| Salam DBP, soalan saya berkisar mengenai frasa "ialah bahawa" dan "adalah bahawa" serta jenis-jenis frasa yang boleh berada di hadapan setiap frasa tersebut. Contoh: (1) Maklumat yang diterima [ialah bahawa / adalah bahawa] {Shirin seorang pegawai polis Bukit Aman}. {FN+FN} (2) Maklumat yang diterima [ialah bahawa / adalah bahawa] {budak Cina itu sedang menggali longkang.} {FN+FK} {3} Maklumat yang diterima [ialah bahawa / adalah bahawa] {warna baju Kamariah kemerah-merahan.} {FN+FA} {4} Maklumat yang diterima [ialah bahawa / adalah bahawa] {angin itu dari arah selatan ke utara semenanjung. {FN+FSN} Mohon ajukan soalan sintaktis ini kepada munsyi-munsyi yang bertauliah. Terima kasih | "Ialah" dan "adalah" tergolong dalam kata pemeri. "Ialah" digunakan di hadapan kata nama atau frasa nama, manakala "adalah" digunakan di hadapan frasa adjektif dan frasa sendi nama seperti untuk, pada, dalam, dengan dan sebagainya. Kata "bahawa" ialah kata hubung pancangan komplemen, berfungsi menghubungkan klausa yang menjadi komplemen atau pelengkap pada klausa utama. Cadangan jawapan: (1) Maklumat yang diterima ialah Shirin seorang pegawai polis di Bukit Aman. (2) Maklumat yang diterima ialah budak Cina itu sedang menggali longkang. (3) Maklumat yang diterima adalah warna baju Kamariah kemerah-merahan. (4) Maklumat yang diterima ialah angin itu dari arah selatan ke utara semenanjung. Contoh penggunaan kata "bahawa": Ali menyedari bahawa dia telah melakukan kesalahan terhadap ibunya Untuk keterangan lanjut, sila rujuk Buku Tatabahasa Dewan Edisi Ketiga, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. | Tatabahasa | 05.05.2022 |
| Assalamualaikum, Pihak Pemprosessan Saman dan Waran Tangkap Cawangan Trafik, PDRM ingin mendapatkan pandangan daripada pihak Tuan untuk kegunaan slogan di POL 257 Cadangan Slogan seperti berikut: "Gagal selesaikan, Waran Tangkap Dikeluarkan" Mohon nasihat untuk pembaiikkan dan digunapakai. Insp Nooraini Ali Cawangan Trafik PDRM, Bukit Aman. | Bagi slogan "Gagal Selesaikan, Waran Tangkap Dikeluarkan". Apakah yang gagal diselesaikan? Saman atau denda atau selainnya. Pada pandangan kami slogan ini tidak dapat difahami dengan jelas. Pertanyaan yang hamper sama pernah kami terima dan pernah mencadangkan "Gagal Hadir di Mahkamah, Waran Tangkap Dikeluarkan". | Tatabahasa | 03.11.2015 |
| Pihak Pemprosessan Saman dan Waran Tangkap Cawangan Trafik, PDRM ingin mendapatkan cadangan dan pandangan daripada pihak Tuan untuk kegunaan slogan di POL 257(Contoh saman diseratakan) "Cadangan Slogan seperti berikut: Tidak hadir makhamah, Waran Tangkap akan dikeluarkan" Mohon pandangan dan cadangan untuk kegunaan dalam dwi bahasa, Bahasa Melayu Dan Bahasa Inggeris Sekian. Insp Nooraini Ali Cawangan Trafik PDRM, Bukit Aman. | Kami mencadangkan frasa tersebut dipinda menjadi: Gagal Hadir di Mahkamah, Waran Tangkap Dikeluarkan. | Tatabahasa | 21.10.2015 |
| psukan pandu puteri, pengakap, pasukan bulan sabit merah, kadet polis, psukan bomba dan pasukan polis perlu ditulis dalam huruf besar pada huruf pertama? terima kasih | Bulan Sabit Merah ialah sebuah pertubuhan yang khusus dan dieja dengan huruf besar. Pasukan pandu puteri, pengakap, kadet polis, pasukan bomba dan pasukan polis ditulis dengan huruf kecil, kecuali dalam frasa kata nama khas seperti Pandu Puteri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kadet Polis SMK Wangsa Melawati, Pasukan Bomba Hang Tuah dan Pasukan Polis Bukit Aman. | Tatabahasa | 30.04.2014 |
| Tolong membantu saya menyemak bina ayat ini keselurahannya. 2.Budaya mengunjungi perpustakaan membantu kita menghargai masa yang diibaratkan sebagai emas. 3.Ibu bapa perlu membudayakan amalan menabung dalam kalangan anak sejak kecil bak kata pepatah,melentur buluh biarlah dari rebungnya. 4.Kita hendaklah rajin membaca surat khabar supaya kita mengetahui hal-ehwal dunia dan tidak dianggap sebagai katak di bawah tempurung. 5.Para pelajar hendaklah dibiasakan dengan budaya menabung wang angkos walaupun sedikit kerana sikit-sikit lama-lama jadi bukit. 6.Aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar pelbagai kaum membuka ruang bagi para pelajar bersua antara satu sama lain bak kata orang tua-tua tak kenal maka tak cinta. 7.Budaya gotong-royong dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan penduduk bak kata peribahasa bulat air kerana pembetung,bulat kata kerana muafakat. 8.Cara menghargai jasa orang tua hendaklah dengan menyayangi mereka agar mendapat kepuasan yang tidak terpermanai banyaknya. 9.Masyarakat yang berbilang bangsa hidup gembira dan aman menyempenakan negara. 10.Negara Malaysia sebuah negara yang beragama dan beretika dalam pelbagai kaum terdiri daripada adat istiadat,saling berkunjung,saling membantu dalam keadaan yang indah permai bak kata cendekiawan indah ialah kata yang lahir daripada keadaan sebuah negara yang maju. | 2.Budaya mengunjungi perpustakaan membantu kita mengisi masa kerana masa itu emas. 3.Ibu bapa perlu membudayakan amalan menabung dalam kalangan anak sejak kecil seperti peribahasa; Melentur biarlah waktu rebung. 4.Kita hendaklah rajin membaca surat khabar supaya kita mengetahui hal ehwal dunia dan tidak dianggap seperti katak di bawah tempurung. 5.Para pelajar hendaklah dibiasakan dengan budaya menabung kerana walaupun sedikit-sedikit, lama-lama menjadi bukit. 6.Aktiviti kokurikulum yang melibatkan pelajar pelbagai kaum membuka ruang kepada mereka untuk bertemu antara satu sama lain seperti peribahasa tak kenal maka tak cinta. 7.Budaya gotong-royong dapat memupuk semangat kerjasama dan permuafakatan dalam kalangan penduduk seperti bulat air kerana pembetung, bulat kata kerana muafakat. 8.Cara menghargai jasa orang tua adalah dengan menyayangi mereka agar mendapat kebaikan yang terpermanai. 9.Masyarakat berbilang bangsa hidup dengan aman dan gembira dalam sebuah negara yang harmoni. 10.Negara Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum dan agama serta hidup dengan penuh adat istiadat,beretika, saling berkunjung dan saling membantu dalam apa jua keadaan untuk mencapai negara yang bertamadun. | Tatabahasa | 24.08.2018 |