mencuci kain di atas sekeping batu leper. 

Ayat yang betul ialah:
Minyak yang jisimnya kurang daripada air akan terapung di permukaan air dan menghalang sinaran matahari ke dasar sungai.
Lain-lain05.01.2021
siapakah pengasas utama dewan bahasa dan pustaka?Penubuhan DBP dicetus melaui Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu III. Tokoh yang mencadangkan penubuhan sebuah badan yang menjaga dan mengembangkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan dan bahasa rasmi negara ialah Zainal Abidin Ahmad (Za'ba). Berdasarkan resolusi kongres tersebut ditubuhkan Balai Pustaka pada 22 Jun 1956 yang kini dikenali sebagai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Untuk mendapatkan ketrangan lanjut sila layari laman rasmi DBP, www.dbp.gov.my.Lain-lain18.10.2010
Yang Mana satu betul:- 1. Lantikan Sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program. atau 2. Lantikkan Sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program. - Mohon beri panduan berkaitan ejaan perkataan "Lantikan' atau "Lantikkan" Terima kasih.

Lantikan bermaksud tindakan melantik, iaitu mengangkat seseorang untuk memegang sesuatu jawatan dan tidak ada kata lantikkan kecuali apabila kita menggunakannya dalam ayat perintah. Satu lagi kata terbitan ialah pelantikan yang merujuk perihal melantik. Oleh itu, penggunaan yang paling tepat ialah "Pelantikan sebagai Jurulatih Utama dan Urus Setia Program".

Tatabahasa17.07.2011
Salam sejahtera, Tuan, Adakah pengunaan kata pemeri "adalah" dalam ayat-ayat berikut benar? i. Cara utama untuk menjaga kesihatan adalah dengan melakukan aktiviti senaman. ii. Matlamat utama unit ini adalah untuk membantu pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan. "dengan" dan "untuk" berfungsi sebagai kata hubung dalam ayat-ayat di atas. Sesuaikah penggunaan kata pemeri "adalah" dalam ayat-ayat itu? Sedangkan kata pemeri "adalah" hanya hadir sebelum frasa adjektif dan frasa sendi nama. Minta penjelasan daripada pihak tuan. Terima kasih.i. Cara utama untuk menjaga kesihatan adalah dengan melakukan aktiviti senaman.
ii. Matlamat utama unit ini adalah untuk membantu pihak pengurusan melaksanakan tanggungjawabnya secara berkesan. Kata pemeri adalah mesti diikuti kata sendi nama. Kedua-dua ayat ini betul.
Tatabahasa28.08.2016
12345678910...

Kembali ke atas