| Salam sejahtera, 1.Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda 'Berhenti' di tengah-tengah jalan raya.(Apakah tanda baca yang perlu dibubuh pada perkataan 'Berhenti'?) 2.Kesimpulannya, kita perlu meluangkan masa dengan melakukan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat pada hari minggu kerana masa itu emas.(Perlukan perkataan aktiviti itu membawa maksud jamak?) 3.Kita harus berkunjung ke rumah terbuka untuk mengeratkan silaturahim / mengeratkan hubungan silaturahim.(Perlu ditulis hubungan di depan silaturahim?) 4.me.ngo.rek (adakah pemenggalan suku kata ejaan betul dan apakah pemenggalan sebutan bagi perkataan mengorek?) Terima kasih | 1. Seorang pengawal keselamatan memegang papan tanda "Berhenti" di tengah-tengah jalan raya. 2. Kesimpulannya, kita perlu meluangkan masa dengan melakukan aktiviti/aktviti-aktiviti yang bermanfaat pada hari minggu kerana masa itu emas. Perkataan aktiviti boleh membawa maksud jamak berdasarkan konteks penggunaannya. Walau bagaimanapun penggunaan aktiviti-aktiviti juga boleh dibenarkan asalkan tidak didahului oleh penanda jamak seperti pelbagai aktiviti dan penggunaan ini (tunggal atau jamak) hendaklah konsisten dalam keseluruhan wacana. 3. Kita harus berkunjung ke rumah terbuka untuk mengeratkan silaturahim. 4. Pemenggalan yang betul ialah "me.ngo.rek". | Tatabahasa | 27.05.2022 |
| Salam. Saya ingin meminta kebenaran dari pihak DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA mengenai perkataan yang dipamerkan di papan iklan "PUSAT MSF,PUSAT PINJAMAN PERIBADI,CIMB BANK" seperti yang telah saya lampirkan di lampiran fail. Jika perkataan tersebut tidak dibenarkan,perkataan apa yang sepatutnya saya gunakan. Harap pihak DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA dapat memberi tunjuk ajar.Terima kasih | Keterangan aktiviti yang paling sesuai digunakan dalam iklan tersebut ialah "Pusat Pinjaman Peribadi". Untuk pengesahan iklan, klik domain "Khidmat Pengesahan Bahasa DBP". | Lain-lain | 14.09.2012 |
| Salam, Permohonan saya untuk kelulusan untuk dua design papan tanda seperti di dalam lampiran telah ditolak atas alasan: 1) SPA DAN PUSAT KESIHATAN = SPA 2) PUSAT RAWATAN DAN KESIHATAN = SPA Untuk memenuhi syarat yang diperlukan oleh Pihak Berkuasa Tempatan, menetapkan supaya ditulis Deskripsi ringkas tentang apa aktiviti yang dijalankan oleh syarikat di atas papan tanda yang akan dipamerkan di hadapan kedai, apakah yang boleh sayatulis sekarang? Ini adalah permohonan semakan untuk cawangan saya yang ke empat. Untuk 3 permohonan terdahulu telah diluluskan oleh pihak DBP tanpa membangkitkan isu ini dan pihak PBT juga telah mengeluarkan lesen dengan mudah. Saya sertakan juga contoh permohonan terdahulu yang telah diluluskan. Saya ingin memohon pihak DBP menilai semula terhadap keputusan penilaian yang telah dibuat. Terimaksih. | Untuk makluman, pihak kami telah mendapat arahan terkini yang kami tidak dibenarkan meluluskan papan iklan PUSAT KESIHATAN jika merujuk kepada kedai biasa. PUSAT RAWATAN KESIHATAN hanya dibenarkan jika merujuk kepada klinik kesihatan. | Lain-lain | 26.01.2017 |
| Bolehkan kata ganti diri manusia digunakan di dalam dialog antara binatang-binatang. Contoh: "Esok kita berlumba dari sini, sehingga ke pokok hujung sana," kata Kura-Kura kepada Arnab. Jika tidak boleh, sila betulkan ayat ini. Terima kasih. | Penggunaan kata ganti nama diri manusia bagi binatang dibenarkan dalam karya kreatif, khususnya dalam penceritaan karakter binatang bersifat seperti manusia dan melakukan aktiviti manusia. Contoh, "Esok kita berlumba dari sini sehingga pokok hujung sana," kata kura-kura kepada arnab. Namun, dalam penulisan ilmiah kata ganti nama diri manusia tidak digunakan untuk binatang. | Tatabahasa | 29.04.2021 |
| 1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang condong. Perkataan (condong) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi (rendah) akibat proses pembangunan. Perkataan (rendah) salah dan apakah kata adjektif yang patut digunakan untuk membetulkan ayat ini? 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh (menahan) kemurnian budaya timur. (menelan) Betul? 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang (mengira-gira) terhadapnya. (tidak terkira) Betul? 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian (semasa) para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. Apakah perkataan yang patut menggantikan (semasa) 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan (semasa) anak-anaknya berjawatan tinggi. (sedangkan) Betul? 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan (amat sangat) berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. (Penggunaan amat sangat dibenarkan atau tidak?) | 1. Pengawas meminta para pelajar membetulkan barisan yang tidak lurus/bengkok/lengkung. 2. Bukit di Kampung Serdang mejadi gondol akibat proses pembangunan. 3. Jika generasi kini terlalu mengagungkan budaya barat, kemungkinan besar budaya tersebut boleh menjejaskan/menghapuskan kemurnian budaya timur. 4. Walaupun Ali anak angkat, namun ibu angkatnya mencurahkan kasih sayang tidak terkira terhadapnya. 5. Bermain sepak takraw merupakan aktiviti harian para belia di Kampung Selamat pada waktu petang. 6. Warga emas itu terpaksa menjadi penghuni rumah kebajikan sedangkan anak-anaknya berjawatan tinggi. 7. Penggunaan racun serangga tanpa kawalan amat/sangat berbahaya jika racun tersebut meresapi sayur-sayuran. Untuk menyemak penggunaan perkataan yang sesuai, sila rujuk laman web kami www.prpm.dbp.gov.my dan taipkan perkataan yang hendak dicari. Untuk memastikan penggunaan kata penguat yang betul seperti dalam soalan ketujuh (7) rujuk buku Tatabahasa Dewan, halaman 259. | Tatabahasa | 21.10.2011 |
| NOTIS DENGAN TINDAKAN: MENGADAKAN TONG SAMPAH JENIS MUDAH ALIH Dengan hormatnya merujuk kepada perkara di atas. 2. Dukacita dimaklumkan, berdasarkan pemantauan pegawai dan makluman dari konsesi kutipan sisa pepejal seliaan pihak Majlis mendapati, pengurusan sisa buangan dirumah sampah iaitu sisa domestik (sisa kantin) masih berulang dan tidak diurus dengan baik. Perkara ini telah diingatkan melalui notis terdahulu berkaitan untuk mengadakan tong sisa dan mengasingkan lokasi antara sisa domestik (sisa kantin) dengan sisa asrama. 3. Sehubungan itu, pihak tuan dimohon dalam tempoh empat belas (14) hari untuk mengadakan tong sampah jenis mudah alih berkapasiti 1100liter untuk pengurusan kutipan sisa domestik (sisa kantin) sahaja oleh pihak Majlis dan menyemak semula perjanjian tuan dengan pihak kontraktor kebersihan sekolah yang perlu menguruskan baki sisa dari asrama untuk dilupuskan ke lokasi yang dibenarkan oleh pihak Majlis. 4. SILA AMBIL PERHATIAN, bagi melicinkan proses kutipan sisa pepejal di tempat tuan, pihak tuan kehendaki untuk mematuhi kehendak notis ini dan pihak Majlis boleh menjalankan aktiviti penguatkuasaan berhubung perkara tersebut. Kerjasama dari pihak tuan berhubung perkara ini amatlah dihargai. | Tiada soalan yang dikemukakan melalui platform ini. Untuk makluman tuan, DBP menyediakan khidmat penyemakan dokumen berbayar bagi teks/dokumen yang panjang. Tuan boleh meng-e-melkan teks ini kepada nawal@dbp.gov.my dalam format langkau dua baris (double spacings), fon tulisan 12 dan jenis tulisan Arial, serta fail dihantar dalam bentuk MS-Word dan PDF, dengan kelarasan (justified). Pihak kami akan menyediakan sebut harga. | Penyemakan dan penterjemahan | 11.03.2025 |