Salam, apakah terjemahan bahasa Melayu untuk unit sukatan berikut, "cu in" dan "cc", contohnya 900 cc/60 cu in. Adakah terjemahan sebagai kubik inci betul? Terima kasih. | Padanan bahasa Melayu untukĀ "cubic inch" (cu in) ialah inci padu dan "cubic centimetre" (cc) ialah sentimeter padu. | Istilah | 25.09.2012 |
Saya ingin bertanya tentang pemisahan kata mengikut sebutan kata: 1. acuan: a/cuan ATAU a/cu/an Adakah perkataan lain seperti tuan, luas, kemajuan juga dipisahkan mengikut teori yang sama? 2. sajian: sa/jian ATAU sa/ji/an Adakah perkataan lain seperti keberanian, tarian, pertanian juga dipisahkan mengikut teori yang sama? TQ. | 1. [a.cuan] 2. [sa.jian] Perkataan lain disebut mengikut teori yang sama. Sila rujuk buku Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi-Sebutan-Jawi, terbitan DBP 2008 untuk lebih lanjut. | Tatabahasa | 22.04.2013 |
Apakah turutan nama gelaran untuk adik beradik didalam keluarga? Sulong, Angah, Uda..... dan seterusnya sehingga ke yang Bongsu. Adakah turutan ini berlainan dari negeri ke negeri? Apa bezanyas sekiranya ada 9 adik beradik dan 13 adik beradik? | Gelaran yang biasa digunakan ialah along, angah, uda, alang,andak, tam, teh, cik dan cu. Gelaran ini berbeza mengikut negeri. Pada kebiasaan hanya gelaran ini digunakan. Sekiranya lebih bergantung pada keluarga berkenaan. Mungkin saudara boleh cuba menghubungi Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan tentang perkara ini. | Lain-lain | 06.05.2008 |
Bagaimana perkataan-perkataan berikut dipenggalkan mengikut suku kata? rumpair sempoa muzium masyhur piano suria jurutaip cuaca beliung periuk audit atlet akauntan aeronautik Musytari sandwic asparagus ekuestrian triatlon penguin Oleander Rafflesia Aloe vera Willow Asteroid Adakah kata nama khas (khasnya kata pinjaman Inggeris) tidak perlu dipenggalkan? | Suku kata perkataan tersebut dipenggalkan seperti yang berikut: (rum/pa/ir), (sem/po/a), (mu/zi/um), (masy/hur), (pi/a/no), (su/ri/a), (ju/ru/ta/ip), (cu/a/ca), (be/li/ung), (pe/ri/uk), (au/dit(, (at/let), (a/ka/un/tan), (ae/ro/nau/tik), (Musy/ta/ri), (sand/wic), (as/pa/ra/gus), (e/ku/es/tri/an), (tri/at/lon), (pe/ngu/in), (O/le/an/der), (Raff/le/si/a), (A/loe), (ve/ra), (Wi/llow), (As/te/ro/id). Lazimnya dalam tujuan pembelajaran kata jati Melayu yang dipilih sebagai contoh penggalan bagi memudahkan kefahaman pelajar. | Tatabahasa | 19.04.2013 |
mak usu,mak ngah,pak long adakah tergolong dalam kata nama am atau khas? | Kamus Dewan, Edisi Keempat, halaman 980: mak bongsu, iaitu mak cu, mak su dan mak usu dieja dengan huruf kecil. mak usu, mak long ialah kata nama am, tetapi menjadi kata nama khas apabila ada nama khusus digandingkan bersama seperti Mak Su Limah dan Mak Long Siti. | Tatabahasa | 10.01.2013 |