| Salam tuan/puan, Harap tuan/puan sudi meluangkan masa untuk mengkategorikan kata nama yang saya berikan sebagai contoh di bawah sama ada kata nama am tak hidup institusi (KNATHI) atau kata nama am tak hidup bukan institusi konkrit (KNATHBIK). Jika KNATHI, tuan/puan boleh tandakan (I) atau jika KNATHBIK) tandakan (B). rumah padang sekolah bank mahkamah gereja masjid tokong kuil perpustakaan muzium istana plaza tol pasar malam tanjung teluk terowong tandas makmal taman dapur langit balai bomba balai polis kompleks sukan pejabat tanah pejabat imigresen universiti pejabat pos kilang roti kedai buku stesen minyak kafe siber Terima kasih yang tidak terhingga. | Pengenalpastian sama ada kata nama am tak hidup institusi (KNATHI) atau kata nama am tak hidup bukan institusi konkrit (KNATHBIK) dibuat melalui kehadiran kata sendi nama sebelum kata nama tersebut. KNATHI dikenal pasti melalui kehadiran kata sendi nama (KSN) kepada dan daripada sebelum KNATHI, manakala KNATHBIK didahului oleh KSN ke dan dari. Rujuk Tatabahasa Dewan halaman 99-100. | Tatabahasa | 19.11.2014 |
| Saya dapati terdapat perbezaan penggunaan perkataan pencantuman dan penggabungan. Bagaimanakah penggunaan ini boleh digunakan dalam konteks yang berbeza. Misalnya dalam undang-undang Suruhanjaya Penerbangan, perkataan merger ditafsirkan sebagai pencantuman bukan penggabungan. sebaliknya penggunaan terma penggabungan dilihat lebih menepati maksud merger. Malah media juga menggunakan perkataan penggabungan bukan pencatuman. Contohnya, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia telah membenarkan cadangan (penggabungan atau pencatuman) bagi Syarikat Telekomunikasi Celcom dan Digi. | Menurut Kamus Perdana terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, pencantuman bermaksud perbuatan atau proses mencantumkan. Contoh ayat, Pencantuman syarikat bertujuan untuk menyusun semula struktur modal dan hak milik syarikat berkenaan dan Pencantuman secara kimia telah digunakan untuk menghasilkan bahan-bahan gabungan kayu dan plastik. Manakala penggabungan bermaksud proses atau perbuatan menggabungkan sesuatu. Contoh ayat, Penggabungan negeri-negeri di Tanah Melayu dengan Sabah dan Sarawak dan Langkah penggabungan bank dan institusi kewangan. Berdasarkan maksud, kedua-dua perkataan membawa maksud yang sama. Walau bagaimanapun, jika dilihat contoh ayat, perkataan pencantuman bersifat lebih umum, iaitu bukan sekadar proses mencantumkan institusi atau negeri, tetapi mencantumkan sesuatu seperti mencantumkan pokok dan mencantumkan kayu dan plastik dan sebagainya. Sedangkan penggabungan pula bersifat lebih khusus, iaitu hanya merujuk kepada institusi seperti negeri, syarikat dan yang seumpamanya. | Makna | 07.10.2021 |