Selamat Sejahtera, Apakah singkatan bagi Bandar dan Bukit untuk kegunaan Papan tanda jalan JKR. | Tiada singkatan untuk perkataan “Bandar” dan “Bukit” yang digunakan dalam bahasa Melayu. | Lain-lain | 21.08.2023 |
Saya sedikit keliru, yang manakah perkataan yang betul 'senggara' atau 'selenggara'. Saya lihat JKR menggunakan senggara manakala DBP menggunakan selenggara contohnya 'penyelenggaraan Biodata' yang terdapat di website ini. Minta dijelaskan. Terima kasih | Kedua-duanya betul. Selenggara ialah istilah lama. | Istilah | 22.11.2009 |
Kenapa penguatkuasaan penggunaan bahasa Melayu masih di takuk lama. Pelbagai kesalahan penggunaan bahasa berlaku di mana-mana. Hal ini bukan melibatkan badan swasta sahaja, malah jabatan kerajaan juga. Sila turun padang dan cuba lihat penggunaan papan-papan tanda oleh JKR misalnya..... Sebenarnya hal ini demikian boleh mengganggu pembelajaran pelajar di sekolah-sekolah. | Untuk makluman tuan, DBP meneruskan kerja pemantauan penggunaan bahasa Melayu di tempat awam dan membuat teguran kepada pihak yang jelas mengabaikan penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul. DBP sedia bekerjasama dalam hal memperkasakan bahasa Melayu, walaupun tanggungjawab memastikan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul di tempat awam ialah di bawah pihak berkuasa tempatan. DBP juga menyediakan Khidmat Nasihat Bahasa sebagai saluran untuk pengguna menanyakan hal-hal kebahasaan tetapi mungkin khidmat ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya. | Lain-lain | 06.06.2009 |
Soalan : Han Khalief Jun 9th, 3:34pm Assalamualaikum DBP.. Ini betul atau tidak? Berikan penjelasan. Terima kasih. WOKSYOP DAERAH J.K.R PONTIAN Jawapan : Sila kemukakan soalan tuan dengan jelas melalui domain "Khidmat Nasihat DBP" di laman web kami prpm.dbp.gov.my. Terima kasih SOALANNYA IALAH EJAAN WOKSYOP DAERAH J.K.R PONTIAN BETUL KE TAK? Apa yang tidak jelasnya. Baca la betul-betul ya. Gunakan ilmu kefahaman. | Penggunaan kata dan ejaan yang betul ialah "Bengkel JKR Daerah Pontian". | Tatabahasa | 16.06.2015 |
Apakah penggunaan akronim yang betul untuk nama bahagian di bawah dalam versi bahasa Melayu (BM) dan bahasa Inggeris (BI): Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat | Akronim ialah bentuk gabungan kependekan yang terbentuk daripada gabungan huruf-huruf pertama atau suku kata beberapa perkataan yang boleh diujarkan sebagai suatu perkataan. Contohnya, RISDA, MARA, FELDA. Akronim boleh dieja sama ada dalam bentuk huruf besar ataupun huruf kecil bergantung pada beberapa ciri tertentu. Ada dua jenis akronim, iaitu akronim nama khas dan akronim umum. Kedua-duanya tidak menggunakan noktah. Akronim nama khas terbahagi kepada tiga bentuk, seperti yang berikut: - Akronim yang dibentuk dengan menggabungkan huruf awal sesuatu rangkai kata, contohnya ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri).
- Akronim yang dibentuk dengan menggabungkan suku kata atau huruf awal sesuatu rangkai kata, contohnya, Perhilitan (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara).
- Akronim yang dibentuk dengan menggabungkan suku kata sesuatu rangkai kata, contohnya, Bernama (Berita Nasional Malaysia).
Akronim umum pula terbentuk melalui cantuman suku kata awal atau beberapa huruf suku kata awal perkataan. Kata akronim umum ditulis dalam huruf kecil. Contohnya, jentolak (jentera tolak), cerpen (cerita pendek), pawagam (panggung wayang gambar) dan tadika (taman didikan kanak-kanak). Singkatan pula berkaitan dengan bentuk ringkas bagi satu perkataan atau lebih, dan tidak bertaraf kata, contohnya, UPM (Universiti Putera Malaysia), KL (Kuala Lumpur), JKR (Jabatan Kerja Raya), PDRM (Polis Diraja Malaysia), PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru). Merujuk pada nama Bahagian Digital dan Teknologi Maklumat yang diajukan oleh pihak tuan, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) tidak membuat penetapan, sama ada penggunaan singkatan atau akronim bagi nama tersebut. Tuan boleh menggunakan singkatan BDTM ataupun membentuk akronim berdasarkan kaedah/jenis akronim yang dinyatakan di atas. Untuk maklumat lanjut, sila rujuk buku Gaya Dewan Edisi Keempat (DBP, 2023), halaman 169 dan laman sesawang https://prpm.dbp.gov.my/ . | Tatabahasa | 13.06.2025 |