Maklumat Kata

Carian kata tiada di dalam kamus terkini. Sila rujuk capaian Kamus Dalam Talian ini.
Tesaurus
 
watak (kata nama)
1. Bersinonim dengan sifat: perangai, kelakuan, tingkah laku, budi pekerti, moral, akhlak, tabiat, khalikah, pembawaan, tanjak,

2. Bersinonim dengan tokoh: pelaku

Kata Terbitan : perwatakan,


Khidmat Nasihat

SoalanJawapanJenis SoalanTarikh Soalan
Saya sedang membuat terjemahan buku cerita Bahasa Inggeris bertajuk Peter Pan. Watak-watak utama dalam cerita ini bernama Wendy, John dan Michael. Perkataan dalam buku cerita terjemahan ini dibatangkan mengikut suku kata. Soalan saya, bolehkah saya batangkan suku kata bagi nama-nama Inggeris. Misalnya, Wendy menjadi Wen.dy, Michael pula menjadi Mi.chael). Atau saya tidak perlu batangkan suku kata bagi kata nama khas berbahasa Inggeris.Tidak perlu diasingkankan suku kata bagi kata nama khas berbahasa Inggeris.Lain-lain20.12.2018
Hilmi merupakan watak utama dalam novel Konserto Terakhir. Judul novel dalam ayat di atas perlu ditulis dengan pengikat kata atau tulisan dimiringkan?Hilmi merupakan watak utama dalam novel Konserto Terakhir. Tajuk buku ditulis condong.Ejaan13.06.2012
Contoh bagaimana untuk menulis tentang watak protagonis dalam novel Lamunan Puitis?Watak protagonis ialah watak utama dalam sesuatu cerita, drama;  penyokong terkemuka sesuatu perjuangan, pergerakan dan sebagainya. Novel Lamunan Puitis mempunyai trilogi yakni mengandungi tiga novel dalam satu buku.

Kisah pertama bertajuk "Sebuah Mimpi Hari Tua" mengisahkan sebuah keluarga yang teringat akan orang tua di kampung. Mengenang kembali akan sawah yang sudah tidak diusahakan lagi.  Novel kedua bertajuk "Titipan" mengisahkan tentang kenangan watak utama dengan ibunya. Novel yang terakhir bertajuk "Embun". Mengisahkan tentang watak dan sifat embun dan kaitannya dengan sifat hujan. Kisah embun yang mencari jati diri dan cuba memisahkan diri dari 'jemaah hujan'.


Saudara boleh menceritakan watak utama dalam ketiga-tiga novel tersebut berdasarkan perwatakan yang dibawa oleh watak utama.  Watak atau sifat (seseorang) yang zahir dan batin (merangkumi budi pekerti dan tabiatnya, tingkah lakunya, jiwanya, pemikirannya, dsb): yang ditunjukkan oleh watak protagonis.

Saudara juga boleh menghubungi Bahagian Penyelidikan Sastera DBP untuk lebih lanjut melalui e-mel iaitu hanafi@dbp.gov.my  selain membuat rujukan di Pusat Dokumentasi Melayu, buku rujukan dan lain-lain.

Sastera26.02.2013
Salam, bagaimanakah kita membezakan penggunaan "mengatakan" dan "mengatakan bahawa" ? Adakah kedua-dua boleh digunakan, ialah perkataan "bahawa" telah digugurkan? contoh: (ayat bukan bersifat dialog) 1. Bab satu mengatakan bahawa latar belakang watak utama. / Bab satu mengatakan latar belakang watak utama. 2. Selepas mendengar hal ini, saya dapat mengatakan / mengatakan bahawa kamu sudah naik berang. 3. Jika kamu mengatakan / mengatakan bahawa kamu memerlukan keluarga, itu hanya bermaksud kamu ingin sekali untuk berkahwin.Perkataan mengatakan membawa maksud memberitahukan atau menceritakan yang lazimnya digabungkan dengan kata bahawa dalam ayat pancangan komplemen, seperti ayat Dia mengatakan bahawa dia akan berangkat besok. Perkataan mengatakan juga boleh membawa maksud menyifatkan atau memisalkan, seperti dalam ayat Ali mengatakan Ahmad sebagai kambing kerana dia takut mandi. Ayat yang betul: 1. Bab satu mengatakan latar belakang watak utama; Selepas mendengar hal ini, saya dapat  mengatakan bahawa kamu sudah naik berang; dan 3. Jika kamu mengatakan bahawa kamu memerlukan keluarga, itu hanya bermaksud kamu ingin sekali untuk berkahwin.Tatabahasa10.11.2014
Say aagak musykil untuk terjemah "adventure film" dan "swashbuckler film" yang kedua-duanya bermaksud "filem kembara. Tapi jika ikut istilah bahasa Inggeris, swashbuckler adalah subgenre adventure. "Swashbuckler film" bermaksud subgenre genre filem pengembaraan, yang sering dicirikan oleh pertarungan pedang dan watak-watak kepahlawanan, yang dikenali sebagai swashbuckler. Manakala "adventure film" pula unsur plot utama merangkumi pencarian benua yang hilang dan suasana eksotik; perjuangan dan situasi yang menghadapi watak-watak utama, penciptaan kerajaan, watak-watak yang memulakan pencarian harta karun dan kepahlawanan, pencarian (quest), penerokaan, pencarian dan pencarian yang tidak diketahui biasanya juga harus mengatasi musuh. Jadi bagai mana terjemahan yang sesuai untuk membezakan kedua-dua itilah yang hampir sama ini? Adakah kekalkan "swashbuckler film" sebagai "filem swashbuckler"?Padanan bahasa Melayu untuk "adventure film" ialah filem kembara manakala "swashbuckler film" ialah filem kepahlawanan.  Walau bagaimanapun, padanan perkataan bergantung kepada konteks penggunaan ayat.Makna02.09.2020
Selamat petang. Mohon pencerahan tentang watak utama novel komsas tingkatan 2. Bertajuk Darah Titik Di Semantan hasil karya Arman Sani. Terima kasih.Untuk makluman, DBP hanya menyediakan bahan bacaan. Sehubungan dengan itu, mohon rujuk kepada guru atau panitia di sekolah yang terlibat.Karya01.02.2017
Salam hormat, Bolehkah saya tahu tentang peranan Si Kembang Cina dan Bujang Selamat dalam teks klasik? Terima kasih.

 

Saudara,

Watak Si Kembang Cina dan Bujang Selamat dalam teks klasik adalah watak pembantu yang taat setia kepada wira dan wirawati. Biasanya watak-watak ini terdiri dari kalangan rakyat biasa yang menjadi pembantu, pengasuh atau pengiring kepada watak utama sama ada pada watak wira atau watak wirawati yang menjadi pembantu dalam tindak-takduk watak utama.

watak-watak ini boleh ditemukan dalam cerita-cerita hikayat, contohnya Hikayat Awang Sulung Merah Muda dan Hikayat  Malim Deman. Dalam Hikayat Malim Deman  Bujang Selamat  adalah pembantu kepada wira iaitu Malim Deman.  Peranan Bujang Selamat sebagai pengasuh, pengiring Malim Deman ke mana saja Malim Deman pergi, serta menumpukan taat setia kepada tuannya. Manakala Si kembang Cina pula merupakan pengasuh perempuan kepada Malim Deman dan orang suruhan yang biasanya memiliki rupa paras yang memikat, pandai memujuk dan taat kepada tuannya.  

Sekian, terima kasih.

Sastera15.09.2011
salam..saya pelajar dari Kolej Mara Banting..saya perlu menyiapkan tugasan World Literature..saya telah memilih novel Lagak Wasangka dan Okonkwo bagi tugasan tersebut..tajuk yang saya ketengahkan ialah tindakan watak utama lelaki dalam menimbulkan unsur dramatik terhadap pembaca..sebagai pendahuluan..saya memerlukan definisi unsur dramatik yang digunakan dalam novel dan juga definisi tindakan berdasarkan pandangan para sarjana..saya harap pihak tuan dapat memberi bantuan kepada saya..sekian terima kasih..

Dramatik adalah suatu unsur dalam PLOT. Dalam Kamus Dewan edisi ke-4, dramatik bermaksud 1. mempunyai lagak (gaya dsb) yg sesuai utk drama (bkn percakapan dsb): percakapannya penuh ~; 2. boleh menim­bulkan kesan pd jiwa (sama ada suka, sedih, marah dsb). Berdasarkan definisi tersebut, maksud kedua adalah berkaitan untuk menghuraikan tentang unsur dramtik yang terdapat dalam dua buah novel yang ingin saudari kaji. Saudari bolehlah melihat perkara-kara yang mengugah jiwa atau dengan kata lain tindakan-tindakan watak utama sama ada dalam dialognya atau pun tindakannya kepada watak lain.

Berkaitan dengan definisi tindakan watak oleh para sarjana sastera pula, tidak terdapat suatu pun pandangan konkrit tentang tindakan watak dalam sesebuah karya. Jika ada pun pandangan para sarjana adalah apabila mereka menyentuh sesebuah karya berdasarkan pendekatan Psikoanalisis. Dalam pendekatan tersebut, Sigmund Freud telah menghuraikan tingkah laku manusia (tindakan) berdasarkan id, ego dan superego. Berkaitan dengan pendekatan Psikoanalisi ini mungkin saudari boleh merujuk maklumat-maklumat yang terdapat di laman internet di bawah entri Sigmund Freud.

Lain-lain14.06.2010
Salam..boleh tahu istilah bagi watak hantu (pontianak, zombi). adakah disebut sebagai watak seram?

Watak ialah tokoh atau pelaku dalam karya sastera atau seni seperti novel, cerpen, drama dan sebagainya.  Terdapat beberapa jenis watak, antaranya:

1. Protagonis, iaitu watak utama yang menonjolkan sifat-sifat baik.
2. Antagonis, iaitu watak utama yang sering menimbulkan konflik dan menentang watak protagonis.
3. Watak bulat atau bundar ialah watak yang dibangunkan secara keseluruhannya. Dia digambarkan memiliki sifat manusia biasa dalam kehidupan harian, iaitu tidak sepenuhnya jahat dan tidak pula sepenuhnya baik.
4. Watak dinamik ialah watak yang sinonim dengan watak bulat atau bundar. Watak ini digambarkan penuh bertenaga dan biasanya mengalami perubahan mengikut perkembangan cerita.
5. Watak pipih ialah watak yang tidak dibangunkan secara keseluruhannya. Watak ini diperkenalkan oleh pengarang melalui sesuatu aspek peribadinya sahaja.

Berdasarkan jenis-jenis watak tersebut, tidak ada istilah watak seram. Sebaliknya, jenis watak bergantung kepada jalan cerita, iaitu bagaimana sesuatu watak itu fungsi untuk mendukung idea pokok, mengembangkan idea berkenaan sehingga berjaya mencapat matlamat.

Makna15.08.2021
Adzlina Ibrahim Oct 9th, 11:06am Selamat Pagi, Saya Adzlina Ibrahim Penerbit Rancangan "DI MANASILAPNYA" terbitan NASIONALfm (salah satu station radio RTM). Dengan hormatnya memaklumkan pihak tuan berkaitan penerbitan rancangan Sketsa bahasa. Rancangan tersebut memberi fokus kepada pembetulan kesalahan dalam penggunaan perkataan. Program ini melibatkan hanya melibatkan 2 watak utama. Masa dan tarikh siaran adalah dari hari isnin hingga jumaat pukul 10.30pagi dan ulangan 2.30petang. untuk melaksanakan hasrat ini, saya memerlukan pakar bahasa bagi menghasilkan skrip rancangan ini. Untuk makluman pihak tuan juga, pada waktu ini saya menggunakan hikmat Proff. Teong Kok Seong dan Datuk Rahman Shaari. Dalam usaha untuk mendapatkan kelainan hasil karya, kami berbesar hati mengundang penulis lain dari Dewan Dahasa dan Pustaka untuk menghasilkan karya skrip bagi Sketsa Bahasa "DI MANA SILAPNYA". Kerjasama pihak tuan dalam merialisasikan Penerbitan Program ini amat saya hargai dan sanjung tinggi.Terima kasih atas pelawaan yang diberikan dan kami amat mengalu-alukannya. Bagi mendapatkan maklumat lanjut, tuan bolehlah menghubungi saya melalui e-mel ghanig@dbp.gov.my atau talian telefon 03-21479109. Terima kasih.Lain-lain09.10.2014
12

Kembali ke atas