| Soalan |
Jawapan |
Jenis Soalan |
Tarikh Soalan |
| Tajuk: "Salinan Kepada" dalam Surat Rasmi Soalan saya: agensi yang menerima surat melalui "salinan kepada", adakah agensi tersebut boleh mengambil tindakan untuk menjawab surat tersebut? | Penerima surat yang sebenarnya perlu menjawab surat yang diterima, manakala penerima salinan kepada hanya perlu maklum sahaja tanpa mengambil tindakan untuk menjawab surat tersebut. | Tatabahasa | 22.08.2011 |
| Assalamualaikum... Jika kita hendak menghantar surat kepada lain-lain jabatan dan dalaman..adakah utk dalaman tu kita kena tulis salinan kepada atau edaran dalam. sekian, terima kasih | Kedua-duanya boleh digunakan, 'salinan kepada' lazimnya digunakan untuk perkara surat khusus dan diberi salinan kepada individu tertentu, manakala edaran dalaman digunakan dalam surat/memo umum dan diedarkan untuk makluman pegawai lain. | Tatabahasa | 22.12.2010 |
| SALAM, SAYA INGIN MENDAPAT KHIDMAT NASIHAT BERKAITAN DENGAN SUSUN ATUR SENARAI S.K. (SALINAN KEPADA)..SIAPAKAH YANG PERLU DIDAHULUKAN? ADAKAH PERLU MENGIKUT SENIORITY ATAUPUN PERLU MENDAHULUKAN SENARAI DALAMAN DAHULU? TERIMA KASIH | Saudara, Dalam menulis salinan kepada, penerima disusun mengikut kekananan dan diikuti dengan nama penerima dalaman juga disenaraikan mengikut kekananan. | Lain-lain | 14.06.2010 |
| Assalamualaikum/Salam sejahtera, 1. Boleh atau tidak perkataan TEMBUSAN digunakan sebagai ganti kata SALINAN KEPADA atau carbon copy(c.c) kerana ada negara jiran yang menggunakannya. 2. Ada jabatan pelajaran mahupun kementerian menggunakan kata GALUS untuk pelajar yang kelompok gagal dan lulus.Dalam kamus dewan saya cari tapi tidak jumpa.Oleh itu akronim tersebut diterima pakai atau tidak oleh DBP.Jika tak sesuai apa perkataan yang sesuai untuk kumpulan pelajar tersebut. 3. Di tempat kerja saya ada blok bangunan baru 3 tingkat. Paras bawah sekali dikosongkan dan disediakan sebuah pentas untuk acara-acara tertentu.Buat sementara waktu ruang tersebut diberi nama DEWAN TERBUKA. Ada cadangan untuk memberi nama baru yang lebih kreatif.Soalannya saya sesuaikah diberi nama DEWAN... atau DATARAN...atau PENTAS... atau BALAI...atau perkatan lain yang sesuai dengan fizikal tempat tersebut. | 1. Berdasarkan Kamus Dewan Edisi Keempat, entri tembusan mempunyai 4 takrifan, iaitu 1. sesuatu (jalan, sungai, dll) yg tembus ke; 2. sungai buatan (utk dilalui kapal dll), terusan 3. jalan yg menembusi bukit dll, terowong; 4. = ~ surat salinan surat asal. Oleh itu, entri tembusan merujuk makna ke-4 yang bermaksud salinan surat asal. Walau bagaimanapun, saudara digalakkan menggunakan frasa salinan kepada (s.k) yang digunakan dalam konteks surat rasmi di negara kita. 2. Tidak terdapat perkataan galus sebagai akronim gagal dan lulus untuk pelajar sekolah yang terakam dalam mana-mana kamus atau buku terbitan DBP. Pihak kami mencadangkan digunakan istilah lulus bagi pelajar yang lulus dan gagal bagi pelajar yang gagal. 3. Sesuai digunakan perkataan dewan kerana dewan bermaksud balai (ruang) tempat diadakan sesuatu (spt persidangan, perjumpaan, forum, ceramah, dll). Sila rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk mengetahui takrifan entri dewan, balai, pentas, dataran. Saudara juga boleh melayari laman Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) http://prpm.dbp.gov.my untuk mencari maklumat yang diperlukan. PRPM merupakan satu cara lain untuk membuat rujukan atau mendapatkan makna kata, istilah, peribahasa dan sebagainya. Sdr. hendaklah memasukkan perkataan tersebut dalam ruang yang disediakan dan klik "cari". Selamat mencuba. | Istilah | 23.07.2009 |
| Adakah penulisan bagi perkataan singkatan tidak lagi perlu dipisahkan dengan tanda noktah. Contohnya Y. Bhg. ditulis YBhg. Bagaimana pula dengan singkatan perkataan yang lainnya, seperti salinan kepada ditulis s.k. atau sk? Soalan 2: Bolehkah tuan senaraikan 15 perkataan kata majmuk yang telah mantap maksudnya dan dieja satu perkataan. terima kasih. | Puan Nik, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Sehingga ke hari ini penggunaan noktah masih digunakan bagi pengejaan kata singkatan, sehinggalah ada kata putus atau arahan baharu daripada JKTBM - jawatankuasa Tetap bahasa Melayu. Perkataan yang secara mantap dieja sebagai satu perkataan adalah seperti yang berikut antarabangsa, jawatankuasa, kerjasama, kakitangan, suruhanjaya, olahraga, pesuruhjaya, warganegara, tandatangan, cenderamata, matahari, bumiputera, tanggungjawab, setiausaha | Ejaan | 28.02.2009 |
| 1. Mohon penjelasan tentang perbezaan penggunaan 'ke' dan 'kepada'. 2. Juga tentang perbezaan penggunaan 'dari' dan 'daripada'. 3. Betulkan penggunaan perkataan 'mengenai' hanya boleh digunakan untuk ayat yang membawa maksud kena dan tidak lagi boleh digunakan untuk membawa maksud tentang? Contoh: Tembakan penjenayah itu mengenai dada pengawal keselamatan. 4. Singkatan perkataan selalunya ditulis dengan titik, contoh salinan kepada ditulis s.k. Mengapakah perkataan yang berbahagia dato di tulis YBhg Dato' (tanpa titik)? | 1. Kata sendi nama "ke" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menunjukkan tempat atau arah yang dituju dan digunakan juga di hadapan kata nama yang menunjukkan waktu atau masa. Contoh: i. Mereka akan ke Kuantan esok ii. Mereka mengadakan pemeriksaan dari semasa ke semasa. Kata sendi nama "kepada" terletak di hadapan kata nama atau frasa nama untuk menyatakan sasaran yang merujuk manusia, haiwan, unsur mujarad, menyatakan pecahan dan menyatakan perubahan keadaan. Contoh: i. Sila kembalikan borang ini kepada kerani pejabat itu ii. Peserta bengkel dibahagikan kepada dua kumpulan iii. Keadaan ekonomi berubah kepada tahap yang lebih baik. 2. Kata sendi nama "dari" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan arah, tempat, atau waktu. Contoh: i. Angin bertiup kencang dari arah selatan ii. Kajian itu dibuat dari sudut ekonomi iii.Kerajaan itu terkenal dari kurun ke-18 lagi. Kata sendi nama "daripada" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama yang menyatakan punca bagi manusia, haiwan, benda, dan unsur mujarad, sumber atau asal kejadian sesuatu benda dan unsur perbezaan atau perbandingan. Contoh: i. Pemain sarkas itu menerima bola daripada beruangnya ii. Ukiran itu diperbuat daripada kayu iii. Edisi kedua buku itu lebih lengkap daripada edisi pertama. 3. Perkataan "mengenai" boleh bersilih ganti penggunaannya dengan kata sendi nama "tentang" walaupun sebenarnya perkataan "mengenai" tergolong sebagai kata kerja yang membawa maksud kena pada. Walau bagaimanapun, penggunaannya perlu melihat konteks ayat. Contoh ayat yang saudara kemukakan itu, perkataan yang betul dan tepat ialah mengenai, bukan kata sendi nama tentang kerana jika ditukar perkataan mengenai kepada tentang, ayat itu tidak mempunyai makna. Untuk keterangan lanjut tentang kata sendi nama ke, kepada, dari, daripada, dan tentang, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, halaman 265. 4. Ejaan yang betul untuk kependekan Yang Berbahagia ditulis sebagai YBhg. (ada tanda titik) bukan YBhg | Tatabahasa | 18.02.2010 |
| Minta tolong diberikan maklumat terbaru tatacara menulis surat resmi | Penulisan surat rasmi tidak ada tatacara baharu. Formatnya bergantung pada gaya sesebuah institusi. Namun, item yang perlu ada ialah logo dan alamat lengkap institusi, alamat penerima, no rujukan fail (pengirim atau penerima/balasan), tarikh, kemudian sapaan, perkara, isi utama, isi sokongan, penutup/harapan, slogan, perakuan, tandatangan pengirim beserta nama jawatannya atau 'bagi pihak' (b.p.), salinan kepada (s.k.) jika perlu, dan parap (pendraf surat, penaip, folder). Rupa taip biasanya arial, saiz 12, langkau dua baris, dan satu halaman A4 (jika boleh). | Makna | 21.09.2006 |
| SAYA INGIN BERTANYA MENGENAI FORMAT SURAT RASMI MENGIKUT PROTOKOL YANG BETUL UNTUK PELBAGAI KEGUNAAN | Puan Ayu, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Sdr. Ayu, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Untuk menghuraikan perkara mengenai protokol ia memerlukan masa yang lama. Jadi saya suka mencadangkan puan merujuk buku yang ditulis oleh Encik Moktar Mohd. Tohar untuk mendapatkan maklumat selengkapnya. Manakala bagi format surat rasmi- kertas yang digunakan untuk menulis surat rasmi mestilah menggunakan kepala surat, dengan alamat, logo korporat, alamat pos, nombor telefon dan faks. Seterusnya mesti ada nama pengirim dan penerima serta gelarannya. kata sapaan yang betul bagi penerima perkara atau tajuk surat berkenaan isi - bergantung berapa banyak isi yang ingin ditulis kesimpulan surat yang ditulis frasa penutup dan slogan yang terkini Tandatangan pengirim / nama dan gelaran pengirim / singkatan b.p. (bagi pihak) – jika berkenaan. - Dokumen disertakan / salinan kepada.
. | Lain-lain | 02.03.2009 |
|
| Tesaurus |
|---|
| | | salin (kata kerja) | 1. Dalam konteks pakaian bersinonim dengan tukar, ganti, silih, ubah,
2. Bersinonim dengan tulis: tiru, ikut, surih, tekap, fotokopi, mendua,
| | Kata Terbitan : bersalin, menyalin, menyalinkan, mempersalinkan, salinan, persalinan, penyalinan, penyalin, |
|
|