1) Apakah definisi kampung tradisional dan ciri-ciri kampung tradisional 2) Apakah definisi bandar metropolitan | 1. Tidak ada definisi khusus untuk kampung tradisional dan ciri kampung tradisional dalam pangkalan data kami. Walau bagaimanapun, terdapat definisi "kampung" dan "tradisional" dalam Kamus Dewan Edisi Keempat. iaitu: i. kampung bermaksud 1. kawasan kediaman (terdiri daripada sekumpulan rumah dll) di luar bandar, desa, dusun 2. kawasan dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok 3. (kiasan) tidak moden, agak kolot 4. bukan dihasilkan (dipelihara dll) dengan cara pengurusan moden, terpelihara (terhasil, terjaga, dll) cara kampung ii. tradisional bermaksud berkaitan dengan, bersifat, atau mengikut tradisi, 2. Dalam bidang Geografi, istilah bandar metropolitan bermaksud sesebuah bandar yang terlalu besar atau sebuah kawasan bandar yang diperluas. | Makna | 29.11.2012 |
Boleh saya tahu perbezaaan kampung dan desa? | Menurut Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020): desa kata nama 1 kawasan kediaman yang terletak jauh dari bandar yang dihuni oleh sekelompok masyarakat dan biasanya terdapat kemudahan seperti masjid, klinik dan sekolah; 2 bahasa klasik daerah, kawasan atau tempat; kampung kata nama 1 kawasan kediaman yang terletak jauh dari bandar, dan biasanya terdiri daripada sekumpulan rumah serta bangunan lain seperti masjid, balai raya dan sekolah: Setelah tamat SPM, aku meninggalkan kampung utk berhijrah ke Kuala Lumpur. 2 kawasan yang terletak dalam bandar tempat sesuatu kaum tinggal berkelompok: Kampung Jawa yang terletak di tengah-tengah bandar Serian itu dihuni oleh masyarakat Jawa yang berasal dari Pulau Sumatera, Indonesia. 3 Negeri Sembilan kawasan di keliling rumah seseorang atau beberapa buah rumah kepunyaan ahli daripada keluarga yang sama yang biasanya dilingkungi pagar; 4 Minangkabau daerah di desa atau bandar yang lebih kecil daripada negeri tetapi lebih besar daripada dusun, di bawah jagaan seorang ketua yang dipilih oleh penduduk setempat daripada kalangan ketua dusun; Kata adjektif 5 (berkenaan dengan hasil tanaman, ternakan dan sebagainya) dihasilkan dengan cara tradisional, misalnya tanpa penggunaan mesin canggih, bahan kimia dll: kopi kampung; ayam kampung; 6 kiasan (berkenaan dengan pemikiran, gaya hidup dan sebagainya) tidak moden atau ketinggalan zaman: Datuknya masih kampung. Kesimpulannya, desa dan kampung ada persamaan dan perbezaan dari segi pecahan makna. | Makna | 10.07.2024 |
definisi sejarah sastera | Sastera sejarah adalah suatu cabang daripada kesusasteraan Melayu tradisional yang membicarakan sejarah sesebuah kerajaan. Secara umum sastera sejarah sering kali memakai judul permulaan sebagai hikayat, silsilah, salasilah, misa dan tawarikh seperti Hikayat Raja-raja Pasai, Hikayat Acheh, Silsilah Melayu dan Bugis, Misa Melayu dan Tawarikh Salasilah Negeri Kedah. Bentuk sastera sejarah boleh dibahagikan kepada dua, iaitu dalam bentuk prosa dan bentuk puisi. Karya yang berbentuk prosa merupakan sejarah sesebuah kerajaan atau negeri tentang bangun dan jatuhnya sebuah kerajaan itu dengan menyenaraikan susur galur pemerintahnya. Manakala bentuk puisi pula, lazimnya ditulis dalam bentuk syair yang menceritakan sesuatu peristiwa bersejarah yang berlaku dalam sesuatu tempoh waktu tertentu seperti Syair Perang Johor, Syair Kampung Gelam Terbakar, Syair Perang Siak dan sebagainya. Karya sastera sejarah, umumnya terbahagi kepada tiga jenis. Pertama karya sejarah yang meriwayatkan jurai keluarga diraja. Misalnya Sulalatus Salatin yang cukup terkenal dalam kalangan kita. Di dalam Sulalatus Salatin, pengarangnya, Tun Seri Lanang menjurai asal usul keturunan raja Melayu dari awal hingga kejatuhan kerajaan Melayu Melaka. Jenis sastera sejarah yang kedua pula hanya memfokuskan kisah seseorang tokoh seperti dalam Hikayat Acheh yang menceritakan tentang ketokohan Raja Iskandar Muda. Sastera sejarah yang menekankan pada sesuatu peristiwa seperti Syiar Kampung Gelam Terbakar dan Perang Makasar adalah jenis karya sastera yang ketiga. Salah satu ciri yang menyebabkan sastera sejarah tidak dianggap sepenuhnya sejarah kerana ada unsur-unsur mitos dan legenda serta unsur-unsur fiksyen-fantasi yang turut dimuatkan oleh para pengarang sastera sejarah. Unsur-unsur ini dimuat adalah dengan tujuan-tujuan tertentu seperti untuk menambahkan faktor kekaguman rakyat kepada kebesaran sesebuah kerajaan atau jurai keturunannya. | Lain-lain | 06.08.2008 |