[da.ri.pa.da] | درڤد
Definisi : 1. sendi kata yg menyatakan atau menunjukkan orang yg memberi (mengirim dsb): dia menerima sepucuk surat ~ ayahnya; hadiah ~ seorang sahabat yg karib; 2. sendi kata yg menyatakan (menunjukkan) sumber atau punca sesuatu itu diperoleh dsb: petikan ~ karya Usman Awang; air ~ telaga itu berkuman; diterjemahkan ~ bahasa Arab; 3. sendi nama yg menyatakan (menunjukkan) bahan dsb yg digunakan utk menghasilkan sesuatu: jambangan bunga itu diperbuat ~ tembikar; barang-barang ~ getah; 4. sendi kata yg menyatakan atau menunjukkan orang (negara, unsur, barang, dll) yg terlibat dlm sesuatu pengasingan (pemisahan, perbezaan, perbandingan, dll): Selat Melaka memisahkan Semenanjung Malaysia ~ Sumatera; reka bentuk yg dikemukakan terkemudian ini lebih menarik ~ yg disediakan dahulu; 5. sendi kata yg digunakan sewaktu menyatakan sesuatu perubahan (perkembangan dsb): harga daging telah naik ~ RM8.00 sekilo menjadi RM9.50 sekilo; bilangan pelajar yg lulus merosot ~ 68% tahun lalu menjadi 66% tahun ini; 6. sendi kata yg digunakan sebelum menyatakan atau menyebutkan unsur (akibat dll) yg hendak dielakkan (dicegah, dihindar, dsb): mempertahankan diri ~ serangan musuh; menjauhkan diri ~ bahaya; langkah-langkah utk mengelakkan hal-hal demikian ~ berlaku lagi; 7. sendi kata yg menyatakan (menunjukkan) punca atau asas dsb sesuatu tindakan (kesimpulan dll): ~ apa yg saya dengar, pemandu lori itu yg patut dipersalahkan; masjid itu dibina ~ desakan penduduk di kawasan itu; 8. sendi kata yg memperkaitkan atau memperhubungkan sesuatu atau sesuatu bahagian dgn sesuatu keseluruhan atau jumlah dsb: satu ~ sebab-sebab; hanya tiga orang ~ sejumlah 40 orang pelajar telah gagal dlm peperiksaan itu; sepertiga ~ keuntungan yg diperoleh dijadikan modal. (Kamus Dewan Edisi Keempat)
[da.ri.pa.da] | درڤد
Definisi : 1 kata sendi nama utk menerangkan asal (sumber, bahan dll) sesuatu benda: Kain ini dibuat ~ benang sutera. 2 kata sendi nama utk menyatakan perbandingan (perbezaan) antara dua benda atau lebih: Bunga ini lebih wangi ~ bunga itu. Bezakan haiwan jenis mamalia ~ haiwan jenis reptilia. 3 kata sendi nama yg menyatakan maksud mencegah (melindungi, memisahkan dll): Dia menjauhkan diri ~ bahaya. Dia mencuba melarikan diri ~ rusuhan itu. 4 kata sendi nama yg menunjukkan orang yg memberi (mengirim): Yati menerima sepucuk surat ~ ayahnya. 5 kata sendi nama yg menunjukkan perubahan: Peratus kelulusan meningkat ~ 70% menjadi 85%. 6 kata sendi nama yg menghubungkan sebahagian dgn keseluruhan: Dua orang ~ anaknya belajar di luar negeri. Faedahnya ialah separuh ~ keuntungan yg diperoleh. (Kamus Pelajar Edisi Kedua)