| Selamat sejahtera, 3 ayat ini betul atau salah? 1. Apabila ibu bapa memberikan tugasan, janganlah kita berat tulang untuk menyiapkan tugasan mereka. 2. Semasa ibu bapa mendidik kita, dengarlah didikan mereka dengan teliti. 3. Ketika ibu bapa menegur kita, terimalah teguran dan nasihat mereka dengan hati yang reda. 3 ayat tersebut ialah ayat perintah atau ayat majmuk? terima kasih. | Ayat tersebut diberikan penambahbaikan, seperti yang berikut: 1. Apabila ibu bapa meminta kita untuk berbuat sesuatu, janganlah kita berat tulang untuk menyiapkan tugas yang diberikan. (ayat perintah: larangan) 2. Kita hendaklah mendengar nasihat ibu bapa yang bertujuan untuk mendidik kita. (ayat perintah - permintaan) 3. Ketika ibu bapa menegur kita, terimalah teguran dan nasihat mereka dengan hati yang terbuka. (ayat perintah - permintaan) Untuk maklumat lanjut yang berkaitan dengan ayat, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2015), halaman 432 - 575. | Tatabahasa | 21.03.2025 |
| Untuk menulis nombor dalam ayat jawi, contohnya alamat, bagaimanakah susunan sepatutnya, kanan ke kiri atau kiri ke kanan. Contoh: Simpang 16-98 seperti dalam lampiran. Mohon bantuan DBP juga untuk semakan teks jawi seperti dalam lampiran. | Untuk makluman, pihak DBP tidak membuat semakan dokumen dalam tulisan Jawi. Walau bagaimanapun, untuk penulisan nombor dalam Jawi, sama seperti penulisan nombor Rumi, iaitu 1, 2, 3, 4, 5, 6, 7, 8, 9. Manakala, nombor ١, ٢, ٣, ٤, ٥, ٦, ٧, ٨, ٩ merupakan nombor Arab asli. Oleh itu, penulisan nombor Jawi yang betul ialah 16 – 98 bukan ٩٨ – ١٦. Sila rujuk Gaya Dewan Edisi Ketiga (DBP, 2005), halaman 90. | Lain-lain | 04.07.2025 |
| Apakah terjemahan "shock and awe" ? | Untuk makluman puan, pihak DBP tidak melaksanakan kerja penterjemahan, sama ada daripada bahasa Melayu kepada bahasa asing atau sebaliknya. Sila hubungi Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM), melalui talian 03-9226 2506 atau e-mel terjemah1@gmail.com. | Penyemakan dan penterjemahan | 27.01.2025 |
| Adakah terjemahan istilah/formula kimia ini betul? 1. phosphatidylinositol-4,5-bisphosphate 3-kinase catalytic subunit delta = delta subunit katalitik fosfatidilinositol-4,5-bifosfat 3-kinase 2. transforming growth factor beta receptor 1 = faktor pertumbuhan transformasi reseptor beta 1 3. transforming growth factor beta receptor 1 = faktor pertumbuhan transformasi reseptor beta 1 4. interleukin-2- inducible T-cell kinase deficiency = kekurangan kinase sel T teraruh interleukin 2 5. baculoviral inhibitor of apoptosis repeat containing protein 4 = protein 4 mengandungi ulangan perencat apoptosis bakulovirus | Untuk makluman tuan/puan, DBP tidak menyediakan khidmat penterjemahan. Bagi mendapatkan khidmat penterjemahan, tuan/puan boleh menghubungi Persatuan Penterjemah Malaysia melalui talian 03-92262506 atau e-mel: terjemah1@gmail.com dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia melalui talian 03-41451942 atau e-mel: info@itbm.com.my. | Penyemakan dan penterjemahan | 01.10.2024 |
| Maaf bertamya. Masih adakah pertandingan majalah sekolah | Salam puan yang budiman, Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Sarawak masih lagi dilaksanakan pada setiap tahun. Walau bagaimanapun, pada tahun 2025, pertandingan ini hanya terbuka untuk sekolah menengah di Sarawak dan penyertaan telah ditutup pada 30 April 2025. Sekian, terima kasih. | Pengembangan | 14.08.2025 |
| 1. Adakah terdapat perbezaan penggunaan "dijumpai" dan "ditemui"? Misalnya, untuk teknologi maklumat, terjemahan tepat untuk "the search string is not found" adalah "istilah carian tidak ditemui" atau "istilah carian tidak dijumpai"? 2. Tolong jelaskan penggunaan "boleh" dan "dapat" secara terperinci. Misalnya, dalam ayat: "Templat dokumen anda tidak dapat dimuat naik kerana terdapat ralat." Adakah "dapat" digunakan dengan betul atau patutkah "boleh" digunakan dalam ayat tersebut, dan kenapa? 3. Tolong jelaskan penggunaan "dari" dan "daripada" secara terperinci. Misalnya, (a) "Pilih jenis medan yang sesuai dari senarai juntai bawah" - adakah dari atau daripada yang tepat, dan kenapa? (b) Untuk mengemas kini tarikh akhir tandatangan, anda mesti masukkan tarikh yang lebih lewat daripada hari ini. 4. Tolong bezakan bila "hingga" dan "sehingga" patut digunakan? Terima kasih. | - Perkataan “ditemui” lazimnya merujuk sesuatu yang ditemukan melalui usaha, kajian, atau penyiasatan. Perkataan “dijumpai” pula merujuk kepada sesuatu yang terjumpa atau didapati, kadang-kadang secara kebetulan. Dalam ayat contoh yang diberikan, ayat yang gramatis ialah "istilah carian tidak ditemui". Huraian lanjut berkaitan dengan maksud dan contoh penggunaan perkataan “ditemui” dan “dijumpai” boleh dirujuk melalui Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 919 dan 2314.
- Perkataan “boleh” dan “dapat” membawa makna yang sama, iaitu mampu (berkeupayaan), tidak disekat atau dilarang (daripada berbuat atau melakukan sesuatu), dibenarkan atau diizinkan. Contoh pemilihan kata dalam ayat yang diberikan adalah betul. "Templat dokumen anda tidak dapat dimuat naik kerana terdapat ralat." Untuk maklumat lanjut berkaitan dengan perkataan “boleh” dan “dapat”, sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2021), halaman 311 dan 477.
- Jawapan bagi pertanyaan yang lain adalah seperti yang dilampirkan.
| Tatabahasa | 23.12.2025 |
| Sukan Tahunan Kali Ke-1 . Ayat ini betul atau salah . Ke -1 boleh guna atau tidak untuk ayat ini ? | Bentuk penulisan yang betul ialah “Sukan Tahunan”. Lazimnya, program atau aktiviti yang julung-julung kalinya diadakan tidak diberikan nombor, melainkan program yang berikutnya, seperti "Sukan Tahunan Kali Ke-2”, "Sukan Tahunan Kali Kedua” dan sebagainya. Cara menulis boleh menggunakan dua kaedah, sama ada menggunakan nombor atau dieja. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk pangkalan data prpm.dbp.gov.my melalui pilihan Khidmat Nasihat Bahasa. | Tatabahasa | 07.05.2025 |
| "Mesyuarat agung hendaklah diadakan sekali dalam setiap tahun dengan syarat bahawa ianya tidak melebihi 15 bulan boleh terlupus antara tarikh satu mesyuarat agung tahunan dengan mesyuarat agung tahunan yang berikutnya. " Apakah maksud ayat di atas ? Adakah ianya membawa maksud : 1) BOLEH terlupus antara tarikh satu mesyuarat agung tahunan dengan mesyuarat agung tahunan yang berikutnya. 2) TIDAK BOLEH terlupus antara tarikh satu mesyuarat agung tahunan dengan mesyuarat agung tahunan yang berikutnya. JAWAPAN : | Maksud ayat tersebut ialah mesyuarat agung tahunan hendaklah diadakan setiap tahun dengan tidak melebihi 15 bulan daripada tarikh mesyuarat terakhir diadakan. Oleh yang demikian, ayat “Boleh terlupus antara tarikh satu mesyuarat agung tahunan dengan mesyuarat agung tahunan yang berikutnya, selagi mesyuarat agung tersebut tidak melebihi 15 bulan.” mencapai makna, seperti yang dinyatakan di atas. Penerangan ini berdasarkan takrifan dan pemahaman umum dan tiada kaitan dengan mana-mana bidang ilmu. | Tatabahasa | 28.05.2025 |
| Dalam penomboran, bagi nombor tunggal seperti 1,2,3.....perlu atau tidak untuk meletakkan nombor 0 di hadapannya. Contoh 01 Ogos 2023 atau 1 Ogos 2023? | Nombor kosong (0) tidak perlu diletakkan di hadapan nombor satu digit atau nombor berikutnya. | Tatabahasa | 20.08.2023 |
| Assalamualaikum, saya ingin memohon pencerahan untuk penggunaan nombor dalam penulisan. Apakah nombor yang perlu ditulis atau dieja dalam perkataan dalam penulisan bahasa Melayu? Adakah kaedah/hukum yang digunakan dalam bahasa Melayu juga sama untuk penulisan Jawi? Contoh ayat 1: Ayah membeli sebelas bungkus nasi lemak. Contoh ayat 2: Murid-murid perlu menulis 10 patah perkataan. Contoh ayat 3: Beliau meninggal 10 tahun kemudian. Contoh ayat 4: Jarak rumah saya dari kampus kediaman ialah 11 km. Akhir sekali, saya ingin mendapatkan rujukan terbaru untuk penulisan nombor yang digunakan oleh DBP. Saya telah merujuk Tatabahasa Dewan terkini dan tidak menemukan kaedah tersebut. | Berdasarkan Gaya Dewan Edisi Ketiga, pernomboran ialah cara menanda senarai dan menyatakan jumlah sesuatu. Nombor yang digunakan ialah nombor roman dan nombor arab. Nombor roman kecil: i, ii, iii Nombor roman besar: I, II, III Nombor arab: 0, 1, 2, 3, ..., 9 dan seterusnya. Nombor arab asli: ١, ٢, ٣, ٤, ٥, ٦, ٧, ٨, ٩ Nombor yang kurang daripada 10 hendaklah dieja sepenuhnya. Bagi penulisan keluasan, kelajuan dan dimensi, gunakan angka dan unit yang sesuai untuk menunjukkan kelajuan, keluasan dan dimensi, contohnya 7 km. Sila rujuk Gaya Dewan Edisi Ketiga halaman 87 - 94. | Tatabahasa | 26.06.2023 |