| Apakah perbezaan bagi penggunaan istilah "budak-budak", "anak-anak" dan "kanak-kanak" dalam sesuatu konteks yang tertentu? | Konteks penggunaan "kanak-kanak" dipecahkan kepada konteks makna Undang-undang dan makna umum. Makna umum "kanak-kanak" luas kepada sinonim kata "budak-budak" dan "anak-anak" dalam bilangan jamak (lebih daripada seorang). Lazimnya kesesuaian untuk memilih antara ketiga-tiga perkataan lebih sesuai dalam gaya percakapan biasa atau bukan laras bahasa tinggi. Sebagai contoh ketiga-tiga perkataan boleh disetarakan dalam ayat: Mereka masih kanak-kanak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Mereka masih anak-anak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Mereka masih budak-budak yang belum mengerti hakikat hidup ini. Tidak sepatutnya menukar ganti "kanak-kanak" dengan mana-mana kata lain tadi dalam contoh penggunaan seperti: Novel kanak-kanak terbitan DBP. taman asuhan kanak-kanak Hari Kanak-kanak Sedunia Untuk perincian takrif "kanak-kanak", "budak-budak" dan "anak-anak", sila rujuk Kamus Dewan Perdana (DBP, 2020). | Makna | 09.07.2025 |
| Istilah Sumber Istilah Malaysia Bidang neglected wife isteri terabai/terlantar Sosiologi neglected husband suami terabai/terlantar Sosiologi NEGLECTED PATIENTS adakah juga diistilahkan sebagai PESAKIT TERABAI bagaimana pula dengan maklumat berikut:- Istilah Sumber Istilah Sasar Bidang neglected child kanak-kanak terbiar Sosiologi sewajarnya KANAK-KANAK TERABAI | Penggubal istilah bidang sosiologi memutuskan penggunaan “anak/kanak-kanak terbiar” untuk neglected child; isteri/suami terabai/terlantar untuk neglected wife/husband. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat perkataan “terbiar” juga bermaksud terabai; terlantar. Oleh itu, tuan/puan boleh memilih untuk menggunakan anak/kanak-kanak terabai atau anak terlantar bergantung pada penggunaan perkataan tersebut dalam ayat dan situasi. Begitu juga dengan “pesakit terabai” yang boleh digunakan sebagai padanan bahasa Melayu untuk neglected patients. | Istilah | 18.11.2018 |
| Salam sejahtera. Saya ingin bertanya, adakah terjemahan bagi frasa-frasa berikut tepat? a) all of the documents - kesemua dokumen b) all children - kesemua anak c) the children - anak tersebut Saya juga ingin bertanya, apakah padanan bagi perkataan "tersebut"? | Frasa yang sesuai ialah a) semua dokumen atau kesemua dokumen b) semua anak atau kesemua anak c) anak-anak/kanak-kanak tersebut Maksud “tersebut” dalam Kamus Dewan Edisi Keempat ialah “telah disebut (diceritakan dll), pernah disebut.” Oleh itu, penggunaan perkataan lain untuk menggambarkan “tersebut” ialah cerita tentang anak-anak/kanak-kanak, contohnya anak-anak/kanak-kanak yang bermain di taman, anak-anak/kanak-kanak miskin, dan sebagainya. | Tatabahasa | 21.01.2018 |
| NOTA: Peralatan di taman ini adalah terhad kepada kanak-kanak berumur 12 tahun kebawah sahaja. Segala risiko di atas penggunaan peralatan disini adalah tanggungjawab pengguna. Ingatan mesra dari YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 1. TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK ADALAH DI BAWAH UNDANG-UNDANG KECIL MAJLIS PERBANDARAN SEPANG. 2. MEROSAKKAN HARTA BENDA DI TAMAN PERMAINAN INI ADALAH MERUPAKAN SATU PERBUATAN YANG TIDAK BERETIKA DAN BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG- UNDANG. 3. IBU BAPA ATAU PENJAGA PERLU SENTIASA MENGAWASI ANAK-ANAK MEREKA SEMASA BERADA DI TAMAN PERMAINAN INI. 4. PIHAK MAJLIS PERBANDARAN SEPANG TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB KE ATAS SEBARANG KEMALANGAN ATAU KECEDERAAN YANG BERLAKU SEMASA MENGGUNAKAN ALATAN-ALATAN DI TAMAN PERMAINAN INI. ADUAN KEROSAKAN SILA HUBUNGI: BAHAGIAN LANDSKAP MAJLIS PERBANDARAN SEPANG TEL NO: 03-87782000 | NOTA: Peralatan di taman ini terhad kepada kanak-kanak berumur 12 tahun dan ke bawah sahaja. Segala risiko menggunakan peralatan di sini ialah tanggungjawab pengguna. Ingatan mesra daripada YANG DIPERTUA MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 1. TAMAN PERMAINAN KANAK-KANAK ADALAH DI BAWAH UNDANG-UNDANG KECIL MAJLIS PERBANDARAN SEPANG. 2. MEROSAKKAN HARTA BENDA DI TAMAN PERMAINAN INI MERUPAKAN SATU PERBUATAN YANG TIDAK BERETIKA DAN BOLEH DIKENAKAN TINDAKAN UNDANG-UNDANG. 3. IBU BAPA ATAU PENJAGA PERLU SENTIASA MENGAWASI ANAK-ANAK MEREKA SEMASA BERADA DI TAMAN PERMAINAN INI. 4. PIHAK MAJLIS PERBANDARAN SEPANG TIDAK AKAN BERTANGGUNGJAWAB ATAS SEBARANG KEMALANGAN ATAU KECEDERAAN YANG BERLAKU SEMASA MENGGUNAKAN ALATAN DI TAMAN PERMAINAN INI. ADUAN KEROSAKAN, SILA HUBUNGI: BAHAGIAN LANDSKAP MAJLIS PERBANDARAN SEPANG NO. TEL.: 03-87782000 | Tatabahasa | 22.11.2013 |
| Adakah ayat berikut betul dan jika salah sila nyatakan alasannya dan ayat yang betul. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan bersabar menghadapi kanak-kanaka autistik ini dan mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah seperti ini memerlukan banyak perhatian dan ini mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Dari seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisma boleh berlaku di kalangan kanak-kanak dari semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisma sering terdapat di kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisma adalah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang mengalami kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisma. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses pendiagnosan. | Sdr. de miraz, terima kasih kerana menghubungi KNBDBP. berikut diberikan ayat yang telah dibaiki untuk perhatian Sdr. 1. Ahli keluarga perlu tabah dan sabar menghadapi kanak-kanak autistik ini. Mereka perlu mempelajari cara-cara untuk mengatasi masalah yang timbul serta menggunakan kaedah-kaedah yang sesuai bagi menghadapi masalah seperti ini. Oleh sebab banyak perhatian perlu diberikan kepada kanak-kanak seperti ini ia mendorong ramai ibu yang bekerja mengambil keputusan meletak jawatan untuk mendidik dan menjaga sendiri anak sepenuh masa di rumah. 2. Ini sering menyebabkan... 3. Dengan latihan khas, mereka boleh menunjukkan perubahan tingkah laku yang diharap-harapkan. 4.Daripada seramai 40 kanak-kanak autistik yang pernah saya temui, hanya empat orang sahaja kanak-kanak perempuan. Autisme boleh berlaku dalam kalangan kanak-kanak daripada semua bangsa dan kedudukan sosioekonomi, walaupun suatu masa dahulu ada yang menyatakan bahawa kanak-kanak autisme sering terdapat dalam kalangan keluarga-keluarga profesional. 5. Autisme ialah satu penyakit yang kompleks dan para penyelidik sendiri masih tidak dapat mengenal pasti punca sebenarnya ia berlaku. Sesetengah kanak-kanak pekak, kanak-kanak yang mengidap penyakit seperti congentil rubella, penyakit baka phenylketonuria, sindrom Fragile-X, tuberous sclerosis, kanak-kanak yang kelemasan sewaktu dilahirkan (perinatal asphyxia) dan kanak-kanak yang menghidap penyakit encephalitis atau lembam otak dikatakan menunjukkan ciri-ciri autisme. Tetapi lazimnya, pemeriksaan fizikal sering dijalankan tidak menghasilkan apa-apa tanda untuk membantu proses diagnosis. | Tatabahasa | 24.02.2009 |
| APA BEZA ANTARA “TADIKA” DENGAN “TABIKA”? | Tadika ialah akronim bagi taman didikan kanak-kanak manakala tabika ialah akronim bagi taman bimbingan kanak-kanak. Takrif tadika dan tabika dalam Kamus Dewan Perdana: tadika pusat pendidikan awal anak-anak yg berumur empat hingga enam tahun sebelum memasuki alam persekolahan yg sebenar. Tadika ialah akronim bagi taman didikan kanak-kanak:tadika Islam; tadika swasta. tabika pusat pendidikan awal kanak-kanak yg berumur empat hingga enam tahun sebelum masuk ke alam persekolahan yg sebenar. Tabika ialah akronim bagi taman bimbingan kanak-kanak: tabika KEMAS; tabika perpaduan.
| Ejaan | 21.05.2023 |
| Istilah abandoned child diistilah sasarkan sebagai anak terlantar yang sewajarnya diistilahkan sebagai anak terabai atau anak diabai sesuai dengan Akta Kanak-Kanak 2001 yang menjelaskan tentang pengabaian kanak-kanak. | Penggubal istilah bidang sosiologi memutuskan penggunaan “anak terlantar” untuk abandoned child. Kamus Inggeris Melayu Dewan memberikan perkataan “budak terbiar/terbuang” dan “anak buangan” sebagai padanan bahasa Melayu untuk abandoned child. Dalam Kamus Dewan Edisi Keempat “terbiar juga bermaksud terabai; terlantar. Oleh itu, tuan/puan boleh memilih untuk menggunakan anak terabai, anak terbuang atau anak terlantar bergantung pada penggunaan perkataan tersebut dalam ayat dan situasi. | Istilah | 18.11.2018 |
| Mengapakah budak-budak tidak boleh ditukar menjadi kata ganda separa? | Melalui carian di internet ada ditemukan penggunaan kata "bebudak". Walau bagaimanapun, penggunaan tersebut bukan dalam konteks rasmi. Budak bermaksud anak atau kanak-kanak. Dalam konteks rasmi, pengguna bahasa lebih banyak menggunakan perkataan anak-anak dan kanak-kanak. | Tatabahasa | 06.10.2024 |
| Betulkah ayat di bawah: 1) Program ini memperkukuh dan mendorong kesediaan kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti. 2) Kedua-dua anak perempuan saya menjadi lebih berdikari dan expresif setelah menyertai program ini. | Ayat sepatutnya: 1) Program ini memperkukuh dan mendorong persediaan kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam pelbagai aktiviti. 2) Ejaan expresif salah, yang betul ekspresif tetapi dalam konteks ini perkataan ekspresif tidak sesuai kerana ekspresif bermaksud perbuatan, tulisan, lukisan, dan sebagainya yang dapat melahirkan sesuatu maksud (perasaan, tujuan) dengan jelas, contoh ayat Ghafar lebih memperlihatkan kesan ekspresif. | Tatabahasa | 29.06.2010 |
| Assalamualaikum tuan/puan, bolehkah tua /puan analisiskan kesalahan yaang terdapat dalam karangan di bawah : Antara punca masalah obesiti ialah makan makanan yang tidak berkhasiat. Individu makan-makanan yang manis, masin dan berminyak tanpa mengambil kira tanpa mengambil kira isi kandungan kalorinya. Selain itu, kanak-kanak juga haruslah sentiasa berenam. Lazimnya, individu akan menghabiskan masa dengan menonton televisyen atau bermain permainan computer. oleh itu, kalori di dalam badan tidak akan terbakar dan membawa kepada masalah obesiti. Masalah obesiti yang dialami oleh kanak-kanak mungkin juga berpunca daripada keturunan. Ibu bapa yang mempunyai Masalah obesiti cendurung mempunyai anak yang obesiti. Masalah obesiti ini akan membawa paduh kepada kanak-kanak yang menghadapinya kanak-kanak mungkin akan dibuli oleh kanak-kanak yang lain kerana memilkki tubuh yang gembal. Kesimpulannya, ibu bapa haruslah menasihatu dan menolong anak-anak mengalami masalah obesiti. | Ayat ini mengandungi beberapa kesalahan ejaan dan tatabahasa, seperti computer, cendurung dan paduh (ejaan). Ayat “Individu makan-makanan yang manis, masin dan berminyak tanpa mengambil kira isi kandungan kalorinya” tidak lengkap kerana tidak mempunyai predikat. Tuan boleh memanfaatkan kamus atau laman prpm.dbp.gov.my untuk mencari kesalahan ejaan yang lain. Rujuk buku Tatabahasa Dewan, Edisi Ketiga dan lihat aspek Binaan Ayat pada halaman 463. Untuk menganalisis sesuatu teks perlu dibuat pembacaan terlebih dahulu. Sekiranya terdapat kekeliruan dalam memahami kandungan buku berkenaan, tuan boleh menghubungi kami untuk maklumat lanjut. | Tatabahasa | 13.10.2023 |