Animals do not engage in political quarrels. They are in the utmost fellowship with one another and live together in harmony. Terjemahannya: Haiwan tidak terlibat dalam pertengkaran politik. Mereka hidup dalam persahabatan sepenuh dengan satu sama lain dan hidup bersama secara berharmoni. Adakah terjemahan ini sesuai. Bolehkah "mereka" digunakan ketika merujuk kepada haiwan? Apakah terjemahan yang lebih sesuai. | Cadangan terjemahan yang sesuai ialah: Haiwan tidak terlibat dalam pertengkaran politik. Haiwan hidup berkumpulan secara harmoni. atau Haiwan tidak terlibat dalam pertengkaran politik dan hidup berkumpulan secara harmoni. Kata ganti diri "mereka" ialah kata ganti nama yang digunakan untuk manusia dan bukan untuk binatang. | Lain-lain | 11.12.2019 |
Tuan, Ayat berikut adalah benar atau tidak tentang penggunaan memperkawan dan memperkawankan? 1. Sue ingin memperkawan Mei Ling. 2. Aliza ingin memperkawankan Sue dengan Mei Ling selepas pertengkaran yang berlaku antara Sue dengan Men Ling dua bulan yang lalu. Terima kasih. Cik Ong | Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat, memperkawankan bermaksud mengusahakan supaya berkawan atau bersahabat (berkenaan orang yang belum kenal-mengenal, orang yang bermusuhan) manakala memperkawan berkawan dengan seseorang. Daripada maksud yang diberikan, penggunaan kedua-dua perkataan tersebut dalam ayat adalah betul. | Tatabahasa | 11.10.2016 |
nak minta tlg. bolehkah saya mengetahui maksud "ledakan budaya"? | Tidak ada makna frasa "ledakan budaya" dalam pangkalan data kami. Ledakan bermaksud letupan atau letusan dan juga boleh dikiaskan kepada sesuatu yang terbit atau timbul dariapa pertengkaran, peperangan dan sebagainya. Manakala budaya boleh dikaitkan dengan tamadun, peradaban dan kemajuan akal fikiran. | Makna | 05.03.2013 |
Apakah perbezaan mengendahkan dan tidak mengendahkan? | Merujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020; 577) kata mengendahkan bermaksud memberikan perhatian atau mengambil peduli terhadap sesuatu atau seseorang. Maka, tidak mengendahkan bermaksud sebaliknya, iaitu tidak memberikan perhatian atau mengambil peduli terhadap sesuatu atau seseorang. Contoh penggunaan kedua-dua kata kerja transitif ini ialah: Selepas pertengkaran itu, dia tidak lagi mengendahkan kawannya. Dia tidak mengendahkan hasutan orang lain. | Makna | 15.08.2023 |
Apakah beza di antara perkataan perbandingan dan perbezaan? | Assalamualaikum, Perkataan perbandingan bermaksud (Kamus Dewan Perdana, 2020: hlm. 197): 1. hal meneliti dua benda atau orang untuk melihat atau mengetahui perbezaan dan persamaannya - Contoh ayat - Jadual 11 menunjukkan perbandingan penduduk di Malaysia dan negara ASEAN lain. Perkataan perbezaan bermaksud (Kamus Dewan Perdana, 2020: hlm. 282 - 283): 1. sifat atau keadaan yang berbeza Contoh ayat - Pertengkaran itu berpunca daripada perbezaan pendapat. 2. kadar atau ukuran yang menjadikan benda, sifat dan lain-lain berbeza dengan yang lain Contoh ayat - Bayi kembar itu lahir dengan perbezaan masa satu minit. Berdasarkan makna dan contoh yang diberikan, perkataan perbandingan digunakan untuk meneliti dua benda atau orang untuk mencari perbezaan dan persamaan, manakala perkataan perbezaan digunakan untuk menentukan kelainan bagi sesuatu sifat, keadaan, benda dan lain-lain. Terima kasih. | Makna | 20.04.2025 |