i)apakah perbezaan menjinjing dgn membimbit. ii)perkataan yang sesuai untuk agar-agar ialah gebu atau lembut | Makna bagi kedua-dua perkataan tersebut adalah sama. Maksudnya ialah membawa sesuatu dgn tangan yg terhulur ke bawah, menjinjit, membimbit. Rujuk Kamus Dewan Edisi Keempat untuk keterangan lanjut. Perkataan yang sesuai bagi agar-agar ialah lembut. Harap maklum. | Makna | 18.08.2007 |
I Rumah itu binasa selepas ribut kencang malam. II Kebahagiaan rumah tangganya binasa akibat daripada sikapnya yang suka berfoya-foya. III Dadah yang bersifat binasa jangan dicuba agar diri kita tidak menanggung kerugian. Iv Bajunya binasa kerana baru sahaja dicuci dengan bahan peluntur warna. Munsyi, penggunaan binasa dalam keempat-empat ayat ini , yang mana satukah yang betul? TK | Binasa bermaksud habis rosak atau hancur sama sekali, atau disebut juga musnah. Dalam bentuk kiasan binasa bermaksud mengalami bencana atau keburukan seperti mendapat kesusahan besar, penyakit, dan lain-lain. Berdasarkan makna tersebut ayat I, II dan IV betul tetapi ayat I dibetulkan menjadi semalam. | Tatabahasa | 08.04.2012 |
Soalan saya agak panjang dan banyak. Oleh itu, saya mengemuakakan saolan dengan lampiran fail. Saya berharap agar pihak tuan dapat menerima lampiran itu.Terima kasih ! | Sdr. Ming Hui terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. Bagi jawapan kepada soalan 1. ialah secebis, 2. demi, 3. berpengetahuan luas,4. menular betul kerana ia mengikut laras penggunaannya, 5. saya memilih jawapannya sebagai i dan ii tetapi jika mengikut kamus DBP jawapan kedua juga adalah betul. Sekian terima | Makna | 08.09.2009 |
Salam sejahtera..... Di sini saya ada beberapa keraguan tentang penggunaan bahasa yang memerlukan penjelasan dan tujuk ajar pihak tuan. 1) Yang manakah ayat berikut benar penggunaan bahasanya? i) Kita boleh mendirikan khemah di situ kerana kawasan itu sama luas dengan gelanggang bola jaring ini. ii) Kita boleh mendirikan khemah di situ kerana kawasan itu seluas dengan gelanggang bola jaring ini. 2) Saya sering menghadapi masalah ketika menerangkan penggunaan imbuhan me...kan dengan me...i dan me.... pada situasi ayat yang berlainan. Namun muri-murid saya tetap keliru dan kurang memahami. Berikut, saya memetik beberapa ayat contoh yang menimbulkan keraguan. i) Emak sedang menghiaskan ruang tamu dengan lampu pelbagai warna. ii) Cikgu Ali sedang mengajar mata pelajaran Sejarah dalam tingkatan 2 Merah. iii) Ah Meng menemui sebentuk cincin di halaman rumah. Sedangkan jawapan yang saya peroleh ialah : i) Emak sedang menghiasi ruang tamu dengan lampu pelbagai warna. ii) Cikgu Ali sedang mengajarkan mata pelajaran Sejarah dalam tingkatan 2 Merah. iii) Ah Meng menemukan sebentuk cincin di halaman rumah. Justeru, saya amat memerlukan tunjuk ajar pihak tuan agar dapat membantu saya merungkai masalah saya. Penjelasan ini amat penting bagi saya memantapkan pengajaran saya dalam bahasa Melayu serta keberkesanan tahap kefahaman murid saya...... Sekian, terima kasih daun keladi dan salam sejahtera........ | 1. Dari segi tatabahasa, kedua-dua ayat tersebut betul dan boleh digunakan. Untuk imbuhan me-kan, sila rujuk buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga. Untuk pengetahuan Puan, buku-buku rujukan yang diterbitkan oleh penerbit luar (bukan DBP), kebanyakan mereka tidak sangat mementingkan penggunaan tatabahasa yang betul. | Tatabahasa | 15.05.2010 |
Salam sejahtera, Encik, adakah ayat-ayat di bawah betul atau sebaliknya. 1) Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu para pelajar sertai untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2) Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3) Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan diadakan oleh kami pada minggu hadapan. 4) Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi akan kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5) Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak dari tadi. 6) i) Kerja-kerja memperlebar lebuh raya itu sedang dijalankan dengan giat. ii) Saya yakin akan keikhlasannya dalam menjalin persahabatan dengan saya. iii) Kereta perkarangan rumah banglo itu mewah-mewah belaka. 7) Sejak daripada tadi pemuda itu termenung di situ. 8) Ali terpinga-pinga bila ditegur oleh lelaki yang bukan dikenalinya. 9) Beberapa orang kanak-kanak merupakan penduduk yang tertinggi sekali di kampung kami. | Ayat yang betul :1. Pelbagai aktiviti kokurikulum yang diadakan oleh pihak sekolah perlu disertai oleh para pelajar untuk menimba pengetahuan dan pengalaman. 2. Para pelajar di sekolah itu sangat sayang akan Cikgu Hamzah yang baik hati, penyayang dan bertanggungjawab. 3. Aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman akan kami adakan pada minggu hadapan. 4. Puan Ani menasihati anak-anaknya agar mencontohi kejayaan anak-anak Puan Ainun dalam pelajaran. 5. Saya tidak tahu mengapa Adik Induk duduk di samping ibu sejak tadi. 6. Ayat ini betul. 7. Sejak tadi pemuda itu termenung di situ. 8. Ali terpinga-pinga apabila ditegur oleh lelaki yang tidak dikenalinya. 9. Beberapa orang kanak-kanak merupakan jumlah penduduk yang tertinggi di kampung kami. | Tatabahasa | 14.07.2008 |
Bagaimana hendak menentukan kata kerja itu berbentuk kata kerja tunggal atau tidak? Mengapakah kata kerja 'duduk' itu dianggap kata kerja tunggal tetapi tidak dengan 'berdiri'? Terima kasih. | Untuk makluman puan, pembentukan kata tunggal dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian kata. Pembentukan kata tunggal dapat dibahagikan kepada empat kategori; (i) Kata Tunggal satu suku kata; Misalnya, yu, ya (ii) Kata tunggal dua suka kata; Misalnya, ambil, (iii) Kata tunggal tiga suku kata; Misalnya, cuaca siasat (iv) Kata tunggal empat suku kata dan lebih; Misalnya, bijaksana, muzakarah Untuk maklumat terperinci tentang kata tunggal, puan dinasihatkan agar membaca buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga. | Tatabahasa | 23.10.2013 |
Askm.Saya ingin bertanyakan beberapa soalan mengenai maksud arahan dan soalan:ARAHAN:-Tulis perkataan BETUL pada penyataan betul dan SALAH pada penyataan salah dibawah. Soalan: Ayah,boleh saya tolong ayah mencuci kereta. Jawapan - BETUL. 1. Apakah maksud penyataan dalam konteks arahan ini? 2. Perlukah ayat (soalan)perlu diletak tanda soal di akhir ayat?(kerana tidak salah saya hanya ada perkataan kata tanya sahaja perlu diletak ini kerana ia adalah ayat penyata). 3. Kalau perlu diletak tanda baca,adakah ayat itu salah dan jawapannnya adalah SALAH dalam konteks arahan?kenapa? terima kasih. | Puan Norsyariza,Berdasarkan ayat yang diberikan oleh puan, iaitu: Ayah, boleh saya tolong ayah mencuci kereta. (1) Dalam menentukan jenis ayat ini, puan disarankan agar mengenal pasti jenis-jenis ayat dalam bahasa Melayu. Ayat bahasa Melayu boleh dibahagikan kepada empat jenis, iaitu (i) ayat penyata, (ii)ayat tanya, (iii) ayat perintah dan (iv) ayat seruan.(i) Ayat penyata ialah ayat yang diucapkan dengan maksud membuat satu pernyataan. Ayat penyata mempunyai tujuan menyatakan atau memberikan keterangan tentang sesuatu hal. Contoh ayat: Abdullah sedang tidur.(ii) Ayat tanya ialah ayat yang digunakan untuk tujuan menanyakan sesuatu hal. Contoh ayat: Siapakah orang itu?(iii) Ayat perintah ialah ayat yang digunakan dengan tujuan untuk menimbulkan sesuatu suruhan, larangan, silaan dan permintaan. Ayat perintah boleh dibahagikan kepada empat jenis berikut:(i) Ayat suruhan (ii) Ayat larangan (iii) Ayat silaan dan (iv) Ayat permintaan. Ayat suruhan ialah ayat yang digunakan dengan tujuan memberi perintah atau arahan. Contoh ayat: Keluar kamu dari bilik ini!. Ayat larangan ialah ayat yang menggunakan kata larangan seperti jangan, usah, atau tak usah sebelum kata kerja dengan tujuan menegah seseorang melakukan sesuatu. Contoh ayat: Jangan ambil harta orang. Ayat silaan ialah ayat yang menggunakan kata silaan seperti sila atau jemput sebelum kata kerja dengan tujuan menjemput atau mempersilakan seseorang. Contoh ayat: Sila serahkan borang ke pejabat. Ayat permintaan ialah ayat yang menggunakan kata permintaan, seperti minta dan tolong, dengan tujuan memohon permintaan dan pertolongan. Contoh ayat: Tolong tutup pintu itu. Ayat seruan ialah ayat yang disertai kata seru dan diakhiri dengan tanda seru (!). Contohnya: Aduh, sakitnya kepalaku! Berdasarkan ayat puan seperti di atas, maka jelaslah ayat ini merupakan ayat permintaan. Hal ini demikian, kerana anaknya memohon permintaan untuk menolong ayahnya mencuci kereta. Tambahan kata yang digunakan ialah "tolong". (2) Contoh ayat yang puan berikan ini tidak perlu diletakkan tanda tanya (?) kerana ayat ini bukan ayat tanya atau ayat seruan. | Tatabahasa | 23.03.2009 |
. Menurut Tatabahasa Dewan cetakan 2003 terdapat 80 kata kerja tunggal. saya ingin mendapatkan senarai kata kerja tunggal tersebut. | Untuk makluman puan, pembentukan kata tunggal dalam bahasa Melayu yang tidak menerima sebarang imbuhan atau tidak mengalami proses penggandaan dan perangkaian kata. Pembentukan kata tunggal dapat dibahagikan kepada empat kategori; (i) Kata Tunggal satu suku kata; Misalnya, yu, ya (ii) Kata tunggal dua suka kata; Misalnya, ambil, (iii) Kata tunggal tiga suku kata; Misalnya, cuaca siasat (iv) Kata tunggal empat suku kata dan lebih; Misalnya, bijaksana, muzakarah Untuk maklumat terperinci tentang kata tunggal, puan dinasihatkan agar membaca buku Tatabahasa Dewan Edisi ketiga (2008). | Tatabahasa | 21.05.2009 |