Nocturnal Animals dalam bahasa Inggeris bermaksud 'haiwan-haiwan yang aktif pada waktu malam'. 1. Apakah perkataan yang sesuai untuk menggambarkan 'nocturnal animals'? Adakah wujud istilah ini dimelayukan; 'nocturnal' menjadi 'nokturnal'? (haiwan nokturnal) atau (haiwan-haiwan nokturnal) 2. Atau hanya diterjemahkan kepada 'HAIWAN MALAM' sahaja?? Terima kasih | Padanan bahasa Melayu bagi istilah tersebut ialah haiwan nokturnal. | Istilah | 22.01.2008 |
Bagaimanakah penggunaan tanda sempang (-) di dalam perkataan berganda apabila menulis? Adakah perlu dijarakkan antara perkataan dan tanda sempang. Contoh : haiwan - haiwan atau haiwan-haiwan terima kasih. | Tanda sempang (-) yang digunakan dalam kata ganda tidak perlu dijarakkan. Ejaan yang dijarakkan ialah tanda pisah ( - ) seperti yang digunakan dalam ayat bagi memisahkan keterangan idea atau mengganti perkataan hingga seperti Jun - September. | Tatabahasa | 19.07.2012 |
Salam, Saya ingin tenya tentang nama golongan haiwan. Adakah "ternakan darat" termasuk ayam dan itik? Adakah "haiwan peliharaan" termasuk haiwan untuk kegemaran dan juga ternakan di ladang sekali? Adakah "binatang jinakan" merangkumi haiwan untuk kegemaran dan haiwan untuk ekonomi sekali? Terima kasih | Dalam Kamus Dewan ternakan sama maksudnya dengan binatang ternakan seperti kuda, lembu, kerbau, kambing dan lain-lain. Walau bagaimanapun tidak ada pengelompokan haiwan tersebut sama ada untuk peliharaan di rumah, ladang dan sebagainya. Tambahan maklumat dalam pengiklanan, lazimnya dalam keterangan aktiviti syarikat/kedai haiwan peliharaan di rumah ditulis sebagai "Kedai Haiwan Kesayangan". | Makna | 03.05.2012 |
1) Apakah kesalahan yang terdapat dalam ayat di bawah?Mohon pihak tuan jelaskan dengan lebih lanjut kesalahan(jika ada) dalam ayat di bawah. - Sampah-sarap berserakan di tepi bangunan itu. - Kebanyakan haiwan-haiwan di zoo itu jinak-jinak. | Ayat pertama betul. Penanda jamak boleh hadir sekali sahaja dalam satu ayat. Ayat yang gramatis ialah "kebanyakan haiwan di zoo itu jinak-jinak". | Tatabahasa | 30.07.2013 |
Salam...terdapat sesetengah peniaga ingin membuka kedai haiwan kesayangan. Tetapi inginkan papan iklan dengan nama "KEDAI MAKANAN HAIWAN KESAYANGAN". Mohon pandangan tuan adakah ayat ini sesuai digunakan. | Keterangan aktiviti yang sesuai ialah "Kedai Haiwan Peliharaan/Kesayangan", manakala "Kedai Makanan Haiwan Kesayangan" juga betul bagi menerangkan aktiviti kedai yang menjual makanan haiwan tersebut. | Tatabahasa | 17.10.2011 |
1. Hutan ialah tempat haiwan tinggal. 2. Hutan ialah tempat tinggal haiwan. Pls kindly help to adv which is the correct. Thank you | Ayat yang betul ialah "Hutan ialah tempat tinggal haiwan." | Tatabahasa | 02.10.2013 |
Puffin - Sejenis haiwan | Terjemahan puffin dalam bahasa Melayu ialah pufin. | Istilah | 10.04.2012 |
BERIKAN CONTOH LAGU HAIWAN | Jika yang dimaksudkan ialah lagu yang bertemakan haiwan, contohnya ialah "lompat si katak lompat". | Lain-lain | 03.07.2011 |
Assalamualaikum. Saya ingin bertanya mengenai kata ganti nama bagi haiwan. Saya ingin menulis cerita kanak-kanak. Bagi merujuk haiwan tersebut yang manakah lebih tepat penggunaanya ia atau dia. contoh ayat Sang kancil tinggal di dalam hutan. Ia sangat bijak dan cerdik. Yanglebih tepat ia atau dia. Mohon beri jawapan untuk soalan ini. Terima kasih. | Tidak ada kata ganti nama untuk binatang, sebaliknya nama binatang tersebut perlu diulangi setiap kali merujuk binatang tersebut atau diselang-selikan dengan nama lain yang sinonim dengan binatang tersebut seperti harimau/pak belang. | Tatabahasa | 31.10.2012 |
Salam sejahtera, Apakah perkataan yang sesuai digunakan untuk merujuk haiwan, khususnya kambing "bersiar-siar" di padang? Bolehkah "bersiar-siar" digunakan untuk merujuk haiwan atau adakah perkataan yang lebih sesuai untuk digunakan? Sekian, terima kasih. | Bersiar-siar lazimnya dikaitkan dengan perbuatan manusia yang berjalan-jalan untuk mengambil angin atau untuk berehat-rehat. Oleh itu, bersiar-siar tidak sesuai digunakan untuk merujuk binatang yang berkeliaran di padang. Perkataan yang sesuai ialah berkeliaran atau merayau. | Tatabahasa | 31.01.2011 |